Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SEMANGAT WATAN

Kerjasama, kemahiran dua sahabat jaya rangkul perak

Diiktiraf dalam Pertandingan WorldSkills S'pura 2023 bidang Kemahiran Sistem Transit Pantas
Apr 27, 2023 | 05:30 AM



BAGAI aur dan tebing.



Begitulah persahabatan dan kerjasama yang terjalin antara Encik Muhammad Hafiz Nasri dan Encik Muhammad Nur Zharfan Norman sejak mereka kali pertama bertemu ketika menjalani kursus Higher Nitec Kejuruteraan Transit Pantas di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) pada 2020.



Mempunyai minat dan pemikiran yang sama, kedua-dua pelajar itu kemudian melanjutkan pengajian diploma mereka di Politeknik Republic dalam Sistem Kejuruteraan dan Pengurusan.



Apabila mendengar tentang peluang menyertai Pertandingan WorldSkills Singapura 2023 dalam bidang Kemahiran Sistem Transit Pantas, kedua-duanya fikir wajar bagi mereka untuk mengambil bahagian bersama sebagai satu pasukan.



Ketika dihubungi Berita Harian, pasangan ini berkata mereka sebelum ini pernah berniat untuk menyertai pertandingan tersebut dua tahun lalu ketika mereka masih di ITE.



"Dulu kami pernah dengar tentang pertandingan ini, namun tidak mempunyai peluang ketika itu.



"Apabila kami berdua dipilih untuk menyertai pertandingan ini kali ini, sudah tentu kami tidak melepaskan peluang tersebut.



"Sejujurnya, saya gembira dan ghairah apabila kami berdua dipilih untuk lakukannya bersama," kata Encik Zharfan, 21 tahun.



Sebagai persiapan bagi pertandingan ini, kedua-dua pelajar tahun kedua itu berkata mereka perlu menjalani latihan yang intensif.



Menjalani program latihan selama tujuh hari bersama SBS Transit dan SMRT, Encik Zharfan dan Encik Hafiz mempelajari pelbagai topik termasuk 'Rolling Stock' iaitu sistem kereta api MRT, bekalan kuasa daya tarikan dan sistem isyarat.



Sebagai satu pasukan, Encik Zharfan dan Encik Hafiz banyak memanfaatkan kekuatan dan kelemahan mereka sepanjang persiapan dan pertandingan tersebut.



Sebagai contoh, kemahiran Encik Zharfan lebih kuat dari segi teori manakala Encik Hafiz lebih mahir dalam kerja amali atau secara 'hands-on'.



Mengulas tentang kerjasama mereka, Encik Hafiz, 22 tahun, berkata disebabkan mereka hanya mempunyai tujuh hari untuk berlatih secara amali, beliau banyak bergantung kepada Encik Zharfan untuk membantunya semasa hari pertandingan.



"Saya hanya dapat melakukannya secara fizikal di depot yang kami pergi selama tujuh hari.



"Menjelang pertandingan itu, saya hanya dapat merujuk kepada buku-buku teori yang diberikan kepada kami untuk mengkaji," kata Encik Hafiz.



"Saya rasa ia agak mengelirukan kadangkala kerana banyak sangat perkataan, tetapi dengan bantuan Zharfan, saya dapat memahaminya dengan lebih baik dan jelas," tambahnya.



Walaupun mereka telah melakukan beberapa kesilapan semasa pertandingan itu, kerjasama dan komunikasi mereka tetap utuh sehingga akhirnya.



Saling melengkapi antara satu sama lain, Encik Zharfan dan Encik Hafiz berjaya merangkul anugerah perak dalam pertandingan tersebut.



Mengulas tentang kemenangan mereka, Encik Hafiz berkata:



"Terdapat banyak lagi kumpulan-kumpulan yang mempunyai lebih banyak pengalaman semasa pertandingan itu.



"Kami terkejut apabila nama-nama kami diumumkan, namun kami bersyukur atas pengiktirafan ini."



Turut mengongsi pandangan yang sama, Encik Zharfan melahirkan perasaan gembira dapat menerima anugerah tersebut dan juga berpeluang mengetahui lebih mendalam tentang industri Sistem Transit Pantas.



Dengan pengiktirafan daripada pertandingan ini, Encik Zharfan dan Encik Hafiz merancang untuk teruskan kerjaya dalam bidang tersebut setelah tamat pengajian pada masa akan datang.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >