Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kes kembar ditemui mati di longkang: Bapa didakwa bunuh

Jan 25, 2022 | 05:30 AM



BAPA pasangan kembar lelaki 11 tahun yang ditemui mati di longkang besar Upper Bukit Timah telah didakwa membunuh dua anaknya itu.



Xavier Yap Jung Houn, 48 tahun, di hadapkan ke Mahkamah Daerah semalam melalui pautan video dengan satu tuduhan dikenakan ke atasnya.



Dia dituduh membunuh Ethan Yap E Chern di longkang berbumbung di taman permainan Greenridge Crescent pada Jumaat lalu antara 4.23 petang dengan 6.25 petang.



Hanya satu tuduhan sahaja dibaca di mahkamah pagi semalam



Yap memakai kemeja polo berwarna putih, pelitup berwarna biru dan rambutnya disikat ke belakang sedang dia mendengar tuduhan dibacakan kepadanya. Tertuduh tidak menunjukkan sebarang emosi.



Dalam pada itu, mayat pasangan kembar itu telah dibawa ke Krematorium Mandai untuk dibakar



Sekitar 2 petang, kakak kepada Ashton dan Ethan Yap dilihat tiba di rumah mayat Hospital Besar Singapura (SGH).



Mengenakan baju dan seluar hitam serta dilihat mengangkat dua beg hitam besar, beliau dipercayai berusia dalam lingkungan usia 20-an tahun.



Beliau tidak menunjukkan sebarang emosi semasa memasuki tempat itu.



Seorang pengarah pengebumian, Encik Fong Chun Cheong daripada Singapore Yin Feng Shui Funeral Services, yang menguruskan pengebumian kembar dan juga teman keluarga mangsa berkata kembar itu akan dibakar di Krematorium Mandai.



"Keluarga masih dalam keadaan terperanjat dan tidak dapat menerima realiti," katanya dalam bahasa Mandarin.



Beliau menambah ibu bapa kembar itu merupakan "individu baik dan dihormati."



Encik Fong telah menasihati keluarga untuk membakar mayat kerana beliau tidak pasti akan keadaan tubuh mereka.



Ini kerana tiada pengawetan mayat telah dilakukan ke atas tubuh kedua-duanya sepanjang empat hari lalu.



"Mengikut adat Cina, kita tidak mahu mereka yang lebih tua untuk menghantar anak mereka. Justeru, jika seorang anak yang meninggal dunia, tiada upacara penjagaan mayat atau penjagaan mayat itu diadakan selama tiga hari sahaja."



Tetapi ini merupakan keadaan khas, katanya.



Pada Jumaat lalu, pasangan adik-beradik itu dijumpai terbujur di dalam longkang berdekatan dengan taman permainan di Greenridge Crescent selepas bapa mereka menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan sekitar 6.25 petang dalam keadaan tidak sedarkan diri.



Mereka disahkan meninggal dunia di tapak kejadian oleh paramedik.



Di mahkamah awal pagi semalam, pihak pendakwa polis meminta agar Yap ditahan reman selama seminggu dengan izin untuk dibawa keluar bagi siasatan termasuk lawatan ke tapak kejadian.



Kesalahan membunuh membawa hukuman mati.



Peguam Yap, Encik Anil Singh Sandhu, memberitahu mahkamah bahawa keluarga itu sedang bersedih menyusuli kematian dua anak mereka.



"Pihak media hadir di mahkamah pagi ini dan mangsa di sini ialah dua anak muda berusia 11 tahun.



"Sepanjang beberapa hari lalu, media amat aktif dalam membuat laporan mengenai isu ini, tetapi saya menggesa pihak media untuk memberi keluarga ini ruang dan privasi untuk menangani kehilangan dua anak muda," katanya.



Di mahkamah, hakim telah bertanyakan kepada Yap jika dia mempunyai sebarang soalan dan Yap menjawab tidak.



Pasangan kembar, Ethan dan Ashton, dikatakan anak berkeperluan khas dan dipercayai merupakan pelajar di sekolah dekat kawasan estet Eng Kong.



Kes Yap akan didengar lagi di mahkamah pada 31 Januari nanti.



Kesalahan membunuh membawa kepada hukuman gantung.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >