SMRT telah membentuk sebuah Lembaga Siasatan untuk menjalankan siasatan terhadap satu kemalangan maut di depot Ang Mo Kio baru-baru ini.
Lembaga itu akan dipengerusikan seorang anggota lembaga SMRT bersama seorang pakar kejuruteraan mekanikal bebas, umum pengendali pengangkutan itu dalam satu kenyataan semalam.
Kejadian itu berlaku di depot Ang Mo Kio SMRT Automotive Services pada pagi 6 Jun. Seorang mekanik meninggal dunia dalam kejadian itu. Beliau Penduduk Tetap (PR) berusia 43 tahun.
Semalam, SMRT berkata semua peralatan yang digunakan untuk mengangkat kenderaan di setiap bengkel SMRT Automative Services telah diperiksa selepas kejadian itu dan dilengkapi dengan taklimat berkaitan panduan keselamatan semasa bekerja bagi semua kakitangan.
Buat masa kini keutamaannya, kata SMRT, ialah memberi sokongan dan bantuan yang diperlukan keluarga mekanik yang terkorban itu dan juga menyediakan kaunseling bagi seorang lagi yang cedera.
Ia mengatakan demikian dalam kenyataan menerusi Facebook itu.
SMRT juga sedang bekerjasama dengan polis dan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam siasatan ke atas kejadian tersebut.
Mekanik itu maut dan rakan kerjanya cedera selepas bicu kenderaan yang digunakan untuk mengangkat sebuah bas mini yang sedang diperbaiki di depot itu terlepas.
Sebelum ini, jurucakap MOM berkata salah satu daripada dua bicu yang digunakan untuk mengangkat bahagian depan bas mini terlepas, menyebabkan kenderaan itu menimpa kededua mekanik.
Polis berkata ia menerima panggilan kecemasan sekitar 9.40 pagi itu.
Jurucakap polis memberitahu Berita Harian dua lelaki, berusia 43 tahun dan 44 tahun, dibawa ke hospital.
Lelaki lebih muda itu meninggal dunia di hospiotal.
Depot itu telah dikenakan Perintah Hentikan Kerja (SWO).