Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

KEBERKESANAN M KUASA TIGA (M3 )

M3 telah berkembang dalam penuhi keperluan masyarakat

Langkah proaktif hulur bantuan buah hasil
Jan 15, 2023 | 05:44 AM



Masyarakat Melayu/Islam telah meraih kemajuan dalam pelbagai bidang dalam rangka mencapai visi Masyarakat Gemilang yang disasarkan. Kesungguhan masyarakat mengorak langkah ke arah model masyarakat minoriti berjaya terserlah, meskipun dalam ketidaktentuan yang berpunca daripada pandemik Covid-19 serta pergolakan ekonomi dan geopolitik. Bagi mendampingi masyarakat berdepan dengan cabaran akan datang, prasarana sosial sedia ada perlu terus diperkukuh sepertimana yang disasarkan M Kuasa Tiga (M³) melalui bidang tumpuan berbeza. Ikuti wawancara BERITA MINGGU bersama Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, serta lima pemegang jawatan politik Melayu/Islam lain dalam mengimbas pencapaian masyarakat tahun lalu dan membincangkan perkembangan seterusnya dalam membuka lembaran baru bagi 2023. 



HAMPIR lima tahun sejak M Kuasa Tiga (M3) diperkenalkan, ia telah berubah dan berkembang menjadi wadah yang mendekati golongan memerlukan secara proaktif menerusi lawatan rumah ke rumah untuk mengenal pasti keperluan mereka.



Ia tidak hanya menunggu golongan tersebut tampil mendapatkan bantuan, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.



"M Kuasa Tiga (M3) telah berubah bukan sahaja menjadi program melibatkan karyawan yang memanfaatkan bidang kepakaran mereka (untuk menyumbang kembali kepada masyarakat)... bahkan karyawan ini juga pergi dari rumah ke rumah dan tidak menunggu orang yang memerlukan bantuan untuk datang kepada kami.



"Sebenarnya ia menangani isu di peringkat awal, memahami keluarga dengan lebih baik, serta memadankan mereka kepada sumber nasional, menggunakan pendekatan budaya dan agama kami," ujar Encik Masagos.



Beliau berkata demikian dalam satu wawancara melibatkan pemegang jawatan politik Melayu/Islam bersama media untuk mengongsi perkembangan masyarakat Melayu/Islam sepanjang 2022.



M3 merujuk kepada wadah yang menggembleng tenaga Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Yayasan Mendaki dan Majlis Penyelaras Kumpulan Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra).



Daya usaha itu kali pertama diumumkan Encik Masagos pada 2018, dengan tujuan memperkukuh kerjasama ketiga-tiga badan itu serta menyelaras sumber bagi membantu masyarakat.



M3 juga memberi wadah kepada sukarelawan untuk berkhidmat kepada masyarakat, melibatkan kumpulan karyawan seperti guru, karyawan penjagaan kesihatan dan peguam.



Contohnya, kumpulan peguam giat membantu untuk memupuk kesedaran tentang Surat Kuasa Berkekalan (LPA) dalam masyarakat.



Kini, kumpulan karyawan itu bukan hanya menyumbang dalam bidang kepakaran masing-masing, bahkan turut terlibat dalam inisiatif seperti Projek Dian@M³, kata Encik Masagos.



Projek itu mendekati keluarga di rumah sewa untuk memberi sokongan menyeluruh, termasuk bantuan mendapatkan pekerjaan tetap dan stabil, selain memudahkan anak mereka memasuki prasekolah atau memastikan mereka hadir di sekolah.



Turut hadir di wawancara itu, Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman, berkata bantuan kepada masyarakat juga kini diselaraskan lebih baik dengan adanya penubuhan Pejabat Penyelarasan Penglibatan Masyarakat (M3Eco).



Pejabat itu menyelaras usaha di 11 M3@Bandar seluruh Singapura, dan membawa masuk sumber nasional melalui kerjasama rapat dengan agensi pemerintah.



"Menerusi M3, kami berharap antara perkara yang telah berakar umbi ialah mesej kepada masyarakat bahawa bantuan selalu tersedia, sumber pun ada.



"Dengan adanya M3Eco dan Bandar@M3, mereka yang memerlukan sokongan dan bantuan tahu bagaimana mendapatkan bantuan, dan pada masa yang sama, mereka boleh didekati," kata Dr Maliki.



M3 mempunyai empat bidang tumpuan - menyokong perkahwinan, keibubapaan dan pendidikan awal kanak-kanak; menyokong individu dan keluarga rentan; memperkasa dan membimbing belia; serta pekerjaan dan daya kerja.



Setiausaha Parlimen Kanan (Kesihatan merangkap Undang-Undang), Cik Rahayu Mahzam, pula berkata M3 menyediakan struktur untuk mengenal pasti isu dan cabaran yang dihadapi masyarakat, serta membantu masyarakat untuk memahami cabaran yang menjejas masyarakat lebih luas di peringkat nasional.



Encik Masagos pula akur tugas dalam masyarakat tidak akan pernah berakhir.



"Kami akan selalu berdepan dengan cabaran baru. Tetapi seperti mana kami telah mengatasi Covid-19, masyarakat telah menunjukkan perpaduan dan keazaman untuk menghadapi apa jua cabaran, dan bersikap jujur tentang cabaran ini.



"Kami tidak berselindung tentang cabaran itu, tetapi sebaliknya menghuraikannya, dan kami boleh muncul dengan rasa bangga," ujarnya.




"Kami akan selalu berdepan dengan cabaran baru. Tetapi sepertimana kami telah mengatasi Covid-19, masyarakat telah menunjukkan perpaduan dan keazaman untuk menghadapi apa jua cabaran, dan bersikap jujur tentang cabaran ini.
Kami tidak berselindung tentang cabaran itu, tetapi sebaliknya menghuraikannya, dan kami boleh muncul dengan rasa bangga."
- Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >