Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kes 'Haji VIP': Pendakwah Fahrorazi dikena tuduhan menipu

Tertuduh ditahan reman lagi seminggu; ikat jamin mungkin ditawar bergantung pada jumlah tuduhan
Aug 18, 2018 | 05:30 AM



PENDAKWAH setempat yang dikaitkan dengan kes penipuan berhubung skim yang disebut sebagai 'Haji VIP' telah dihadapkan ke mahkamah semalam atas tuduhan menipu.



Namun, Fahrorazi Sohoi tidak hadir secara fizikal di mahkamah.



Sebaliknya, lelaki berusia 47 tahun itu dihadapkan ke mahkamah menerusi persidangan video dari tempat dia ditahan reman.



Kertas pertuduhan menunjukkan dia menghadapi satu tuduhan menipu.



Dia didakwa menipu individu bernama Encik Mohammad Farehan Mohammad Hussein bulan ini.



Fahrorazi didakwa memperdaya Encik Mohammad Farehan hingga beliau percaya tertuduh boleh menunaikan 'Haji VIP' atas undangan Kedutaan Saudi, meskipun dia tahu perkara tersebut tidak benar.



Hasilnya, dia secara tidak jujur menyebabkan Encik Mohammad Farehan memberinya wang tunai sebanyak $1,550.



Polis dalam kenyataannya kelmarin berkata, mereka telah merampas wang tunai sebanyak $196,950 serta beberapa pasport Singapura daripada lelaki itu.



Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam kenyataannya kelmarin mengesahkan bahawa nama Fahrorazi tidak lagi tersenarai dalam Skim Pendaftaran Asatizah (ARS). Itu bermakna dia tidak dibenarkan mengajar agama di sini.



Sekitar 20 orang yang difahamkan antara individu yang sudah membuat bayaran bagi menyertai 'Haji VIP' itu, termasuk Encik Mohammad Farehan, hadir di mahkamah semalam.



Ketika ditemui Berita Harian di luar mahkamah, Encik Mohammad Farehan berkata mereka hadir kerana ingin tahu apakah tuduhan yang dikenakan ke atas tertuduh.



"Kami ingin tahu punca kejadian ini. Sekarang kami semua rasa tertipu oleh ustaz tapi mungkin ustaz juga tertipu orang lain," ujarnya.



Fahrorazi akan terus ditahan reman di Divisyen Polis Central selama seminggu.



Dia dijangka dihadapkan ke mahkamah lagi pada 24 Ogos ini.



Apabila dia meminta keizinan mendapatkan khidmat peguam, Hakim Daerah Christopher Goh berkata dia boleh melakukan demikian selepas dibebaskan daripada reman dan setelah selesai siasatan.



Encik Goh juga berkata ikat jamin mungkin ditawarkan kepadanya, bergantung pada jumlah tuduhan yang akan dikenakan.



Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara hingga 10 tahun dan denda.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >