Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

KERAJAAN BARU MALAYSIA

Kos sara hidup, kemantapan politik antara cabaran utama Anwar

Nov 26, 2022 | 05:30 AM



PERDANA Menteri Malaysia yang baru, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perlu segera memantapkan dan memacu ekonomi negara itu, mengurangkan harga barangan, dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.



Beliau juga mesti menguruskan dan mengimbangi keperluan dan permintaan berbeza beberapa blok parti dalam kerajaan perpaduannya.



Itulah antara cabaran utama ketua Pakatan Harapan (PH) itu setelah dilantik menjadi perdana menteri Malaysia ke-10.



Demikian dinyatakan dua pengamat politik dalam sesi perbincangan anjuran Berita Harian (BH), Bincang BH, PRU15, iaitu Dr Oh Ei Sun, Zamil Kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura; dan Encik Basir Siswo, penulis tamu BH dari Kuala Lumpur.



Sesi itu dihos koresponden BH, Cik Ervina Mohd Jamil.



Ditanya mengenai cabaran utama Datuk Anwar selepas memenangi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) Malaysia, Dr Oh berkata Datuk Anwar mesti bertindak segera demi menenteramkan rakyat.



"Beliau perlu memakmur ekonomi dan ini termasuk harga barangan meningkat, cipta peluang pekerjaan dan menjadikan matawang ringgit bertambah kukuh.



"Semua ini perlu ditangani segera oleh Datuk Anwar," kata Dr Oh.



Datuk Anwar juga perlu memenangi undi percaya di Parlimen kelak.



Selain bidang ekonomi, Datuk Anwar juga perlu membentuk secara bijak kerajaan perpaduan yang diinginkan Yang diPertuan Agong.



Dalam isu kerajaan perpaduan, Encik Basir berkata Datuk Anwar mungkin boleh melihat kepada Indonesia apabila presiden negara itu, Encik Joko Widodo, mengundang seteru politiknya, Encik Prabowo Subianto, untuk menyertai Kabinetnya, sekali gus mengurangkan ketegangan politik selepas pilihan raya presiden yang lalu.



"Ini boleh bermakna Datuk Anwar mengundang sebilangan Ahli Parlimen (AP) Perikatan Nasional (PN) untuk turut serta dalam Kabinet barunya agar PN tidak terasa terasing dan boleh terima konsep kerajaan perpaduan itu," ujar Encik Basir.



Namun, Dr Oh menjelaskan bahawa ketiadaan pembangkang dalam Parlimen Malaysia dalam jangka panjang adalah tidak sihat, memandangkan kurangnya semak dan imbang ke atas kerajaan.



Berkaitan kerajaan perpaduan itu juga, Dr Oh berkata Datuk Anwar perlu mengimbangi dan memupuk perpaduan dalam kalangan pemimpin dan pengundi reformis di PH dengan mereka yang konservatif daripada blok parti lain.



"Dalam kerajaan perpaduan ini akan ada perselisihan pendapat dengan masing-masing mempunyai cara dan idea berlainan.



"Jadi Datuk Anwar perlu mencari cara untuk menangani semua perbezaan ini agar tidak menjejas kerajaan perpaduan yang akan dibentuk itu," katanya.



Mengenai pelantikan timbalan perdana menteri (DPM) pula, Encik Basir berpendapat kemungkinan besar ia diisi pemimpin Barisan Nasiona (BN) khususnya daripada Umno, dengan pemimpin itu dianggap rapat kepada presiden Umno, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi.



"Yang disebut-sebut adalah timbalan pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, atau Tok Mat.



"Mungkin bukan Ismail Sabri (mantan perdana menteri) kerana beliau dilihat sebagai agak keras dalam mengkritik Zahid," ujar Encik Basir.



Dr Oh pula berkata beliau menjangka seorang lagi DPM akan datang dari Sarawak/Sabah, dengan langkah itu akan dialu-alukan penduduk di dua negeri itu.



Dalam jangka lebih panjang, Dr Oh berkata Datuk Anwar perlu memenangi hati pengundi Melayu yang banyak menyokong PN, termasuk penduduk di luar bandar.



Ini boleh dilakukan antaranya dengan melakukan lebih banyak projek pembangunan di kawasan luar bandar yang memberi manfaat langsung dan besar kepada pengundi Melayu.



"Ini juga akan menunjukkan kepada pengundi Melayu bahawa beliau (Anwar) juga amat prihatin kepada keperluan mereka." ujar Dr Oh.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >