Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

BELANJAWAN: FOKUS: PEKERJA

Lagi $5.4b disedia sokong latih, gajikan pekerja

Sebahagian dari tahap kedua Pakej Pekerjaan dan Kemahiran SGUnited bagi gajikan 200,000 pekerja setempat, sedia 35,000 peluang latihan
Feb 17, 2021 | 05:30 AM



TAMBAHAN $5.4 bilion akan disediakan bagi tahap kedua Pakej Pekerjaan dan Kemahiran SGUnited dalam menyokong usaha menggajikan 200,000 pekerja setempat dan menyediakan sehingga 35,000 peluang latihan tahun ini.



Sebahagian besar daripada jumlah itu, atau $5.2 bilion, akan diperuntukkan bagi Insentif Pertumbuhan Pekerjaan (JGI) untuk melanjutkan tempoh pengambilan pekerja untuk tujuh bulan lagi sehingga hujung September ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat.



Dalam pada itu, sokongan bagi program latihan seperti Program Pelatih SGUnited dan Program Laluan Pertengahan Kerjaya SGUnited juga akan dilanjutkan.



Ini bermakna pemerintah kini telah memperuntukkan $8.4 bilion secara keseluruhan bagi Pakej Pekerjaan dan Kemahiran SGUnited, termasuk $3 bilion yang diumumkan tahun lalu.



Dengan JGI yang dilanjutkan itu, syarikat yang menggajikan pekerja setempat yang layak akan menerima sokongan gaji sehingga 12 bulan - bermula bulan mereka diambil bekerja.



Pekerja matang, individu kurang upaya dan bekas pesalah pula akan diberikan lebih banyak sokongan sehingga 18 bulan.



Lebih 110,000 pekerja telah digajikan di bawah JGI dalam dua bulan pertama selepas skim itu dilaksanakan pada September lalu.



Di bawah JGI, syarikat yang menggajikan pekerja setempat akan menerima subsidi 25 peratus daripada $5,000 yang pertama gaji bulanan kasar selama sehingga setahun.



Mereka yang menggajikan pekerja berusia 40 tahun ke atas, kurang upaya dan bekas pesalah dari September lalu hingga bulan ini pula akan menerima subsidi 50 peratus daripada $5,000 yang pertama gaji bulanan kasar selama sehingga 18 bulan.



Bagi gaji mulai Mac ini, majikan akan menerima subsidi 50 peratus daripada $6,000 yang pertama gaji bulanan kasar selama sehingga 18 bulan.



Sementara itu, Program Pelatih SGUnited, Program Laluan Pertengahan Kerjaya SGUnited - Penempatan di Syarikat/Latihan di Syarikat, dan Program Kemahiran SGUnited, akan dilanjutkan buat setahun lagi sehingga 31 Mac tahun depan.



Gaji di bawah Program Pelatih SGUnited, yang membantu lulusan baru meraih pengalaman pekerjaan yang relevan dengan industri dan membina rangkaian profesional, juga akan dipertingkat mulai 1 April ini.



Gaji bagi lulusan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) akan dinaikkan daripada $1,100-$1,500 kepada $1,600-$1,800 manakala gaji lulusan diploma pula akan ditambahkan daripada $1,300-$1,800 kepada $1,700-$2,100.



Tempoh maksimum bagi setiap program pelatih pula akan dikurangkan daripada sembilan kepada enam bulan mulai 1 April sejajar dengan pemulihan ekonomi dan untuk menggalak majikan menawarkan pekerjaan sepenuh masa kepada pelatih.



Sementara itu, elaun latihan maksimum di bawah Program Laluan Pertengahan Kerjaya SGunited - Penempatan di Syarikat akan dinaikkan kepada sehingga $3,800 sebulan bagi pelatih berusia 40 tahun dan ke atas manakala elaun latihan minimum akan dinaikkan kepada $1,600 sebulan bagi pelatih berusia di bawah 40 tahun.



Kadar pembiayaan bersama pemerintah bagi pelatih matang juga akan dinaikkan kepada 90 peratus.



Tempoh latihan maksimum bagi setiap penempatan di syarikat pula akan dikurangkan daripada sembilan kepada enam bulan mulai 1 April ini.



Dalam pada itu, kursus yang ditawarkan di bawah Program Laluan Pertengahan Kerjaya SGUnited - Latihan di Syarikat dan Program Kemahiran SGUnited pula akan dijadikan lebih padat mulai 1 April ini, dengan tempoh sehingga enam bulan secara umumnya untuk menyalurkan pemohon kerja kepada peluang pekerjaan dengan lebih pantas.



Hampir 76,000 individu telah berjaya mendapatkan pekerjaan dan peluang latihan di bawah Pakej Pekerjaan dan Kemahiran SGUnited sehingga hujung tahun lalu, kata Encik Heng, sambil menambah bahawa rakyat Singapura memerlukan pengetahuan dan kemahiran baru sedang syarikat dan industri berubah.



"Memandang ke hadapan, sedang syarikat dan industri menjalani transformasi, dan bidang pertumbuhan baru muncul, rakyat kita akan memerlukan kemahiran dan ketangkasan untuk bergerak. Untuk bangkit lebih kukuh, rakyat kita akan memerlukan pengetahuan dan kemahiran baru," kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >