Kes bunuh anak: Ekspatriat Belgium mungkin tidak hadapi hukuman mati, Berita Setempat - BeritaHarian.sg
Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:10
Isyak
8:19

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Bahasa Melayu

Betul!

Salah!

Setempat0

Kes bunuh anak: Ekspatriat Belgium mungkin tidak hadapi hukuman mati

Mar 24, 2016 | 08:10 AM

SEORANG ekspatriat Belgium yang dituduh membunuh anak lelakinya berusia lima tahun mungkin tidak menghadapi hukuman mati.

Pihak pendakwaan akan meminda pertuduhan bunuh kepada pertuduhan lebih rendah, pembunuhan tanpa niat, jika Philippe Marcel Guy Graffart mengaku bersalah.

Graffart diheret ke mahkamah Oktober lalu kerana menyebabkan kematian Keryan Gabriel Cedric Graffart di apartment di tingkat 32 di kondominium Leedon Heights antara 8.54 malan 5 Oktober dan 5.29 pagi esoknya.

Kanak-kanak itu dipercayai dicekik kerana tanda lebam berbentuk tangan ditemui pada lehernya.

Dipercayai bahawa Graffart, 42 tahun, sedang berusaha ketika itu untuk mendapat hak penjagaan kanak-kanak itu dengan isterinya.

Berita Popular

Graffart, yang cedera, pergi ke Pos Polis Kejiranan Bukit Timah selepas 5 pagi 6 Oktober dan sejam kemudian, polis pergi ke kondominiumnya dan menemui mayat anaknya di dalam bilik tidur.

Graffart ketua cabang pengurusan pelaburan Singapura firma kewangan Nordea, sebuah syarikat yang menggambarkan dirinya sebagai kumpulan kewangan terbesar di utara Eropah.

Semasa sesi sebutan pada Rabu (23 Mac), Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Sharmila Sripathy memberitahu mahkamah pihak pendakwaan akan meminda pertuduhan jika Graffart memilih mengaku bersalah.

Oleh kerana Graffart sakit, peguamnya, Encik Ramesh Tiwary, berkata beliau akan mendapatkan arahan daripada anak guamnya mengenai pindaan pendakwaan itu.

Mengenai sebab pendakwaan meminda pertuduhan, jurucakap Pejabat Peguam Negara berkata: "Setiap kes dinilai berdasarkan meritnya. Pendakwaan berhati-hati menimbangkan fakta dan hal keadaan kes ini.

"Tertuduh mengalami gangguan kemurungan yang sebahagian besarnya menjejas keadaan mentalnya pada masa kesalahan itu."

Satu sidang sebelum perbicaraan dijadualkan di Mahkamah Tinggi Selasa depan. Sebutan seterusnya kes itu di Mahkamah Negeri pada 3 Mei.

Jika didapati bersalah membunuh tanpa niat, Graffart boleh dikenakan hukuman penjara hingga 10 tahun, denda, rotan atau sembarang gabungan hukuman itu.

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Bahasa Melayu

Betul!

Salah!

Try the new Halal Food Map