Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Manfaatkan peluang belajar, niaga di serata AS: Chun Sing

S'pura tekan kepentingan dedah pelajar kepada kerencaman budaya di luar negara
Jan 27, 2021 | 05:30 AM



GOLONGAN pelajar dan peniaga Singapura perlu memanfaatkan pelbagai jenis peluang serta pendedahan melangkaui batas kawasan pantai timur dan pantai barat Amerika Syarikat.



Kawasan-kawasan itu menempatkan bandar terkenal seperti New York, Los Angeles dan San Francisco.



Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing (gambar) menzahirkan harapan tersebut dalam webinar anjuran Kedutaan Amerika di Singapura berjudul SelectUSA Tech Asean 2021 semalam.



Seminar itu bermatlamat menghubungkan syarikat teknologi yang berpangkalan di Asia Tenggara kepada peluang yang tersedia di Amerika, lapor akhbar The Straits Times.



"Saya sentiasa memberitahu orang ramai bahawa Amerika mempunyai 50 negeri bahkan setiap negeri memiliki ciri dan peluang perniagaan tersendiri yang tidak harus diketepi.



"Daripada situ, agensi yang berupaya menghubungkan syarikat kita ke sana seperti Enterprise Singapore boleh memainkan peranan menjalinkan kerjasama dengan pertubuhan setaraf di peringkat negeri mahupun kebangsaan," ujar Encik Chan.



Tambahnya, Singapura kini menekankan kepentingan mendedahkan golongan pelajar kepada kerencaman budaya di luar lingkungan Singapura.



Hal tersebut diusahakan supaya pelajar itu, yang seterusnya menjadi pekerja hari muka, mampu menghayati cabaran dan peluang yang wujud dalam pasaran berkenaan.



Pegawai komersial kanan Jabatan Perdagangan Amerika dan pemudah cara webinar, Encik Christopher Quinlivan, selanjutnya meminta pandangan Encik Chan tentang suasana perniagaan di kawasan Amerika yang kurang dikenali. Encik Chan membalas dengan mengutarakan contoh negeri di kawasan tenggara Amerika, Georgia.



Katanya, beliau pernah meluangkan masa selama enam bulan berlatih sebagai pegawai tetap Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) pada awal 1990-an.



"Dua tahun lalu yakni pada penghujung 2019, saya kembali ke Georgia dan sempat memandu di sekitar kawasannya. Banyak tempat misalnya ibu kota Atlanta sudah melalui perubahan dan kian menceburi bidang teknologi.



"Georgia bukanlah negeri yang hanya menceburi bidang pertanian dan warganya pula tidak melibatkan diri dengan bidang teknologi tinggi. Tanggapan itu salah sama sekali," ujar Encik Chan.



Sehubungan dengan itu, Encik Chan mengulangi strategi pihak pemerintah Singapura yang mahu ekonominya menjalani proses pendigitalan yang dipergiat.



Lebih daripada itu, Singapura cenderung menjalinkan kerjasama dengan Amerika untuk mencipta garis panduan bersama bagi mempermudah aliran tunai dan maklumat antara kedua-dua negara.



Secara khususnya, beliau berharap agar Amerika dan Singapura akan berjaya memeterai perjanjian digital dua hala secepat mungkin.



"Kami menganggap (perjanjian sebegitu) sebagai modular dan tidak seperti perjanjian perdagangan biasa yang memerlukan kedua-dua pihak menyetujui setiap aspek (perjanjian) sebelum dimuktamadkan."



Antara bidang yang boleh mengikuti gagasan sebegitu ialah aliran data dan sistem pembayaran yang selamat bagi pihak peniaga.



"Cara begini membolehkan kita mengembangkan peraturan bagi menghadapi ekonomi baru sekali gus memberi kepastian dan keyakinan kepada kelompok peniaga," ujar Encik Chan.



Kelmarin, Encik Chan mengetengahkan rancangan 10 tahun untuk mengembangkan sektor perkilangan Singapura sebanyak 50 peratus dan mengekalkan sumbangan 20 peratusnya terhadap Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) negara.



Rancangan tersebut akan meningkatkan daya saing sektor itu pada tahap global dan mencipta lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi.



Matlamat itu akan dicapai misalnya dengan memancing pelaburan syarikat terbaik dalam bidang khusus, membantu syarikat membina keupayaan masing-masing dan menerima kemasukan lebih ramai lulusan politeknik dan universiti.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >