LEBIH banyak kes demam denggi dilaporkan pada minggu terakhir April, berbanding minggu sebelumnya, menurut perangkaan laman web denggi Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).
Terdapat 244 kes yang dilaporkan dari 24 hingga 30 April, meningkat 15 kes berbanding minggu sebelumnya.
Sebanyak 44 kes lagi dilaporkan dari Ahad (1 Mei) hingga 3.30 petang Selasa.
Sehingga Selasa, 12 lokasi di seluruh Singapura dianggap sebagai kawasan berisiko tinggi, dengan 10 atau lebih kes.
Kawasan Jedburgh Gardens di Siglap mendahului senarai itu dengan 18 kes dilaporkan.
Setakat ini, 7,326 orang disahkan menghidap virus bawaan nyamuk itu sejak awal 2016.
NEA berkata jumlah kes denggi mingguan sekarang masih lebih tinggi daripada biasanya bagi tempoh ini setiap tahun, dengan majoriti pembiakan nyamuk masih ditemui di rumah.
Empat orang telah maut akibat denggi tahun ini, hampir sama bilangan pada seluruh 2015. Kematian terbaru ialah bulan lalu, melibatkan seorang wanita berusia 73 tahun yang tinggal di Poh Huat Road West.