SEORANG lelaki berusia 26 tahun ditahan pada Sabtu (29 September) kerana didakwa mengganggu anggota Gereja Our Lady of Lourdes di Ophir Road.
Lelaki itu difahamkan menghampiri beberapa wanita di gereja tersebut dan membuat mereka tidak selesa dengan tindakannya, lapor akhbar The Straits Times dalam talian.
Salah seorang wanita itu terkejut dengan insiden tersebut dan berlari keluar dari bangunan gereja. Lelaki berkenaannya mengekorinya sejurus selepas itu.
Apabila dia mendapati bahawa polis telah dimaklumkan, dia cuba melarikan diri dengan menerjun ke dalam terusan Rochor Canal dan cuba berenang. Dia ditahan oleh seorang pegawai polis di dalam terusan itu.
Dia kemudian ditangkap kerana menggunakan kata-kata kasar terhadap seorang penjawat awam, melakukan gangguan yang disengajakan dan mabuk di tempat awam.
Polis berkata mereka menerima panggilan bagi bantuan di Jalan Ophir sekitar 1.30 petang.
Lelaki berusia 26 tahun itu dalam keadaan sedar ketika dibawa ke Hospital Tan Tock Seng, kata polis.
Video yang tular di platform mesej WhatsApp menunjukkan lelaki dan pegawai polis itu di dalam terusan Rochor Canal.
Lelaki itu kelihatan tersandung di dalam air, yang sedalam sekitar paras bahu, dan pegawai tersebut menyokongnya.
Video itu juga menunjukkan seorang lagi pegawai polis berlari untuk mendapatkan pelampung, sedang orang ramai berkumpul di tempat kejadian untuk melihat apa sedang berlaku.
Siasatan polis sedang dijalankan.