Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Lega masa depan anak istimewa dijaga dengan skim SNTC

Skim pastikan penjagaan jangka panjang bagi anggota keluarga berkeperluan khas
Jul 01, 2021 | 05:30 AM



WALAUPUN mempunyai dua anak berkeperluan khas, Encik Buang Ahmad, 70 tahun dan isterinya, Cik Noorhayah Mohd Arrifin, 66 tahun, tidak merasa begitu terbeban kerana sangat menyayangi mereka, apatah lagi anak-anak yang sudah dewasa itu berkelakuan baik.



Anak-anak mereka, Encik Mohamed Halim Buang, 42 tahun, dan Encik Abdul Kadir Buang, 44 tahun telah dikesan mengalami daya intelek rendah semasa di sekolah rendah, justeru telah dipindahkan ke sekolah yang dikendalikan Persatuan Golongan Kurang Daya Intelek Singapura (Minds).



Namun Encik Buang, yang kini tidak bekerja kerana menghidapi glaukoma, ditambah pula dengan kesedaran usia yang semakin lanjut, mula diselubungi perasaan bimbang apabila mengenangkan bagaimana nasib anak-anak itu seandainya ajal menjemput beliau dan isteri lebih awal.



"Saya dan isteri sudah tua, dan kami bimbang akan masa depan kedua-dua anak kami. Siapa yang akan jaga mereka seandainya kami tak ada lagi nanti," luah Encik Buang ketika ditemui Berita Harian.



Mujur mereka kini menyertai Skim Dana Amanah Keperluan Khas Muis yang menawarkan khidmat kepada keluarga yang ingin memastikan kesejahteraan dan penjagaan jangka panjang anggota keluarga mereka yang berkeperluan khas, terutama bagi keluarga berpendapatan sederhana atau rendah.



Di bawah skim tersebut, yang diadakan dengan Syarikat Amanah Keperluan Khas (SNTC), Muis menaja wang permulaan minimum $5,000 yang diperlukan dan memadankan sehingga $5,000 jumlah yang dimasukkan ke akaun itu oleh keluarga, membawa jumlah keseluruhan sehingga $10,000.



Skim itu telah wujud sejak Februari 2019, dengan Muis memperuntuk $1 juta untuk disalurkan kepada SNTC - satu-satunya syarikat amanah tanpa meraih untung di Singapura yang memiliki status pertubuhan amal - untuk membantu sekitar 100 keluarga berkeperluan khas memanfaatkan skim tersebut.



Selepas mendapat tahu tentang skim itu yang boleh membantu anak-anaknya di masa depan, Encik Buang berkata beliau tidak berlengah untuk membuka akaun bagi kedua-dua anaknya.



"Saya sangat berterima kasih atas bantuan SNTC dan Muis kerana dapat menolong dan meringankan kesusahan kami berdua dari segi kewangan.



"Dengan pembukaan akaun ini, saya tahu anak-anak saya akan terjaga dari segi kewangan kerana SNTC akan menguruskan kos perbelanjaan dan keperluan penjagaan bulanan anak-anak saya semasa saya dan isteri sudah tiada," ujar Encik Buang.



Bagi Cik Noorhayah, mengetahui kedudukan kewangan anak-anak mereka terjaga, sangat melegakan dan meringankan beban minda dan jiwa.



"Anak-anak kami berkelakuan baik. Senang dengar cakap, suka membantu dan senang cakap, mereka biasanya dalam keadaan gembira.



"Hubungan kami sangat rapat. Sebab itu, saya benar-benar berharap, seandainya saya dan suami tak ada lagi, janganlah antara abang dan adik dipisahkan.



"Saya pernah diberitahu, hidup saya susah sebab kena jaga dua orang anak istimewa yang kurang daya intelek. Saya kuatkan semangat dan sentiasa mengingatkan diri, ada ibu bapa lain yang lebih susah daripada saya," ujarnya.



Cik Noorhayah turut menggalakkan agar keluarga yang mengalami situasi serupa dapat mengambil kesempatan penajaan skim bantuan itu untuk meringankan beban.



"Apa yang penting sekarang, sebagai ibu bapa, kita perlu merancang untuk masa depan anak-anak. Lebih-lebih lagi yang berkeperluan khas," tambah beliau.



Antara kriteria kelayakan yang ditetapkan bagi bantuan Muis adalah individu berkeperluan khas perlu beragama Islam dan merupakan warga Singapura atau penduduk tetap, dengan pendapatan keluarga tidak melebihi $8,000 sebulan dan pendapatan per kapita tidak melebihi $2,000 sebulan.



Skim itu ditawarkan sehingga 31 Disember 2021 dan turut ditawarkan kepada pelanggan Muslim sedia ada SNTC yang layak berdasarkan kriteria yang ditetapkan.



Mereka yang berminat menyertai skim ini boleh menghubungi SNTC di talian 6278-9598 untuk mengatur sesi janji temu.



Maklumat lanjut boleh didapatkan di laman Muis di www.muis.gov.sg dan laman SNTC di www.sntc.org.sg.




"Saya sangat berterima kasih atas bantuan SNTC dan Muis kerana dapat menolong dan meringankan kesusahan kami berdua dari segi kewangan. Dengan pembukaan akaun ini, saya tahu anak-anak saya akan terjaga dari segi kewangan kerana SNTC akan menguruskan kos perbelanjaan dan keperluan penjagaan bulanan anak-anak saya semasa saya dan isteri sudah tiada."
- Encik Buang Ahmad.



"Saya pernah diberitahu, hidup saya susah sebab kena jaga dua orang anak istimewa yang kurang daya intelek. Saya kuatkan semangat dan sentiasa mengingatkan diri, ada ibu bapa lain yang lebih susah daripada saya. Apa yang penting sekarang, sebagai ibu bapa, kita perlu merancang untuk masa depan anak-anak. Lebih-lebih lagi yang berkeperluan khas"
- Cik Noorhayah Mohd Arrifin.




CARA SERTAI SKIM DANA AMANAH KEPERLUAN KHAS MUIS



1) Hubungi Syarikat Amanah Keperluan Khas (SNTC) untuk mengatur janji temu dengan Pengurus Kes. Hubungi talian 6278-9598.



2) Ibu bapa/penjaga individu berkeperluan khas harus mengunjungi SNTC.



3) SNTC akan mengendalikan penilaian keperluan menyeluruh, mengenal pasti kelayakan skim tersebut dan membentuk Rancangan Penjagaan.



4) Apabila permohonan diluluskan, Muis akan mengagihkan $5,000 bagi setiap akaun dana amanah yang dibuka.



5) Ibu bapa/penjaga menyuntik aset sendiri ke dalam akaun dana amanah tersebut.



6) Muis akan memadankan jumlah yang disuntik sehingga $5,000 bagi setiap akaun berdasarkan jumlah yang disalurkan.



KRITERIA KELAYAKAN:



1) Individu yang bakal meraih manfaat daripada dana amanah itu menepati definisi SNTC berkaitan "individu berkeperluan khas" sepertimana diluluskan oleh Pejabat Pemegang Amanah Awam (PTO) Singapura.



2) Pendapatan keluarga tidak boleh melebihi $8,000 dengan pendapatan per kapita tidak melebihi $2,000.



3) Ibu bapa/penjaga yang akan menyalurkan aset ke akaun tersebut berusia 21 tahun ke atas dan tidak muflis.



4) Penerima manfaat dana amanah beragama Islam.



5) Penerima manfaat dana amanah adalah warga Singapura atau penduduk tetap di Singapura.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >