Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PARLIMEN

Kesihatan: Tidak boleh hanya gantung pada jagaan perubatan

Masagos: Faktor sosial, persekitaran penting dalam usaha memperkasa penduduk amal hidup aktif dan sihat
Oct 06, 2022 | 05:30 AM



WARGA Singapura tidak boleh membiarkan kesihatan mereka ditentukan oleh penjagaan perubatan sahaja meskipun terdapat ramai pakar yang boleh menyediakan khidmat penjagaan itu.



Berkata demikian semalam, Menteri Kedua Kesihatan, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, menarik perhatian beberapa faktor lain seperti faktor sosial dan persekitaran juga penting dalam usaha memperkasa penduduk mengamalkan kehidupan yang aktif dan sihat.



Oleh itu, langkah memanfaatkan sokongan masyarakat bagi memastikan kesihatan lebih baik dalam kalangan warga di bawah strategi SG Lebih Sihat merupakan satu langkah penting.



Berucap di Parlimen semasa perbahasan Kertas Putih mengenai SG Lebih Sihat, Encik Masagos yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga turut menggesa warga Singapura memainkan peranan mereka untuk membantu satu sama lain terus mengekalkan gaya hidup sihat serta menjalani kehidupan dan menua dengan baik untuk memastikan Singapura lebih sihat.



Beliau turut menggariskan pelbagai program dan kegiatan gaya hidup untuk menarik profil yang berbeza dan membawanya lebih dekat dengan penduduk, khususnya bagi warga emas.



Menekankan komitmen pemerintah untuk mengupayakan warga emas menua dan hidup hingga mencapai potensi penuh mereka dalam masyarakat, Encik Masagos berkata:



"Semua pihak perlu memainkan peranan untuk membolehkan warga emas kita kekal terlibat secara fizikal, kognitif dan sosial serta mengekalkan dan mempertingkat kesihatan mereka."



Encik Masagos menarik perhatian bahawa Jawatankuasa Menteri mengenai Penuaan (MCA) sedang memperbaharui Pelan Tindakan Bagi Penuaan Berjaya yang dilancarkannya pada 2015.



Menerusi pendekatan dengan lebih 5,000 penduduk, beliau berkata MCA mendapati bahawa ramai warga emas terus mempunyai aspirasi sedang mereka menua, baik untuk menyumbang secara relawan dalam masyarakat, menjaga cucu atau bahkan, untuk memulakan perniagaan.



MCA akan melancarkan laporannya awal tahun depan, dengan pelan tindakan yang diperbaharui itu akan berteraskan Penjagaan (Care), Sumbangan (Contribution) dan Keterhubungan (Connectedness), atau ringkasannya 3C, tambahnya.



Encik Masagos berkata pelan tindakan yang diperbaharui itu akan memberi tumpuan pada langkah campur tangan dalam masyarakat.



Ini termasuk menerusi usaha membantu warga emas lebih yakin menggunakan teknologi untuk kekal sihat, membangunkan pilihan perumahan merangkap penjagaan baru untuk menyokong warga emas menua dalam masyarakat serta memperkukuh pusat penjagaan warga emas.



Encik Xie Yao Quan (GRC Jurong) menekankan perlunya bagi SG Lebih Sihat bersifat inklusif dari segi sosial, ekonomi dan digital.



Beliau turut mengutarakan keprihatinan bagi golongan berpendapatan rendah di bawah strategi itu.



Encik Masagos berkata kelompok penjagaan kesihatan telah bekerjasama dengan agensi khidmat sosial (SSA) dan pejabat khidmat sosial (SSO) Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) di daerah mereka untuk menangani keperluan kesihatan dan sosial penduduk bersama, khususnya mereka yang daripada isi rumah berpendapatan rendah.



"Penjagaan bersifat pencegahan bukan sahaja bagi mereka yang mampu mendapatkan khidmat jurulatih peribadi. Dengan SG Lebih Sihat, kita boleh memastikan semua orang dapat memanfaatkan penjagaan bersifat pencegahan itu," ujarnya.



Dalam pada itu, Encik Masagos berkata Singapura mengambil pendekatan inklusif menggalak kesihatan kepada semua dan akan meneruskan usaha itu.



Bagi golongan kurang upaya, beliau berkata Pelan Induk Pemerkasaan 2030 yang diterbitkan Ogos lalu membentangkan pendekatan untuk mengupayakan golongan kurang upaya mengamalkan kehidupan lebih sihat, dengan disokong penjagaan kesihatan bermutu tinggi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >