Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Langkah peluasan Pusat Pemeriksaan Woodlands: Ada penduduk keberatan pindah, ada tidak sabar

May 27, 2022 | 05:44 PM



 



PENDUDUK kawasan Marsiling Crescent dan Marsiling Lane melahirkan perasaan bercampur baur susulan langkah Pemerintah mengambil semula flat mereka bagi memberi laluan kepada peluasan Pusat Pemeriksaan Woodlands.


Ada penduduk, terutama yang sudah menginap lama di sana, keberatan untuk berpindah kerana sukakan pemandangan dan angin kencangnya, serta saiz ‘flat lama’ yang dikatakan agak besar dan sukar didapati di kalangan flat baru.  


Tetapi ada juga yang tidak sabar untuk berpindah kerana menurut mereka, estet perumahan itu terletak agak jauh daripada kemudahan.


Semalam (26 Mei), Penguasa Tanah Singapura (SLA), Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) serta Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) mengumumkan bahawa Pusat Pemeriksaan Woodlands akan diperluaskan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.


Rancangan itu akan melibatkan pemerolehan sembilan blok HDB di Marsiling Crescent dan Marsiling Lane – iaitu Blok 210 hingga Blok 218.


Ini merangkumi 732 flat dijual, 53 flat sewa, sebuah kios sewa, enam kedai sewa dan sebuah tempat makan yang disewakan.


Mereka perlu berpindah selewat-lewatnya pada suku kedua 2028.

Pemilik flat yang terjejas antara lain akan diberi pampasan berdasarkan nilai pasaran unit masing-masing pada tarikh pemerolehan.


Mereka juga diberi pilihan dan keutamaan untuk membeli flat baru yang akan dibina di Woodlands Street 13 dengan tempoh pajakan baru selama 99 tahun pada harga bersubsidi.


Cik Sulis Subakir, 37 tahun, antara penduduk yang mengalu-alukan berita pemerolehan yang diterimanya kelmarin itu.


Beliau telah menginap di Blok 217 sejak 19 tahun lalu setelah berkahwin dengan suaminya yang merupakan pemilik pertama flat empat bilik itu yang dibeli sekitar tahun 1980-an.


Ibu tiga anak itu berkata beliau telah lama mengajak suaminya berpindah ke kawasan yang mempunyai lebih banyak kemudahan tetapi suaminya enggan.


“Ramai penduduk sini datang dari kampung yang sama jadi mereka sudah lama mengenali suami saya. Kami juga ada saudara di sini jadi memang sayang nak pindah. Tapi estet ini jauh dari sekolah anak-anak. Ia juga jauh dari stesen MRT,” kata warga Singapura asal Indonesia itu.


Suri rumah itu berkata beliau akan berbincang dengan suaminya dahulu tentang rancangan perumahan mereka, dan akan mendengar sesi perkongsian daripada HDB, SLA dan ICA hujung minggu ini untuk memahami lebih lanjut tentang pilihan yang ada.


“Rumah sekarang ini sudah habis dibayar. Suami saya pula seorang pesara jadi kalau kami beli flat baru, kami mungkin perlu berhutang. Tetapi saya tertarik dengan flat yang ditawarkan di Woodlands Street 13 kerana ia dekat dengan stesen MRT dan sekolah anak saya,” kata Cik Sulis.


Seorang lagi penduduk kawasan itu, yang tidak mahu namanya disiarkan, berkata beliau agak sedih untuk pindah kerana telah tinggal di situ selama 18 tahun.


“Pemandangan di sini sangat istimewa dan tidak boleh didapati di tempat lain. Flat saya ini juga sangat luas dan lapang. Saya merancang berpindah ke flat baru yang dibangunkan untuk penduduk yang terjejas tetapi saya tidak tahu sama ada flat itu luas atau tidak dan sama ada pemandangannya secantik di sini. Saya juga akan merindui jiran-jiran di sini dan kemudahan yang ada seperti pasar dan pasar raya yang terletak berdekatan,” kata penolong teknikal berusia 61 tahun itu.


Sementara itu, kedai-kedai yang terjejas di kawasan tersebut termasuk sebuah kedai runcit di kolong Blok 216.


Pemiliknya, Encik Mani Maran, 46 tahun, berkata beliau suka berniaga di sana kerana pelanggan tetapnya, yang terdiri daripada penduduk berdekatan, sudah dianggap sebagai ahli keluarga.


“Saya memilih membuka kedai di sini kerana ia terletak dekat dengan rumah saya di Woodlands Avenue 4. Saya sudah lapan tahun berniaga di sini. Nampaknya saya perlu mencari tempat baru untuk kedai saya, tetapi saya belum tahu lagi di mana. Masih ada lagi beberapa tahun sebelum saya perlu berpindah jadi buat masa ini saya akan berniaga sahaja seperti biasa,” kata penduduk tetap yang berasal dari India itu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >