Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kompak sosial, peluang kerja antara tumpuan sesi dialog Mendaki dengan DPM Wong

Acara dihadiri 300 karyawan Melayu/Islam yang berbincang bagaimana masyarakat dapat maju dan terlibat sama dalam inisiatif Melakar Hala Tuju Singapura
Oct 30, 2022 | 06:46 AM



KOMPAK sosial, peluang pekerjaan dan membantu warga emas meniti hari tua dengan selesa di Singapura antara perkara yang diutarakan dalam sesi perbincangan dan dialog di acara #MakingConnections anjuran Yayasan Mendaki semalam.



Bercakap kepada media di penghujung acara yang dihadiri 300 karyawan Melayu/Islam itu, Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, yang juga timbalan pengerusi Mendaki, berkata peserta bercakap tentang bagaimana masyarakat dapat maju ke hadapan dan terlibat sama dalam inisiatif Melakar Hala Tuju Singapura atau Forward Singapore.



Mereka juga berkongsi pandangan tentang bagaimana kompak sosial Singapura boleh berkembang.



Semasa sesi dialog bersama tetamu terhormat acara itu, Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, peserta tidak melepaskan peluang untuk bertanya tentang hala tuju masa depan Singapura dan masyarakat Melayu/Islam.



"Ini adalah perbincangan penting, bukan hanya untuk Singapura malah untuk masyarakat Melayu. Bagaimana sebagai sebuah masyarakat, kita boleh menyumbang dan maju bersama dengan negara," kata Encik Zaqy.



"Penting juga untuk kita faham aspirasi golongan muda kita... yang mungkin mempunyai pandangan yang berbeza berbanding... apabila Mendaki bermula dan bagaimana keadaan kompak sosial apabila Mendaki bermula 40 tahun lalu.



"Saya berharap kita dapat meneruskan perbincangan ini, melangkaui hari ini, sedang kita fikirkan tentang kompak sosial dalam melangkah ke hadapan, bagaimana kita dapat membawa masyarakat ke arah kejayaan kerana kita telah melihat kemajuan ketara daripada masyarakat dari sejak Mendaki ditubuhkan," tambahnya.



Acara yang dianjurkan di Hotel Fairmont itu adalah sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-40 Mendaki dan diadakan sempena bulan Raikan Ilmu 2022 yang berakhir semalam.



Peserta acara itu terdiri daripada karyawan Melayu/Islam daripada industri yang sedang berkembang seperti sains hayat, teknologi, penjagaan kesihatan dan perundangan.



Mereka telah dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil di bawah tiga sektor utama iaitu penjagaan, hijau dan digital untuk mengongsi pandangan dan idea mereka berhubung tiga soalan yang diutarakan di awal sesi perbincangan tersebut.



Soalan pertama bertanya tentang hala tuju negara dan masyarakat dan soalan kedua bertanya tentang cara memastikan masyarakat Melayu/Islam memainkan peranan utama dalam mencapai visi Masyarakat Gemilang (Community of Success) yang dikongsi bersama.



Soalan ketiga pula bertanya tentang bagaimana peserta dapat menyumbang sebagai karyawan secara individu dan kumpulan kolektif.



Peserta turut membincangkan bagaimana untuk meningkatkan bilangan karyawan yang menyumbang.



Encik Wong kemudian menyertai sesi dialog bersama peserta di mana beliau mengongsi pandangannya tentang beberapa perkara yang ditimbulkan peserta dalam sesi perbincangan sebelum itu, sebelum menjawab soalan oleh peserta tentang isu-isu yang menjadi keprihatinan mereka.



Isu-isu itu termasuk tentang bagaimana orang Melayu/Islam boleh membantu anggota masyarakat yang memerlukan, cabaran penduduk yang menua dan pendigitalan, serta usaha meningkatkan keupayaan pelajar Melayu dalam mata pelajaran matematik dan sains bagi mendorong minat dalam sektor kajian sains iklim.



Di pembukaan sesi dialog itu, Encik Wong menyebut tentang perubahan yang pemerintah ingin lakukan bagi membangunkan Singapura bagi dekad akan datang dan seterusnya, seperti melihat ketidaksamaan pendapatan turun.



"Sudah tentu masyarakat Melayu/Islam akan menjadi sebahagian daripada ini. Kemajuan anda juga mencerminkan kemajuan Singapura.



"Jika anda meneruskan usaha itu dalam kalangan masyarakat dengan bantuan pemerintah, jika anda meneruskan semangat kesukarelawanan yang kuat dalam kalangan ramai di antara anda, membantu antara satu sama lain dalam masyarakat dan yang penting, jika anda terus menekankan semangat belajar, cemerlang dalam semua yang anda lakukan, saya yakin bahawa masyarakat ini akan terus melakukan lebih baik lagi.



"Dan apabila anda melihat ke hadapan dalam dekad yang akan datang dan seterusnya, kita akan dapat melihat lebih ramai orang Melayu/Islam yang cemerlang dalam semua bidang ekonomi yang berbeza, dan kita boleh melakukan lebih banyak lagi untuk meningkatkan golongan berpendapatan rendah dan yang kurang bernasib baik," kata Encik Wong.




ZAQY: PENTING BAGI KARYAWAN MELAYU SERTAI PERBINCANGAN MELAKAR HALA TUJU S'PURA



"Ini adalah perbincangan penting, bukan hanya untuk Singapura malah untuk masyarakat Melayu. Bagaimana sebagai sebuah masyarakat, kita boleh menyumbang dan maju bersama dengan negara...

Saya berharap kita dapat meneruskan perbincangan ini, melangkaui hari ini, sedang kita fikirkan tentang kompak sosial dalam melangkah ke hadapan, bagaimana kita dapat membawa masyarakat ke arah kejayaan kerana kita telah melihat kemajuan ketara daripada masyarakat dari sejak Mendaki ditubuhkan."

- Encik Zaqy Mohamad, Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), yang juga timbalan pengerusi Mendaki.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >