Subuh
5:29
Syuruk
6:52
Zuhur
12:55
Asar
4:18
Maghrib
6:55
Isyak
8:09
Halal Food Map
Turn on your location  and discover halal restaurants near you.
Setempat0

BERITA SALAH GUNA DADAH DI KALANGAN ANAK MUDA

Kesedaran tidak cukup perlu ada daya tahan

Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim telah dinaikkan pangkat menjadi Menteri Negara di Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Kementerian Pembangunan Negara (MND) pada Julai lalu. Beliau juga mengambil alih tugas Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Maliki Osman, untuk memimpin Wisma Geylang Serai. Ikuti wawancara Berita Minggu mengenai tumpuannya dalam pelbagai jawatan tersebut.
Nov 22, 2020 | 05:30 AM

RAMAI ibu bapa hari ini mungkin tidak menyangka anak mereka boleh terjebak dalam kancah dadah, meskipun trend penyalahgunaan dadah dalam kalangan anak muda masih merunsingkan.

Hakikatnya, sesiapa sahaja tidak kira latar belakang dan usia boleh terjerat, kata Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim.

"Kami ingin ibu bapa peduli tentang pembangunan anak mereka. Daripada pengalaman kami, ada keluarga yang terperanjat apabila CNB (Biro Narkotik Pusat) tangkap anak mereka. Mereka tak sangka anak mereka itu ambil dadah," ujar Dr Faishal dalam satu wawancara dengan Berita Minggu.

Usaha untuk meluaskan mesej antidadah di Singapura merupakan antara tumpuan Dr Faishal setelah menyandang jawatan baru di MHA sejak Julai lalu.

Ini sedang penyalahgunaan dadah dalam kalangan anak muda, serta pengaruh kedudukan liberal mengenai dadah di luar negara, terus menjadi keprihatinan.

Tahun lalu, sekitar dua pertiga daripada mereka yang kali pertama diberkas kerana kesalahan dadah terdiri daripada individu di bawah usia 30 tahun.

"Anak muda mungkin terpengaruh dengan kedudukan liberal di beberapa negara luar.

"Negara yang mengambil kedudukan liberal mengenai dadah, pada pendapat saya, mereka tidak lagi dapat mengatasinya.

"Saya bersyukur Singapura mengambil pendekatan yang tegas kerana kita inginkan yang terbaik untuk orang-orang kita," ujar Dr Faishal.

Sejak beberapa bulan lalu, beliau giat mengadakan lawatan ke pelbagai agensi termasuk penjara, rumah peralihan dan badan sosial untuk memahami isu dadah dengan lebih mendalam.

Bagi golongan yang sudah pun ditangkap bagi kesalahan dadah, mereka akan terus diberi sokongan untuk keluar daripada lingkaran musibah itu, kata Dr Faishal.

Pada masa yang sama, beliau telah menemui ramai keluarga yang terjejas dengan dadah, dan memahami kekecewaan yang mereka alami apabila anggota keluarga itu keluar masuk penjara atau pusat pemulihan dadah.

"Saya tidak menyalahkan keluarga kerana mereka rasa kecewa. Tetapi memang bukan mudah untuk membuang ketagihan itu," ujar Dr Faishal.

Sebagai seorang bapa dua orang anak, Dr Faishal berpendapat ibu bapa boleh memainkan peranan penting dengan menyediakan sekitaran yang positif untuk anak-anak membesar, serta memupuk kesedaran dan mengingatkan mereka tentang kesan negatif dadah.

"Kesedaran mengenai bahaya dadah sahaja tidak cukup. Perlu ada daya tahan untuk membuat pilihan yang betul.

"Kerana walaupun anda sedar, anda mungkin masih mahu mencubanya.

"Kita perlu mempersiapkan anak muda untuk membuat pilihan betul dalam mengatakan 'tidak' kepada dadah," ujar Dr Faishal.

Beliau juga menekankan bahawa masalah dadah ini menjejas pelbagai masyarakat.

Meskipun masalah dadah dalam masyarakat Melayu/Islam masih menjadi keprihatinan, banyak kemajuan yang telah diraih sepanjang tahun-tahun yang lalu, kata Dr Faishal.

Dilaporkan sebelum ini bahawa secara keseluruhan, bilangan penyalah guna dadah Melayu telah merosot 50 peratus - daripada 3,200 pada 1993 kepada sekitar 1,700 pada 2019.

Kadar kesalahan bentan juga telah berkurangan. Bilangan pesalah Melayu yang kembali mengambil dadah dalam tempoh dua tahun, telah merosot daripada lebih 40 peratus bagi kohort yang dibebaskan pada 2011, kepada kurang 30 peratus bagi kohort 2017.

Oleh itu, Dr Faishal berharap untuk memperjuangkan isu antidadah dengan meneruskan tugas yang telah dilakukan pemimpin-pemimpin sebelum ini termasuk Allahyarham Harun Ghani, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, dan Encik Amrin Amin.

Selain isu dadah, usaha menangani ancaman pengganasan dan fahaman pelampau juga perlu diteruskan, dan ini juga memerlukan penglibatan keluarga dan masyarakat, kata Dr Faishal.


Rencana pelbagai topik perumahan MND dengan kerjasama BH

KEMENTERIAN Pembangunan Negara (MND) dengan kerjasama Berita Harian bakal membawakan siri rencana baru yang membincangkan pelbagai topik berkenaan perumahan dan dasar-dasar lain di bawah naungan MND.

Ditulis oleh Menteri Negara (Pembangunan Negara) Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, rencana tersebut akan mengupas pelbagai topik daripada pemilikan rumah, perumahan sewa, hingga usaha menghijau Singapura.

Rencana itu akan disiarkan setiap Rabu bermula minggu depan, dan akan berlangsung sepanjang lima minggu.

Rencana pertama bakal menyentuh tentang pelbagai pilihan perumahan, sokongan untuk pembeli kali pertama, serta sokongan kepada pemilik rumah yang terjejas dengan pandemik Covid-19.

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian