Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Lebih 700 keluarga flat sewa dibantu beli flat tahun lalu

Faishal: Perangkaan tunjuk impian miliki flat boleh dicapai; warga boleh manfaatkan pelbagai skim, geran
Jan 25, 2023 | 05:30 AM



LEBIH 700 isi rumah yang tinggal di flat sewa awam berjaya memiliki rumah sendiri tahun lalu hasil bantuan pelbagai skim dan geran perumahan yang disediakan, kata Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).



Dalam pada itu, sehingga Disember lalu, hampir kesemua daripada 95 keluarga yang disertakan dalam Skim Perumahan Permulaan Baru sejak ia diperkenalkan pada 2016 telah dapat membeli flat baru sendiri.



Skim itu membantu keluarga dengan anak-anak di flat sewa - yang sebelum ini pernah menerima sekurang-kurangnya satu subsidi perumahan - membeli flat dua bilik fleksi dengan tempoh pajakan lebih pendek antara 45 dengan 65 tahun berbanding tempoh pajakan biasa selama 99 tahun.



Namun, mereka tidak lama lagi akan mempunyai pilihan membeli flat tiga bilik bermula dengan pelancaran penjualan Flat Bina Ikut Tempahan (BTO) bulan depan.



Sejak sedekad lalu, lebih 7,800 isi rumah yang tinggal di flat sewa telah berjaya memiliki rumah mereka sendiri, manakala lagi 2,300 keluarga pula telah menempah flat dan sedang menanti ia selesai dibina.



Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, berkata perangkaan tersebut menunjukkan bahawa langkah memiliki rumah sendiri adalah satu matlamat yang boleh dikecapi.



"Dengan usaha daripada keluarga dan sokongan kukuh daripada pemerintah dan masyarakat, saya berharap ini akan menggalak lebih ramai keluarga untuk berusaha ke arah matlamat ini.



"Kami rasa terdorong dan kami akan terus bekerjasama dengan lebih ramai keluarga yang tinggal di flat sewa dan menghubungkan mereka dengan platform lain seperti ComLink dan usaha masyarakat lain.



"Ini untuk memberikan mereka kestabilan dan kemampanan supaya mereka dapat memiliki rumah sendiri," kata beliau.



Sejak November lalu, keluarga mempunyai anak yang memohon flat sewa awam kini secara automatik disertakan dalam skim ComLink untuk mendapat sokongan sosial, kesihatan dan masyarakat lebih menyeluruh.



Dr Faishal menambah terdapat juga Projek Dian yang membantu memperkasa keluarga Melayu/Islam berdikari, berpindah keluar dari flat sewa dan memiliki flat sendiri.



Daripada jumlah lebih 700 isi rumah yang memiliki rumah sendiri tahun lalu, tujuh daripada 10 isi rumah membeli flat dari HDB dan bakinya membeli flat jualan semula.



Sekitar dua pertiga daripada mereka meraih manfaat daripada pelbagai geran perumahan seperti Geran Perumahan CPF Dipertingkat (EHG) sehingga $80,000.



HDB menambah bahawa sebahagian besar isi rumah itu membeli sama ada flat tiga bilik atau empat bilik di estet bukan matang.



Kira-kira separuh membeli flat tiga bilik, sementara sekitar seperempat membeli flat empat bilik dengan geran perumahan.



Kebanyakan keluarga tersebut menggunakan 25 peratus atau kurang daripada pendapatan bulanan mereka untuk membayar bayaran ansuran rumah, dengan perbelanjaan wang tunai yang sedikit atau minimum.



Bagi keluarga yang memerlukan sokongan tambahan, HDB mempunyai Pasukan Sokongan Pemilikan Rumah (HST) yang dibentuk pada 2019 untuk membantu keluarga flat sewa sepanjang perjalanan - daripada perancangan membeli rumah hingga mengambil kunci rumah baru.



Sekitar 1,400 isi rumah flat sewa telah dibantu pasukan itu sehingga 31 Disember lalu.



Daripada jumlah 95 keluarga yang disertakan dalam Skim Perumahan Permulaan Baru pula, HDB berkata 44 daripada mereka telah mengambil kunci rumah baru, 48 keluarga sedang menantikan kunci rumah, manakala tiga keluarga sedang menunggu untuk menempah flat.



Dr Faishal berkata keluarga yang tinggal di flat sewa mungkin menghadapi keadaan yang menjadikan ia mencabar untuk memiliki flat sendiri, seperti pekerjaan, tanggungjawab menjaga anggota keluarga dan hubungan keluarga.



Oleh itu, adalah penting untuk menggabungkan bantuan yang dihulurkan kepada keluarga tersebut dengan sokongan sosial juga supaya dapat menangani cabaran secara menyeluruh.



Laporan lanjut: Impian ibu 3 anak miliki flat sendiri jadi kenyataan




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >