LEBIH 2 juta warga Singapura telah menunaikan kewajipan untuk membuang undi di 832 pusat mengundi serata negara.
Dalam kenyataannya, Jabatan Pilihan Raya (ELD) berkata 2,085,676 warga telah mengundi menjelang 5 petang tadi.
Sebanyak 2.46 juta warga dijangka mengundi menjelang 8 malam ini dalam pilihan raya umum di mana semua kerusi dipertandingkan.
Sejumlah lapan parti pembangkang bertanding menentang parti pemerintah Parti Tindakan Rakyat (PAP).
Para pengundi akan memilih 89 Anggota Parlimen bagi 16 GRC dan 13 SMC.
Selepas pusat mengundi ditutup pada 8 malam, tiada kertas mengundi akan diberi.
Untuk pertama kalinya, ELD juga akan mendedahkan keputusan awal tidak rasmi berdasarkan "kiraan sampel" bagi setiap 16 GRC dan 13 SMC.