Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Lebih banyak sokongan kerja, kesihatan, pendidikan awal untuk masyarakat: Masagos

Sokongan bagi keluarga flat sewa, pembangunan holistik sektor agama turut jadi tumpuan pemimpin Melayu/Islam
Jan 15, 2023 | 05:30 AM



MASYARAKAT Melayu/Islam boleh menjangkakan lebih banyak sokongan bagi pekerjaan, kesihatan dan pendidikan awal, serta sokongan untuk keluarga di flat sewa tahun ini.



Di samping itu, sektor agama pula terus dibangunkan secara menyeluruh, sama ada menerusi peningkatan keupayaan asatizah serta penjanaan sumber melalui Wakaf Masyarakat Singapura, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.



"Tugasnya berterusan. Apa yang kami lakukan sepanjang beberapa tahun lalu menerusi M Kuasa Tiga (M³), mengatasi isu dalam masyarakat dan di peringkat nasional.. tugasnya tidak akan berakhir," ujar Encik Masagos.



Beliau berkata demikian dalam satu wawancara dengan media yang mengimbas perkembangan masyarakat Melayu/Islam sepanjang 2022, serta mengupas cabaran untuk 2023.



Antara program di bawah M³ yang akan diteruskan dan dipergiat tahun ini ialah program bimbingan pekerjaan di bawah kerjasama M³ dan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) yang telah membantu hampir 2,000 pekerja Melayu/Islam tahun lalu.



Perbincangan kini diadakan dengan badan Melayu/Islam lain untuk merujuk benefisiari mereka bagi mendapatkan bimbingan atau bantuan pekerjaan.



Program Saham Kesihatan, satu usaha mengurangkan gejala penyakit kronik dalam kalangan masyarakat Melayu, pula akan diperluaskan kepada lebih banyak Bandar@M³.



Di bawah satu lagi program M³ KelasMateMatika@Kelab Masyarakat (KMM@CC) pula, 100 sukarelawan sedang dilatih untuk mendekati dan mendaftar 2,500 kanak-kanak berusia antara empat dan enam tahun untuk menyertai program pendidikan itu.



Selain itu, Projek Dian@M³ yang sudah mendekati 170 keluarga di flat sewa pula akan diteruskan dengan tumpuan diberikan kepada keluarga muda yang mempunyai kanak-kanak kecil.



Dalam sektor agama pula, Encik Masagos berkata kepimpinan Melayu/Islam sedang meneliti semula sektor keagamaan sedia ada bagi menentukan keperluan masyarakat serta menetapkan langkah yang perlu diambil memandang ke hadapan.



Ini merangkumi usaha memperkukuh institusi keagamaan, membangunkan tenaga asatizah serta mewujudkan sumber pendapatan baru menerusi Wakaf Masyarakat Singapura yang dirancang menjadi dana endowmen Islam yang menjana pendapatan mapan bagi keperluan jangka.



Mengimbas pencapaian masyarakat sepanjang 2022, Encik Masagos berkata masyarakat telah menunjukkan keyakinan dan daya tahan dalam mengharungi cabaran sedang Singapura memasuki dunia pascapandemik.



Melangkah ke 2023, keyakinan ini akan meletakkan masyarakat dalam landasan baik untuk menghadapi ketidaktentuan seperti inflasi dan kos sara hidup yang meningkat.



"Kita perlu membina kepercayaan bahawa kita boleh mencapai ke tahap lebih tinggi dengan landasan yang mantap, asalkan kita tahu apakah cabaran yang perlu ditangani.



"Saya memberikan cabaran kepada semua yang sudah berjaya supaya memikirkan bukan hanya untuk mempertingkatkan kemajuan aset keluarga kita tetapi bagaimana kita boleh menggunakan keupayaan kita untuk mempertingkatkan lagi masyarakat," ujar Encik Masagos.



Turut hadir di wawancara itu ialah lima lagi pemegang jawatan politik Melayu/Islam - Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman; Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad; Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim; Setiausaha Parlimen Kanan (Kesihatan merangkap Undang-Undang), Cik Rahayu Mahzam; dan Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >