Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Lulusan Anglo-Chinese JC ingin berbakti kepada masyarakat

Feb 23, 2019 | 05:30 AM



DALAM era sekarang di mana kian ramai anak muda lebih cenderung terhadap budaya popular Barat atau arus popular Korea (K-pop), lain pula halnya bagi pelajar Maktab Rendah Anglo-Chinese (ACJC) Nurul Aqilah Dahlan.



Beliau, 19 tahun, masih tetap minat menyelami budaya Melayu. Bahkan, beliau memegang jawatan presiden Persatuan Budaya Melayu JC tersebut.



"Sebenarnya budaya Melayu unik. Ini yang mendorong saya supaya terus memperjuang dan melestarikannya," katanya, ketika dihubungi.



Beliau antara 13,042 pelajar yang menerima keputusan Peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat 'A' semalam.



Sebagai anggota persatuan budaya Melayu, beliau banyak mengusahakan pelbagai acara dan perkhemahan bahasa dan budaya.



Antaranya ialah penerbitan drama Cahaya di Hujung Senja tahun lalu, yang dipadankan daripada pentas radio karya penulis mapan M. Saffri A. Manaf.



Malah, anak kedua dalam keluarga empat beradik itu giat menjalankan beberapa program Nilai Dalam Tindakan (VIA).



Program sebegitu bersifat kemasyarakatan, khususnya membantu keluarga kurang bernasib baik.



Antara lain, beliau bekerjasama dengan Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) bagi projek membersihkan dan mengecat rumah keluarga kurang bernasib baik di Bedok.



Selain itu, lulusan Sekolah Menengah Evergreen itu merupakan Ketua Penolong Projek bagi Kem Pandan hasil kerjasama dengan Kelab Masyarakat (CC) Ulu Pandan.



Mereka menganjurkan perkhemahan khas buat kanak-kanak kurang berkemampuan kawasan tersebut.



Dalam pada itu, pengalaman memimpin pelajar di ACJC secara tidak langsung meningkatkan keyakinan dirinya.



Beliau pun mengasah kebolehannya menganjurkan program bermanfaat buat masyarakat.



"Meskipun apa yang kami lakukan agak kecil, saya tetap berpuas hati melihat senyuman yang terukir pada wajah mereka yang kami bantu.



"Penglibatan dalam kerja kemasyarakatan juga telah membuka mata saya terhadap peri pentingnya saling membantu, memandangkan kita hidup bermasyarakat," katanya.



Beliau pun terpanggil melakukan kerja kemasyarakatan hasil dorongan ibu bapanya, Cik Norhayati Adris dan Encik Dahlan Manab, kedua-duanya berusia 42 tahun.



Cik Norhayati, yang bekerja sebagai pengurus operasi, dan Encik Dahlan, yang bertugas sebagai pembekal khidmat, banyak menerapkan nilai positif ke dalam diri Aqilah.



Mereka pun mendorongnya agar tidak lupa berkhidmat kepada masyarakat terutama sekali membantu mereka yang kurang bernasib baik.



Aqilah bukan sahaja giat berbakti pada peringkat setempat. Bahkan, beliau sanggup merantau demi membantu sesama insan.



Hal tersebut dapat dilihat misalnya menerusi penglibatannya sebagai ketua projek mendekati masyarakat di Chiang Mai, Thailand. Projek tersebut membantu kanak-kanak kurang bernasib baik.



Ternyata semangat ingin berkhidmat terus mekar di sanubari anak muda ini.



Aqilah, yang mengambil tujuh mata pelajaran, meraih gred 'A' bagi Bahasa Melayu (H1) dan Kerja Projek (H1), serta gred 'B' bagi Kimia (H2), Matematik (H2) dan Kertas Umum (H1).



Beliau turut meraih gred 'C' bagi Kesusasteraan Inggeris (H2) dan gred 'D' bagi Ekonomi (H1).



Hasil keputusan itu, beliau yang bercita-cita mahu menjadi jururawat, bertekad memohon kursus kejururawatan di Universiti Nasional Singapura (NUS).



Katanya, beliau terpanggil menceburi kerjaya itu menyusuli kemalangan ngeri yang menimpanya ketika beliau belajar di Darjah Dua.



"Saya dilanggar kereta ketika menyeberang jalan. Selama sebulan, saya dirawat di hospital ekoran keretakan pada kaki dan perlu menjalani pemeriksaan susulan.



"Khidmat, senyuman dan kasih sayang yang ditonjolkan jururawat di hospital ketika itulah yang membuat saya terpanggil menceburi bidang ini," kongsinya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >