Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Lulusan ITE mahu ukir nama tanding dandan rambut di WorldSkills Asean

Jul 25, 2023 | 12:11 PM



Cik Rohanizah Mohd Rashid, seorang lulusan Nitec dalam bidang reka gaya rambut dari Kolej East Institut Pendidikan Teknikal (ITE), ingin mengukir nama dalam dunia kecantikan serta dandanan rambut dengan menyertai pertandingan WorldSkills Asean bagi kali pertama.

Pada usia 18 tahun, perasaan gementar campur bersyukur menyelimuti hatinya kerana diberi peluang mewakili Singapura dalam pertandingan berprestij itu.

Sejak Disember 2022, Cik Rohanizah telah memulakan latihan dengan tekun dan gigih mengasah kemahiran mendandan rambut bagi persiapan menyertai pertandingan WorldSkills.

Meskipun tinggal di bahagian barat Singapura dan perlu menempuh perjalanan selama satu jam setengah untuk sampai ke sekolah, semangatnya tetap membara.

Keinginannya untuk menyertai pertandingan itu dan mengharumkan nama negara menjadi sumber kekuatan bagi dirinya menghadapi setiap cabaran.

Malah dalam perjalanan ke ITE, Cik Rohanizah menggunakan peluang itu untuk mengamati gaya dan stail rambut penumpang di sekelilingnya.

Selain itu, beliau juga menggunakan aplikasi media sosial seperti Instagram dan TikTok untuk mencari inspirasi dan mempelajari trend terkini dalam bidang menggayakan rambut.

Bagi Cik Rohanizah, minat dalam seni mendandan rambut bermula ketika beliau mewarnakan rambut rakan sekolahnya.

“Kawan saya sangat gembira dengan hasil rambutnya dan tidak ada sebarang rasa kecewa. Itulah titik tolak saya untuk menceburi bidang pengayaan rambut di ITE,” katanya dengan penuh semangat.

Pada 2021, jurulatih di ITE memberitahunya tentang pertandingan WorldSkills Asean.

Dengan kejayaannya memenangi pertandingan di antara kelas di ITE, Cik Rohanizah semakin yakin dengan kemahirannya dan bercita-cita menyertai pertandingan itu.

Bagi memastikan beliau berada dalam keadaan terbaik semasa pertandingan WorldSkills pada akhir Julai, Cik Rohanizah berusaha dengan sepenuh hati.

Beliau menghadiri sekolah lima hari seminggu dan menghabiskan sekitar lapan jam sehari untuk berlatih.

Semasa latihan, jurulatihnya akan menunjukkan gambar-gambar stail rambut yang perlu Cik Rohanizah hasilkan menggunakan kepala patung sebagai model.

Tugas beliau adalah menyiapkan rambut patung tersebut dalam masa yang ditetapkan dan mencapai hasil yang serupa dengan gambar yang diberikan.

Jurulatih akan memberikan penilaian dan maklum balas bagi membantu Cik Rohanizah terus mengasah kemahirannya.

Cik Rohanizah mampu memotong dan mewarnakan sekitar tiga hingga empat stail rambut dalam sesi latihan.

Beliau dengan rendah hati mengakui bahawa semua pencapaiannya itu tidak mungkin menjadi nyata tanpa sokongan keluarga, rakan-rakan dan pembimbingnya.

Ibu Cik Rohanizah sentiasa menyediakan makanan untuknya kerana mengetahui kesibukannya.

Rakan-rakannya juga memberi sokongan dan menemaninya semasa beliau berlatih di makmal rambut.

Cik Rohanizah berharap untuk menjadi seorang pakar dalam dunia dandanan rambut pada masa akan datang dan mengharumkan nama Singapura dengan kemahirannya.

Untuk kali pertama, Singapura menjadi tuan rumah pertandingan WorldSkills Asean 2023.

Presiden Halimah Yacob merupakan tetamu terhormat bagi acara pembukaan pada Sabtu yang diadakan di dewan Singapore Expo.

Lebih 170 belia dari negara Asean bertanding dalam 22 bidang kemahiran.

Singapura diwakili oleh 44 belia dari Institut Pengajian Tinggi (IHLs) dalam kesemua 22 kategori, menjadikan ia kontingen terbesar yang pernah dihantar Singapura sejak 2008.

Pertandingan itu berlangsung kini dari Sabtu hingga Khamis.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >