SERAMAI 230 penghuni rumah kebajikan, Lee Ah Mooi Old Age Home, di Thomson Lane menikmati keceriaan sempena kedatangan Tahun Baru Cina.
Mereka telah menerima kunjungan daripada sekumpulan pengusaha dari syarikat EOSTRE Singapore Pte Ltd - sebuah syarikat pengedar produk kesihatan dan minuman kopi berkhasiat - yang mengagihkan habuan berserta kuih-muih sempena perayaan ini.
Menurut ketua rombongan, Encik Anwar Yusof, pihaknya telah berjaya mengumpulkan sekitar $7,000 berserta barangan kuih-muih & keperluan perayaan.
Penyelaras dan jurucakap kumpulan Ken&Sally International Group, Encik Borhan Saini, menjelaskan mereka berasa terkesan dengan pengumpulan wang secara spontan daripada seluruh anggota kerja mereka yang berlatarbelakangkan berbilang kaum dan agama.
"Ini adalah penampilan sulung kami dalam gerak kerja kemasyarakatan.
"Kami berharap dapat merancang untuk memberikan bantuan berterusan dalam semua perayaan setempat," ujarnya.
Para penghuni turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian serta pemberian angpau.