Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kempen Dadah Itu Haram bakal diperluas, libat lebih ramai anggota masyarakat: Faishal

Feb 18, 2023 | 03:32 PM



KEMPEN Dadah Itu Haram akan dikemaskini dan diperluaskan untuk melibatkan lebih ramai anggota masyarakat dalam usaha memerangi dadah dan mendidik masyarakat tentang kesan bahaya penyalahgunaan dadah, kata Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.


Ini termasuk memperkasakan golongan ibu bapa dan belia untuk sama-sama memainkan peranan mendidik dan memantau anak dan rakan mereka supaya tidak terjebak dalam kancah dadah sedang lebih ramai belia  ditangkap kerana menyalahguna kanabis, atau ganja, pada 2022.


Dilancarkan pada April 2017, kempen itu merupakan satu daya usaha masyarakat yang menyokong usaha antidadah dalam masyarakat Melayu/Islam.


Sebagai sebahagian kempen itu, Biro Narkotik Pusat (CNB) bekerjasama dengan nadi masyarakat Melayu/Islam, seperti masjid dan kedai gunting rambut. 


Misalnya, Dr Faishal menerajui sembilan acara pendekatan di masjid-masjid pada 2022 untuk mendekati jemaah solat Jumaat dan menyebarkan maklumat tentang bahaya penyalahgunaan dadah.


Ditemui semasa satu sesi pendekatan kempen itu di kawasan Kampung Gelam pada Sabtu (18 Februari), Dr Faishal berkata pihaknya akan memikirkan cara untuk memperluas pendekatan mereka di bawah kempen itu.


“Kami akan terus bekerjasama dengan badan-badan. Yang penting adalah bagaimana kita dapat memperkasakan ibu bapa, rakan, belia supaya kita boleh sama-sama tengok-tengok, berjaga-jaga tentang aspek negatif dadah yang sering kita dapat lihat di media sosial, Internet.


“Apabila mereka lihat (di Internet), mereka mungkin tertanya-tanya, mungkin ada keghairahan.

“Jadi dengan adanya inisiatif dalam masyarakat ini, pemerkasaan yang akan kita bangunkan, kita boleh memberi ruang yang lebih membangun kepada individu dan masyarakat.


“Ini supaya, walaupun kita masih akan mengadakan program dan inisiatif di masjid dan tempat lain, tetapi apa yang kita mahu tonjolkan adalah ruang yang lebih mendalam, positif kepada setiap masyarakat kita di Singapura,” kata beliau.


Menurut perangkaan CNB yang dikeluarkan pada Rabu, bilangan penyalah guna dadah baru yang ditangkap telah turun sebanyak 15 peratus daripada 936 pada 2021 kepada 797 pada 2022. 

Sekitar separuh daripada mereka berusia bawah 30 tahun.


Bahkan, kesemua kumpulan etnik melihat jumlah penyalah guna dadah baru yang berkurangan. Khususnya bagi masyarakat Melayu, jumlah itu turun daripada 366 pada 2021 kepada 289 pada 2022.


Dr Faishal berkata ini adalah satu perkembangan  positif, sambil menambah lebih ramai anak muda Melayu boleh melibatkan diri mereka dalam kegiatan  lebih sihat.


Namun begitu, beliau menarik perhatian tentang sikap liberal terhadap dadah di beberapa negara, dengan banyak negara kini melihat jumlah peratusan belia mengambil dadah yang lebih tinggi daripada sebelumnya, terutamanya ganja.


Ganja merupakan dadah ketiga yang paling disalahgunakan di Singapura selepas methamphetamine (Ice) dan heroin, dengan bilangan penyalah guna ganja telah meningkat daripada 138 orang pada 2021 kepada 236 pada 2022 –  di mana 61 peratus berusia bawah 30 tahun.


Mujur, Dr Faishal kata sebahagian besar golongan belia di sini masih menentang penggunaan dadah di Singapura dan hanya segelintir saja yang bersikap liberal, namun ini tetap satu keprihatinan yang perlu ditangani.


Menurut tinjauan 2020 oleh Majlis Mencegah Penyalahgunaan Dadah Kebangsaan (NCADA), 82.5 peratus belia berusia 18 hingga 30 tahun menyokong pendekatan sifar toleransi Singapura terhadap dadah, namun kadar itu lebih rendah berbanding tahap sokongan responden berusia lebih 30 tahun pada 88.3 peratus.


“Daripada data yang kita lihat, golongan belia sering menyalahguna dadah seperti kanabis, methamphetamine dan bahan psikoaktif baru, di mana mungkin ini adalah satu trend ataupun apa yang mereka gemari.


“Oleh itu, kita sedang terus memikirkan bagaimana kita boleh mendekati mereka… Kita menggunakan media sosial untuk mendekati mereka, dan kita juga bekerjasama dengan golongan belia.


“Kita akan meneruskan usaha ini bersama dan berkongsi maklumat tentang sebab dan tanda-tanda, termasuk bagaimana dadah seperti ganja, methamphetamine dan bahan psikoaktif baru memusnahkan kehidupan dan kesihatan mereka,” kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >