Krismas pererat hubungan keluarga, jiran, rakan tak kira agama

Lebih dua bilion orang daripada kira-kira 160 negara menyambut Hari Natal yang jatuh hari ini. Sambutan tersebut biasa disifatkan sebagai perayaan yang mengingatkan penganutnya mengenai nilai memberi, persahabatan dan kekeluargaan. Ikuti kisah dua individu yang berkongsi pengertian Krismas bagi diri mereka. Laporan oleh NATASHA MUSTAFA (nmustafa@sph.com.sg) dan AFIQAH HAMIR (afiqahh@sph.com.sg).


KRISMAS bukan hanya sekadar perayaan untuk keluarga, malah ia juga bagi mengeratkan ikatan persahabatan dengan rakan terdekat, tidak kira bangsa dan agama.

Setiap tahun menjelang Hari Natal, keluarga Paderi Adrian Anthony membuka rumah mereka bagi jamuan makan malam, bukan hanya untuk anggota keluarga dekat dan jauh, bahkan buat rakan-rakan dan juga jiran.

Sebagai penganut agama Kristian, Paderi Adrian dan keluarganya percaya Hari Natal melambangkan kelahiran Jesus Christ.

Meskipun kepercayaan itu mempunyai kaitan dengan keagamaan, sambutan Hari Natal keluarganya itu lebih bercorak kemanusiaan, ujarnya, dengan tujuan utamanya memperkukuh hubungan sesama insan.

Malah, bagi paderi berusia 76 tahun itu, berkongsi perayaannya dengan masyarakat berbilang agama dengan niat semata-mata bagi mengeratkan persahabatan juga dapat memperkukuh pemahaman silang agama.

"Sebagai negara berbilang agama dan budaya, bagi saya penting untuk kita memahami kepercayaan satu sama lain dan membina jambatan antara penganut berbeza agama.

"Ini penting bagi memperkukuh keharmonian kaum di sini yang merupakan asas penting bagi kemakmuran negara kita," ujarnya.

Menceritakan tradisi sambutan Krismas bagi keluarganya, Paderi Adrian berkata sambutan itu adalah satu-satunya 'hari cuti' yang dinantikan-nantikan beliau semasa kanak-kanak dahulu.

Peri penting dan makna sambutan Krismas itu telah ditekankan ibu bapanya kepadanya sejak beliau kecil lagi.

"Ingatan sepanjang hidup saya mengenai Hari Natal ialah seluruh anggota keluarga berkumpul dan seronok dikelilingi orang tersayang yang mungkin kerana kesibukan sehari-hari, kita tidak dapat jumpa secara kerap.

"Tidak kira muda ataupun tua, semua anggota keluarga akan berkumpul di satu rumah setiap tahun," ujarnya.

Tradisi ini semakin penting bagi Paderi Adrian kerana tidak semua adik-beradiknya kini menetap di Singapura.

"Jadi, pada usia yang lanjut ini, sambutan Krismas ini adalah satusatunya masa untuk kami berjumpa dan meluangkan masa bermutu bersama," katanya lagi, yang menerima kunjungan lebih 30 orang di rumahnya di kawasan Kovan malam kelmarin.

Menyentuh cara keluarganya meraikan Hari Natal, Paderi Adrian berkata mereka akan 'makan besar' dengan juadah yang dibawa oleh setiap ahli keluarga yang hadir.

Menceritakan hidangan 'wajib' bagi keluarganya, Paderi Adrian berkata majlis 'makan besar' itu tidak akan lengkap tanpa juadah putu mayam beriani, yang merupakan resipi keturunan ibunya.

Hidangan lazat itu dikongsi bersama rakan dan jiran yang turut diundang.

"Sebahagian daripada sahabat saya ada penganut Islam, Buddha dan juga Sikh.

"Sambil menikmati makanan yang dihidang, kami bersama-sama menghargai hubungan persahabatan serta nilai murni yang kami pupuk bersama," katanya.

"Ini adalah semangat kampung yang kita patut ada.

"Kami semua boleh dikatakan sebagai adik-beradik yang akan berjumpa setahun sekali untuk meraikan cinta, kebahagian dan kedamaian," tambah Paderi Adrian.