Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Manisnya bersedekah di waktu susah

Dec 09, 2021 | 05:30 AM



BERSEDEKAH, antara amalan yang banyak disebut dalam Al-Quran, mungkin dianggap ringan bagi mereka yang berkemampuan.



Namun nikmatnya tentu lebih terasa apabila orang mampu bersedekah di saat mereka sendiri dalam kesempitan dan memikirkan untuk membahagiakan orang lain ketika mereka sendiri dalam kesusahan.



Kuasa bersedekah antara rahsia yang sukar dijangkau manusia apabila mendapat hidup mereka lebih aman, teratur atau rezeki yang semakin lapang setelah melakukan amalan-amalan bersedekah.



Pendakwah bebas Singapura, Ustaz Akhmudi Sarkiman, yang berkelulusan Sarjana Pendidikan Islam dari Universiti Ibn Khaldun Bogor, Indonesia, ketika ditanya tentang amalan bersedekah ketika waktu susah berkata, mereka yang sanggup berusaha membahagiakan orang lain ketika mereka sendiri dalam kesempitan adalah satu bukti keimanan kita kepada Allah swt.



"Suka bersedekah dan berkongsi dengan orang lain dalam keadaan apa jua adalah ciri orang yang dicintai Allah.



"Sebenarnya sedekah itu mampu mendatangkan banyak keberkatan dan manfaat bagi yang ingin melakukannya," kata beliau yang juga merupakan calon doktor falsafah dalam bidang serupa.



Seperti yang dijelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: "Orang-orang yang menginfakkan hartanya malam dan siang hari (secara) sembunyi-sembunyi maupun terang-terangan, mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada rasa takut pada mereka dan mereka tidak bersedih hati." (QS. Al-Baqarah: 274).



SEDEKAH AMAT MENAKJUBKAN



Kata Ustaz Akhmudi, kita bukan sahaja digalakkan bersedekah di waktu lapang, bahkan dianjurkan juga bersedekah dalam masa yang terhad iaitu ketika dalam kesempitan, dan ini sangat menakjubkan.



"Sebenarnya sedekah bukan sahaja boleh dilakukan dengan wang atau harta, tetapi dengan cara lain juga, contohnya mengajarkan ilmu yang bermanfaat kepada orang lain.



"Selain itu, kita juga boleh bersedekah dalam bentuk makanan dan minuman, pakaian, nafkah, pembayaran penyelenggaraan masjid dan sebagainya. Kita juga boleh bersedekah dalam bentuk yang bukan fizikal seperti senyuman, sebagaimana hadis yang maksudnya,"Senyummu di hadapan saudaramu (sesama Muslim) adalah (bernilai) sedekah bagimu." (HR. At Tirmidzi)," tambah beliau.



Daripada Jabir ra, beliau berkata bahawa Rasulullah saw bersabda: "Setiap kebaikan adalah sedekah." (HR Bukhari). Hadis ini memberitau kita bahawa konsep sedekah amat luas. Apa sahaja kebaikan yang dilakukan dengan ikhlas akan dikira sebagai amal soleh dan mendapat ganjaran pahala di sisi Allah swt.



Rasulullah saw pernah menjelaskan tentang keutamaan bersedekah di masa susah. Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah, seorang lelaki menemui Rasulullah lalu bertanya: "Ya Rasulullah, sedekah apakah yang paling besar pahalanya?"



Rasulullah saw menjawab: "Sedekah yang engkau berikan semasa engkau dalam keadaan sihat, semasa kamu berasa ragu kerana khuatir menjadi miskin dan mengharapkan kekayaan. Jangan kamu menunda-nunda sedekah sehingga nyawamu sampai di kerongkong. Pada waktu ini, baru engkau mengatakan harta saya nanti sekian untuk waris itu, sekian untuk waris ini, padahal tanpa engkau katakan begitu, hartamu pasti akan menjadi milik warismu." (HR Bukhari)



Allah berfirman yang bermaksud: "Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat keampunan daripada Tuhanmu dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa; iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik." (QS Ali 'Imran, ayat 133-134).



Kata Ustaz Akhmudi lagi: "Orang yang bersedekah dalam waktu yang senang atau sempit adalah orang yang istimewa bagi Allah swt. Kerana dengan bersedekah akan menghilangkan sifat sombong yang kita miliki dan membuktikan keimanan dan kecintaan kita kepada Allah dan rasul-Nya.



Banyak perkongsian di media sosial tentang kelebihan sedekah, apabila orang yang memberi juga kekurangan. Namun dikuatkan juga untuk bersedekah kerana memikirkan nasib orang yang lebih susah daripadanya, tetapi akhirnya orang yang menolong tadi mendapat sesuatu atau rezeki lain yang tidak disangka-sangka.



"Jangan risau walaupun dalam kesempitan, kerana bersedekah ketika susah adalah sebaik-baik amalan. Walaupun jumlahnya sedikit, yang penting kita ikhlas dan reda. Seandainya kita tahu betapa besarnya ganjaran bersedekah dalam kesempitan, pasti ramai yang akan berlumba-lumba berbuat demikian. Mudah-mudahan kita akan mendapat balasan yang setimpal."



BILAKAH WAKTU AFDAL BERSEDEKAH?



Kebanyakan umat Islam menjadikan hari Jumaat sebagai hari untuk bersedekah.



Terdapat banyak kelebihan hari Jumaat sebagaimana yang diceritakan dalam Al-Quran dan hadis. Selain hari yang mulia, hari Jumaat merupakan hari mustajabnya berdoa dan dihapuskan dosa.



Rasulullah bersabda: "Sebaik-baik hari yang terbit matahari padanya ialah hari Jumaat. Pada hari tersebut, diciptakan Nabi Adam as, dia dimasukkan ke dalam syurga dan dia dikeluarkan daripadanya. Dan pada hari tersebut, terdapat satu waktu yang mana jika seseorang Muslim berdiri mendirikan solat dan berdoa kepada Allah swt akan sesuatu hajatnya, nescaya Allah swt akan memberi apa yang dihajatkannya.'' (HR Bukhari)



Kata Ustaz Akhmudi lagi, meskipun tiada dalil khusus mengenai bersedekah pada hari Jumaat namun sebahagian ulama ada menukilkan tentang keutamaan sedekah pada hari tersebut, seperti Ibn Qayyim Al-Jawziyah dalam kitabnya, Zad Al-Maad menyatakan:



"Bersedekah pada hari Jumaat ini lebih mulia berbanding hari-hari lain. Besarnya nilai gandaan ganjaran bersedekah pada hari Jumaat berbanding hari lain adalah seperti besarnya pahala amalan bulan Ramadan berbanding bulan-bulan lain."



Selain pada hari Jumaat, waktu subuh atau di awal pagi juga menjadi pilihan ramai orang untuk bersedekah kerana malaikat mendoakan kebaikan buat mereka yang sedekah diwaktu subuh.



Amalan bersedekah tidak sewajarnya terhad kepada hari Jumaat sahaja. Malah digalakkan untuk dilakukan pada setiap masa yang kita berkesempatan melaksanakannya, khususnya sedekah di waktu musibah wabak sedang melanda seperti koronavirus yang sedang kita hadapi sekarang ini.




KATA-KATA HIKMAH ULAMA



"Kehidupan itu cuma dua hari. Satu hari untukmu dan satu hari melawanmu. Maka pada saat ia untukmu, jangan bangga dan gegabah dan pada saat ia melawanmu, bersabarlah. Kerana kedua-duanya adalah ujian bagimu."
– Ali bin Abi Thalib



"Lidah seseorang dapat menggambarkan bagaimanakah hatinya."
– Ibnu Qayyim.




"Sebenarnya sedekah bukan sahaja boleh dilakukan dengan wang atau harta, tetapi dengan cara lain juga, contohnya mengajarkan ilmu yang bermanfaat kepada orang lain. Selain itu, kita juga boleh bersedekah dalam bentuk makanan dan minuman, pakaian, nafkah, pembayaran penyelenggaraan masjid dan sebagainya. Kita juga boleh bersedekah dalam bentuk yang bukan fizikal seperti senyuman."
– Ustaz Akhmudi Sarkiman.




SEKILAS BIODATA



Ustaz Akhmudi Sarkiman yang sebelum ini pernah bertugas sebagai Pegawai Pentadbiran dan Dakwah, Masjid Alkaff Upper Serangoon dan Ketua Pendidikan Masjid Darul Aman, kini adalah seorang pendakwah bebas. Beliau lulusan Sarjana Pengajian Islam (Universiti Ibn Khaldun Bogor) dan kini merupakan calon Doktor Falsafah Pengajian Islam.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >