LELAKI berusia 90 tahun, yang telah menerima dua dos vaksin Covid-19 dan menghidap penyakit buah pinggang kronik serta tekanan darah tinggi, meninggal dunia disebabkan komplikasi Covid-19 kelmarin, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).
Beliau merupakan pesakit pertama yang meninggal dunia akibat masalah kesihatan berkaitan Covid-19 selepas lengkap divaksin.
Lelaki itu mula mengalami gejala pada 29 Julai, yang dikesan selepas beliau menjalani ujian Covid-19 pada 1 Ogos, sebagai sebahagian daripada ujian yang dijalankan dalam masyarakat.
Beliau sesak nafas dan pening pada 2 Ogos, dan dibawa ke Hospital Tan Tock Seng di mana beliau dimasukkan ke unit jagaan rapi (ICU) kerana mengalami sepsis daripada radang paru-paru.
Beliau telah lengkap divaksin Covid-19 sebelum itu, namun usia lanjut dan menghidap penyakit buah pinggang kronik serta tekanan darah tinggi, menurut kenyataan MOH.
Seramai 45 pesakit Covid-19 meninggal dunia akibat komplikasi secara keseluruhan.
Sementara itu, tiada kelompok baru dikesan pada Selasa.
Kelompok di dormitori 43 Sungei Kadut Loop bertambah kepada 14 kes, dengan satu lagi kes disahkan kelmarin.
Sebanyak 56 kes jangkitan baru dilaporkan kelmarin, 52 daripadanya dikesan dalam masyarakat.
Daripada kes-kes masyarakat itu, 35 terkait dengan kes sebelumnya dan dikenakan perintah kuarantin sementara tiga lagi kes berkaitan tidak dikuarantin semasa disahkan positif.
Sebanyak 14 kes tidak mempunyai sebarang kaitan awal.
Empat kes import dikesan dan diasingkan sebaik tiba di Singapura.
Menurut MOH lagi, enam kelompok sudah ditutup.
Dengan itu, kini terdapat 93 kelompok aktif dengan tiga hingga 1,155 kes.