Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kerjasama Projek Dian dengan ComLink+ bantu keluarga flat sewa

Dec 03, 2023 | 05:30 AM



Pasukan Projek Dian akan bekerjasama dengan pihak ComLink+ untuk membantu keluarga yang tinggal di flat sewa dan memastikan terdapat kesinambungan dalam sokongan yang dihulurkan kepada mereka, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman.

Di samping itu, projek tersebut yang kini dilaksanakan di enam bandar M Kuasa Tiga (M³) akan diperkukuh dengan kerjasama agensi-agensi pemerintah supaya dapat menyediakan bantuan lebih menyeluruh.

Tujuan utama Projek Dian adalah untuk memperkukuh sokongan bagi keluarga Melayu/Islam yang tinggal di flat sewa, dengan tumpuan diberikan kepada warga emas yang tinggal bersendirian, keluarga berbilang generasi dan keluarga muda dengan anak-anak kecil.

Projek Dian telah diperkenalkan pada 2021 di tiga M Kuasa Tiga (M³)@Bandar di Bedok, Geylang Serai dan Jalan Besar, dan telah diperluaskan ke Jurong, Chua Chu Kang dan Tampines pada 2023.

ComLink+ pula sebuah inisiatif baru yang dilancarkan pada November 2023 untuk membantu memperkasa keluarga dengan anak-anak yang tinggal di flat sewa.

Antaranya, ia akan membantu keluarga membiayai kos menghantar anak mereka ke prasekolah, menggalak mereka untuk terus bekerja, membantu mereka melunaskan hutang serta membantu mereka berjimat untuk memiliki rumah sendiri sekiranya mereka bekerjasama dengan mentor keluarga, atau family coach, yang dipadankan untuk mencapai matlamat kewangan mereka.


“Apa yang kita akan lakukan ialah kita akan bekerjasama dengan ComLink+ untuk memastikan terdapat kesinambungan antara blok-blok ataupun keluarga yang akan didekati ComLink,” kata Dr Maliki, antara pemegang jawatan politik Melayu yang hadir di sesi wawancara akhir tahun yang merumuskan tentang pencapaian dan hal ehwal masyarakat Melayu/Islam sepanjang 2023 pada 29 November.

“Tetapi pada masa yang sama juga, jika blok-blok yang kita dekati belum menjadi sasaran ComLink – kerana ComLink mempunyai sasaran untuk mendekati semua keluarga di seluruh Singapura tetapi ini akan memerlukan masa – kita akan teruskan kegiatan kita untuk membantu keluarga ini,” tambah beliau.

Sejauh ini, Projek Dian telah berjaya mendekati hampir 400 keluarga Melayu/Islam yang tinggal di flat sewa di Bedok, Geylang Serai, Jalan Besar, Jurong, Chua Chu Kang dan Tampines.

Ini dilakukan melalui kerjasama rapat bersama rakan agensi seperti Tasek Jurong di M³@Jurong dan Pusat Perkhidmatan Keluarga (FSC) Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) di M³@Geylang Serai.

Dengan projek itu diperluaskan ke tiga bandar baru pada 2023, lebih 500 lagi keluarga Melayu/Islam di flat sewa akan didekati, tambahan daripada sekitar 250 keluarga sebelum ini.

Di bawah Projek Dian, keluarga tinggal di flat sewa akan dibantu secara menyeluruh.

Antaranya, program Duta Dian yang dilancarkan pada Oktober 2022 menyediakan sokongan di rumah kepada keluarga-keluarga Projek Dian yang mempunyai anak-anak berusia tiga hingga enam tahun, selama enam bulan. Duta Dian akan membaca bersama kanak-kanak ini dan melakukan aktiviti-aktiviti yang membolehkan kanak-kanak tersebut bermain sambil belajar semasa lawatan ke rumah.

Bantuan juga dihulurkan kepada ibu bapa yang ingin masukkan anak-anak mereka ke tadika, dengan subsidi diberi.

Pasukan projek itu juga bekerjasama dengan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) untuk membantu keluarga beralih daripada tinggal di flat sewa untuk berpindah ke flat milik sendiri.

Sokongan turut diberi untuk menolong individu, yang misalnya bekerja dalam ekonomi gig, mendapatkan pekerjaan tetap dan lebih stabil dengan caruman Tabung Simpanan Pekerja (CPF) supaya mereka memiliki peluang lebih baik mendapatkan pinjaman HDB untuk membeli rumah sendiri.

Dr Maliki berkata bagi 2024, usaha akan dilaksanakan untuk memperkukuh projek tersebut di keenam-enam bandar M³ di Bedok, Geylang Serai, Jalan Besar, Jurong, Chua Chu Kang dan Tampines melalui kerjasama dengan wakil-wakil agensi pemerintah bagi meneliti setiap kes.

“Setiap bulan, apabila mereka bertemu, mereka akan adakan persidangan kes. Bagi setiap kes, mereka akan meneliti apakah tahap perkembangan mereka dan apakah yang harus dilakukan untuk membantu mereka,” kongsi beliau.

“Yang penting ialah mesej kepada para keluarga di rumah-rumah sewa ini ialah pertama, kita ingin membantu menstabilkan keadaan mereka, lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai anak-anak kecil kerana kita mahu anak-anak kecil ini diberi permulaan yang baik,” kata Dr Maliki.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >