Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kucing selamat, tapi diri sendiri perlu rawatan dek hidu asap kebakaran

Dec 31, 2022 | 05:30 AM



CIK Faridah Rashid sanggup mengharung asap tebal semata-mata mahu menyelamatkan dua kucing kesayangan.



Selepas flat jirannya terbakar di tingkat 11 di Blok 89 Redhill Close pada malam 28 Disember, Cik Faridah disuruh meninggalkan flatnya, tetapi demi dua buah hati tercinta, beliau sanggup bergegas semula ke koridor yang dipenuhi asap untuk menyelamatkan Belle dan Dusky.



Apabila tidak jumpa dua ekor kucing itu dalam flat sewa satu biliknya, Cik Faridah, 50 tahun, mula panik dan telah terhidu terlalu banyak asap.



Beliau mula merasa pening dan sesak pernafasannya.



Walaupun mula berasa lemah, beliau terus mencari kucing-kucing itu di koridor kerana menurutnya, Belle dan Dusky selalunya berehat di hujung koridor, kata beliau apabila ditemui Berita Harian (BH) kelmarin.



Beliau kemudian turun semula untuk mendapatkan bantuan.



Anak Cik Faridah, Encik Noorashraf Imran Norrallah, 22 tahun, kemudian bantu mencari kucing-kucing itu setelah membawa ibunya ke paramedik.



Cik Faridah adalah antara dua pesakit yang dihantar ke Hospital Besar Changi pada malam 28 Disember apabila unit jirannya dijilat api.



Menurut Encik Norrashraf, kucing-kucingnya dijumpai dalam flat mereka, satu di bawah sofa dan satu lagi bersembunyi di bawah katil.



Apabila Berita Harian tiba tempat kejadian kelmarin, Cik Faridah masih berehat setelah pulang daripada hospital pada 4 pagi hari itu.



"Doktor berkata kadar oksigen dalam badan rendah sebab itu rasa lemah dan macam ingin muntah. Dan pernafasan saya kemudian juga tidak stabil," katanya.



Menurut ibu tiga anak itu, beliau sedang makan malam pada sekitar 8 malam apabila beliau terdengar penggera kebakaran berbunyi.



"Setiap unit kami dipasang dengan penggera kebakaran keselamatan. Saya pun suruh Ashraf keluar untuk lihat unit mana yang terbakar," cerita Cik Faridah.



Encik Norrashraf telah dilatih sebagai pegawai bomba apabila menjalani Perkhidmatan Negara.



"Apabila saya jalan lalu rumah jiran sebelah, saya dapat lihat lubang pintunya kemerah-merahan dan saya pasti kebakaran sedang berlaku di rumah itu. Unit itu bersebelahan dengan lif jadi apabila saya ke lif, saya lihat asap keluar daripada tingkap belakang unitnya," kata Encik Norrashraf, kini bekerja sebagai inspektor keselamatan.



Encik Norrashraf kemudian menelefon jirannya dan mendapati tiada sesiapa di rumah.



Tanpa buang masa, beliau buka pagar pintu tidak dikunci itu dan menendang pintu jirannya sekitar enam kali sebelum ia terbuka dan "dengan cepat meluru ke tandas mereka dan menemui baldi lalu mengisi air setengah penuh dengan harapan dapat memadamkan api," cerita Encik Norrashraf yang mencurah sekitar 10 baldi air ke arah api itu.



Cik Faridah pula membantu dengan mengisi satu lagi baldi air daripada unitnya di sebelah sebanyak dua kali sebelum anak beranak itu terdengar letupan kecil dari arah api tersebut.



Mujur apabila letupan itu berlaku, SCDF tiba dan menyuruh mereka berdua turun ke bawah demi keselamatan diri.



Seramai 30 penduduk blok itu terpaksa keluar daripada unit mereka sebagai langkah keselamatan.



SCDF berkata kebakaran itu melibatkan beberapa barang di ruang tamu flat itu, dan api dipadamkan oleh pegawainya menggunakan beg galas berisi busa udara mampat.



Penghuni unit terbakar itu enggan mengulas lebih lanjut kepada media namun telah menyatakan kepada BH bahawa tiada sesiapa di rumah dan semuanya selamat.



Cik Faridah dan Encik Norrashraf bersyukur mereka berdua selamat. Beliau juga berkata jirannya itu amat berterima kasih kepadanya dan Encik Norrashraf.



"Saya gembira semua selamat dan saya hanya ingin menekankan betapa pentingnya pergantungan seseorang dengan jiran untuk memberi bantuan dalam waktu kecemasan.



"Seperti keadaan sebegini, jiran-jiran adalah orang yang pertama memberi bantuan kerana kami adalah orang yang terdekat berbanding dengan orang lain," tambah Cik Faridah.



Cik Faridah juga bersyukur anaknya ada di rumah bersamanya, jika tidak beliau juga tidak pasti apa yang patut dilakukan.



Siasatan awal menunjukkan bahawa api itu berasal daripada bahan yang dinyalakan di ruang tamu, kata SCDF.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >