Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kok Song: Ketidaktentuan masa depan perlukan Presiden tidak ‘hutang budi’ pada mana-mana parti

Aug 30, 2023 | 07:37 PM



Arena politik Singapura kini semakin rancak dengan pelbagai pandangan politik yang bersaing, langsung mewujudkan kemungkinan “pasukan yang salah” diberi kuasa mentadbir negara pada masa depan.

Ini, di samping peralihan kepimpinan pemerintah dalam beberapa tahun akan datang, menimbulkan ketidaktentuan serta risiko yang mendatang, kata calon Presiden, Encik Ng Kok Song.

Menurutnya, dalam menghadapi risiko yang semakin meningkat ini, Singapura tidak mampu melantik Presiden yang mungkin “terhutang budi” kepada mana-mana parti politik, baik yang mengesahkan pencalonan mereka mahupun yang membantu mereka dipilih.

Menyampaikan perutusan kempen beliau dalam siaran di televisyen dan radio keduanya pada Rabu, Encik Ng berkata:

“Kita tidak mampu memilih Presiden yang akan dimanipulasi oleh parti politik bagi memajukan agenda politik mereka.

“Saya satu-satunya calon presiden yang tidak berpihak kepada mana-mana parti. Saya tidak pernah menyertai mana-mana parti politik.”

Salah satu cabaran masa depan adalah dalam penggunaan rizab negara yang mungkin meningkat pada tahun-tahun akan datang dengan lebih banyak krisis dijangka.

Encik Ng berkata Singapura tidak boleh bergantung pada sistem “diri sendiri semak diri sendiri” dalam memelihara rizab negara dan mengekalkan integriti khidmat awam.

“Adakah kita ingin mengambil risiko mempunyai Presiden yang disokong pemerintah menilai permintaan pemerintah untuk menggunakan rizab negara?

“Adakah sesuai bagi mantan menteri, yang menetapkan dasar fiskal sebelum ini untuk menjadi Presiden dan memeriksa dasar yang ditetapkan beliau sendiri?

“Saya percaya tiada individu yang seharusnya diletakkan dalam keadaan konflik seperti itu, dan kita tidak perlu melakukan demikian,” tambahnya semasa siaran calon presiden.

Perlembagaan Singapura menetapkan bahawa Presiden yang dipilih tidak boleh berpihak kepada mana-mana parti, namun menurut Encik Ng, sistem yang ada kini tidak menepati “semangat Perlembagaan” memandangkan Presiden yang dipilih sejauh ini sejak 1993 berkait atau disokong Parti Tindakan Rakyat (PAP).

“Sistem kita telah melanggar semangat Perlembagaan. Sistem kita mungkin menepati apa yang tertulis namun tidak menepati semangatnya. Sistem kita telah membolehkan pemimpin politik kita sebelum ini bertanding dalam pilihan raya beberapa bulan selepas meletakkan jawatan daripada parti politik mereka.

“Kita kini dalam 2023, ini bukan 1993. Saya percaya, sudah tiba masanya untuk Pilihan Raya Presiden menegakkan semangat Perlembagaan,” kata mantan ketua pegawai pelaburan GIC berusia 75 tahun itu.

Meskipun syarat kelayakan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden cukup tinggi, Encik Ng berkata sebab sebenar adalah pendapat bahawa jika individu tersebut “tidak mendapat sokongan pemerintah atau sokongan kukuh daripada parti pembangkang” beliau tidak akan diberi peluang bertanding.

“Saya percaya ada warga Singapura yang bebas, berupaya yang tidak berpihak kepada mana-mana parti dan setia kepada Singapura, layak berkhidmat sebagai Presiden, untuk membuat keputusan yang baik dan bertindak berdasarkan kepentingan semua,” katanya, sambil menambah tiga daripada lima Pilihan Raya Presiden Singapura yang diadakan sebelum ini dimenangi tanpa tanding.

Mengakhiri ucapannya, Encik Ng menyeru warga Singapura supaya “menghapuskan politik parti” daripada Pilihan Raya Presiden.

“Pilihlah Presiden yang memiliki keupayaan dan berpengalaman, yang boleh dipercayai dan yang tidak terkait dengan mana-mana parti politik.

“Sudah tiba masanya untuk kita keluar dari masa lampau, di mana kita mempunyai Presiden yang disokong PAP. Jawatan Presiden Dipilih ini perlu dimiliki semua warga Singapura, bukan hanya kumpulan yang mempunyai keistimewaan tertentu,” tambahnya.

Siaran politik pada Rabu itu dimulakan Encik Tan Kin Lian, disusuli Encik Tharman Shanmugaratnam dan kemudian Encik Ng.

Sebelum itu, setiap calon presiden juga telah menyampaikan mesej kempen mereka melalui siaran politik pertama pada 24 Ogos.

Lebih 2.7 juta warga Singapura akan keluar mengundi pada 1 September untuk memilih Presiden kesembilan negara ini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >