Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Masagos: Dasar '3K' bentuk Masyarakat Gemilang

Keperibadian, kemahiran dan kewarganegaraan menjadi identiti unik masyarakat Melayu/Islam S'pura | Syor hapuskan tanggapan negatif terhadap masyarakat kerana banyak yang boleh kita syukuri dan banggakan
Jun 15, 2019 | 05:30 AM



Berikut teks penuh ucapan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, di majlis perjumpaan Hari Raya bersama rakan Anggota Parlimen lain yang berlangsung di Hotel Singapore Marriot Tang Plaza malam tadi. 




SELAMAT Hari Raya Aidilfitri.



Saya dengan sukacitanya mengalu-alukan kedatangan anda bagi memeriahkan jamuan malam tahunan ini.



Dari podium ini, saya dapat melihat banyak wajah yang dikenali. Saya melihat ramai yang telah meluangkan masa dan usaha untuk membantu masyarakat kita.



Saya melihat individu-individu yang pencapaiannya telah membanggakan masyarakat dan negara kita. Dan saya melihat rakan-rakan dari masyarakat lain yang kita telah menikmati perkongsian bertahun-tahun lamanya.



Tempat ini dipenuhi insan-insan yang menaburkan bakti dalam kerja-kerja kebajikan yang boleh dijadikan contoh dan memberi inspirasi kepada kita kerana impak sumbangan mereka terhadap orang lain, dan telah menjadikan Singapura sebagai sebuah tempat yang lebih baik untuk semua rakyat Singapura.



Salah satu tanggungjawab lain saya ialah untuk menyelia alam sekitar dan sumber air. Sebelum itu saya juga bertugas di Kementerian Ehwal Luar. Dalam menggalas peranan itu, saya sentiasa diingatkan bahawa Singapura adalah sebuah negara kecil.



Oleh itu, kita pastikan setiap dasar yang kita buat mempunyai pengaruh lebih besar kerana kita percaya, seperti yang dikatakan oleh Encik Lee Kuan Yew, "kita boleh mengatasinya dengan menampilkan kualiti bagi kekurangan dari segi kuantiti, seperti yang kita lakukan pada lokasi geografi dan strategik kerana kekurangan dari segi saiz".



Hari ini kita terkenal di peringkat global kerana tahap pembangunan, pendidikan dan kebersihan yang tinggi.



Bulan lalu, Singapura telah diumumkan buat dua kali berturut sebagai negara terbaik untuk kanak-kanak dari segi penjagaan kesihatan, pemakanan, pendidikan dan keselamatan yang kita sediakan. Tetapi segala pencapaian itu tidak datang bergolek terutamanya bagi negara yang pelbagai dan berbeza masyarakatnya.



Muslim adalah salah satu daripada masyarakat di Singapura - golongan minoriti. Justeru, saya tersentuh sepanjang berkhidmat dengan pemerintah kerana ramai pemimpin asing termasuk mereka yang saya temui pada tahun pertama sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, bukan sahaja mengetahui mengenai masyarakat kita, malah memandang tinggi kepada kita.



Ramai cendekiawan dan tokoh asing yang kenal institusi-institusi kita seperti Muis dan Mendaki. Ini bukan suatu kejayaan kecil kerana kita sering mendengar masyarakat minoriti digambarkan sebagai masyarakat 'VERB', yang bermaksud bahawa mereka distereotaip kepada naratif menjadi mangsa (Victimisation), punya hak (Entitled), perlu dibantu (Rescuing) dan mereka menyalahkan (Blame) orang lain di atas masalah yang dihadapi.



Golongan minoriti Muslim di mana-mana berdepan dengan cabaran. Ini berlaku juga pada Muslim di negara-negara Islam. Timur Tengah terus bergolak. Extremism dan keganasan mendepani masyarakat di seluruh dunia dan tindak balas terhadap pendatang Islam oleh ahli politik ultra-nasionalis dalam masyarakat di Barat menyaksikan sorotan yang keras terhadap Islam dan orang Islam.



Ramai anggota masyarakat Islam yang juga golongan minoriti di negara mereka, terpaksa berdepan dengan sindrom 'VERB'. Mereka juga perlu menanggapi cabaran yang datang dengan mengimbangi keperluan memelihara budaya mereka dengan mengintegrasi kehidupan mereka dengan masyarakat.



Mereka mengalami sindrom 'VERB' kerana ramai Muslim daripada masyarakat ini juga bergelut dengan pertumbuhan sosio-ekonomi yang tidak seimbang dan terperangkap dalam kelas bawahan. Mereka tidak mempunyai akses kepada pendidikan bermutu dan pekerjaan yang baik.



Akibatnya dan secara tragis, ramai telah dipengaruhi untuk berfikir bahawa hidup terpisah dan berbeza daripada masyarakat arus perdana adalah norma terpuji untuk Islam minoriti. Ramai memilih untuk hidup sebagai orang luar di tanah air mereka sendiri.



Jika persoalan ini tidak dapat diselesaikan, mereka akan lebih sukar untuk menjadi sebahagian daripada masyarakat di negara mereka bermastautin. Masyarakat begini telah terbukti menjadi titik masuk yang mudah untuk ekstremisme, sesetengahnya telah melakukan serangan pengganas di tanah air mereka seperti yang kita saksikan di Sri Lanka, Belgium, Paris dan London.



Model untuk minoriti Islam di tempat lain



Tetapi masyarakat Islam Singapura tidak begitu. Ketika saya berada di Mesir tiga bulan lalu, saya bertemu dengan Imam Besar Al Azhar dan Mufti Besar Kahirah. Kedua-dua ulama besar ini memberitahu saya bahawa mereka kagum dengan amalan agama dan harmoninya masyarakat Islam hidup dengan masyarakat lain di Singapura. Mereka merasa masyarakat Islam kita boleh dijadikan satu model kejayaan untuk golongan minoriti Muslim lain yang hidup dalam masyarakat majmuk.



Ketika melawat Universiti Jordan di mana ramai pelajar madrasah kita melanjutkan pelajaran di institut pengajian tinggi di sana, saya juga bertemu presiden universiti tersebut, Professor Dr Abdel-Karim Al-Qudah. Beliau tanya saya banyak soalan mengenai sistem pendidikan kita kerana para pelajar kita telah mengkagumkan beliau dan rakan-rakannya.



Sejak beberapa tahun lalu, kita telah meraikan beberapa pelawat dari Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah yang juga bergelut dengan isu keharmonian agama dan integrasi masyarakat Islam mereka.



Namun, mereka memilih untuk datang ke Singapura kerana mereka melihat masyarakat kita sebagai model kejayaan yang boleh mereka pelajari.



Kita patut berbangga dengan kecemerlangan yang telah kita capai.



Izinkan saya meneruskan ucapan dalam bahasa Melayu.



Seperti yang diingatkan Mufti kita dalam khutbah Hari Rayanya, kita di Singapura harus bersyukur bahawa kita dapat melaksanakan kehidupan beragama dalam suasana yang damai dalam masyarakat majmuk.



Tidak seperti di negara lain, masyarakat kita tidak dipalit imej negatif disebabkan perbuatan kumpulan pengganas walaupun dalam kalangan kita juga ada yang diberkas kerana berpandangan extremis.



Namun, apa yang membezakan, ialah kita sama menolak dengan sekeras-kerasnya fahaman pelampau ini. Sikap kita terus berwaspada, bekerjasama dengan pihak agama dan pihak berkuasa untuk membentung masalah dan menanam keyakinan warga.



Inilah cara kita buktikan kepada semua bahawa kita, orang Islam mahu hidup aman damai. Justeru, perbezaan masyarakat Melayu/Islam dengan kaum minoriti Islam di banyak negara lain begitu ketara.



Dan ini bukan sekadar sikap menolak pengganasan. Kita bersama mengejar kemajuan dengan warga lain dan kita tidak menyifatkan diri kita mangsa keadaan. Sebaliknya, kita diyakini dan dihormati masyarakat umum Singapura.



Kita bukan masyarakat bermasalah kepada negara. Sebaliknya semakin ramai masyarakat kita maju menyumbang kepada ekonomi dan negara, menjadikan kita masyarakat yang yakin dapat menyelesaikan masalah kita sendiri.



Malam ini, saya mengajak kita bersama meninggalkan tanggapan negatif kita terhadap masyarakat dan diri kita sendiri. Tidak ada pasukan yang akan menang jika bertemu lawan dengan merasakan serba kekurangan. Tidaklah masuk akal apabila ramai pembesar memuji pencapaian kita, kita pula hanya melihat kepada kelemahan kita.



Malam ini, saya mengajak kita bersama dengan berani dan megah menyatakan bahawa kita adalah sebuah Masyarakat Gemilang! Masyarakat Gemilang yang berdiri atas tiga dasar yang kukuh, yang saya singkatkan Dasar 3K, iaitu Keperibadian, Kemahiran dan Kewarganegaraan kita.



Keperibadian Masyarakat



Keperibadian masyarakat iaitu satu daripada ciri 3K yang kita titikberatkan. Jika akhlak mencorak identiti seseorang individu, keperibadian masyarakat pula terbentuk dari kelakuan kolektif setiap individu yang mencerminkan identiti masyarakatnya.



Di Singapura, kita telah lama membina identiti masyarakat kita dari ciri-ciri Islam dan budaya Melayu. Justeru, Identiti Muslim Singapura atau SMI telah diolah Muis berdasarkan lima kualiti yang berkait rapat dengan prinsip ajaran Islam. Singkatan dalam Bahasa Inggerisnya adalah 'RICAP' iaitu 'religious resilience', 'inclusivity', 'contributiveness', 'adaptiveness' dan 'progressiveness'.



Dalam Bahasa Melayu pula, 'berdaya tahan dalam hal keagamaan', 'bersifat inklusif', 'suka menyumbang', 'mudah menyesuaikan diri' dan 'berfikiran progresif'.



Dengan 'RICAP' dan etos Rahmatan Lil Alamin, masyarakat Islam Singapura telah hidup dalam harmoni dengan kaum yang berbeza agama bukan sekadar mengamalkan sikap toleransi, tetapi dengan menghormati pandangan yang berbeza.



Sebagai kaum terbesar dalam masyarakat Islam Singapura, orang Melayu dan budaya Melayu banyak mencorak amalan orang Islam di sini. Selain sopan santun orang Melayu yang masyhur, sifat bergotong-royong dan rajin membantu mereka yang memerlukan adalah nilai orang Nusantara yang harus kita lestarikan.



Ini juga sesuai dengan seruan agama agar kita memperbanyakkan amal jariah, dalam membantu satu sama lain kerana banyaknya amal adalah ukuran kejayaan orang Islam, bukan setakat banyaknya harta atau besarnya kuasa dan pengaruh kita. Sebaliknya, sebagai masyarakat, pincanglah kita jika semakin ramai dari kita maju, tetapi semakin ramai pula yang hanya mementingkan diri sendiri.



Justeru, saya sangat gembira dengan sambutan hangat terhadap inisiatif M3 (M Kuasa Tiga). Sejak dilancarkan setahun lalu, hampir 200 asatizah tampil menyokong projek-projek M3 seperti Bersamamu dan Fitrah termasuk dari para naib kadi dan kaunselor agama. Saya juga berbesar hati kerana di samping itu, hampir 200 karyawan dan orang awam tampil menjadi sukarelawan untuk berbakti walaupun mereka sibuk mengimbangi pelbagai komitmen lain.



Mereka termasuk golongan jurutera, peguam, karyawan teknologi, pendidik, pakar bidang kesihatan, pemimpin kesatuan sekerja, anggota perkhidmatan berseragam dan banyak lagi.



Saya telah mengundang sebahagian daripada mereka hadir malam ini. Ayuh pasukan relawan M3, sila berdiri dan mari kita beri mereka tepukan gemuruh!



Selain para sukarelawan, telah lama badan-badan Melayu/Islam (MMO) dan India-Muslim (IMO) gigih membantu memenuhi keperluan sosial masyarakat kita khususnya golongan yang kurang berdaya. Malah sebahagian besar ditubuhkan lama sebelum adanya Muis dan Mendaki dan merupakan nadi penting masyarakat kita.



Mereka telah lama memastikan tiada golongan yang terpinggir. Ini termasuk warga tua, wanita dan kanak- kanak yang kurang bernasib baik serta mereka yang sedang menjalani pemulihan.



Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan saya kepada semua yang ada di dewan ini atas budi baik dan sumbangan yang anda curahkan kepada masjid, madrasah, MMO dan IMO, serta pegawai perkhidmatan awam kita. Bakti anda kepada masyarakat dan negara sangat-sangat disanjungi. Kini usaha anda diperkukuhkan lagi dengan tampilnya barisan baru, karyawan yang mahu sama membantu dalam M3.



Mungkin ada pula yang mengkritik, apakah kita sudah dapat berbangga hanya kerana karyawan mula ramai tampil ke hadapan. Malah mereka akan berkata kita seharusnya berasa segan menggelar masyarakat kita sebagai Masyarakat Gemilang kerana jumlah karyawan dan yang cemerlang masih jauh lebih kecil berbanding masyarakat lain.



Kepada mereka saya katakan, lihat sahaja pada sejarah awal Islam. Meskipun jumlah Muslimin ketika itu kecil, namun mereka dapat mengatasi cabaran yang luar biasa apabila mereka bersatu dan yakin. Begitu juga sebaliknya, amatilah peristiwa di mana adakalanya kaum Muslimin tewas meskipun jumlah mereka ramai kerana mereka gagal bersatu hati dan memiliki matlamat yang tidak tepat atau apabila mereka mementingkan diri sendiri.



Keperibadian masyarakat kita yang murni menimbulkan semangat kesatuan yang membuat sumbangan besar kepada masyarakat. Buktinya?



Kita mula dengan melihat pada pungutan Zakat kita. Pada 2018, masyarakat kita yang kecil ini menyumbang sebanyak $43 juta kepada Muis dan membantu ramai keluarga yang memerlukan. Pada tahun lalu juga, masyarakat kecil kita ini menyumbang $18 juta untuk membina masjid.



Kalau kita jumlahkan dana untuk pembinaan masjid sejak 1975, jumlahnya melebihi $250 juta. Ini belum termasuk derma yang dihulurkan di masjid-masjid secara seharian, yang jumlahnya juga berjuta-juta dolar.



Masyarakat kecil kita, jika mahu membina masjid baru atau menaiktarafkan masjid lama, kita kendalikan sendiri acara mengumpul dana dan tidak mengharap dana dari pihak luar negara mahupun dari pemerintah. Ramai pula para peniaga kita yang mapan menyumbang.



Cuba kita lihat pula pada aset hartanah wakaf yang dikumpulkan oleh generasi perintis kita.



Pada 2018, aset wakaf kita sudah bernilai lebih $940 juta. Hasil pulangan wakaf pula telah memanfaatkan ramai umat Islam di Singapura dan di merata dunia. Kalau kita jumlahkan zakat, dana pembinaan masjid dan dana wakaf, masyarakat kecil kita mengendalikan aset-aset yang melebihi satu bilion dolar! Itulah berkat bersatu dari keperibadian masyarakat kita yang dibanggakan.



Justeru, masyarakat Melayu/Islam kita kuat bukan kerana ramainya yang berpendapatan tinggi dan peniaga jutawan di kalangan kita, tetapi kerana nilai-nilai murni yang kita pegang.



Ini terserlah juga dari semangat sukarelawan kita. Walaupun masyarakat kita kecil, kitalah yang paling banyak melakukan kerja sukarela di Singapura. Ini juga keperibadian masyarakat yang kita banggakan.



Kemahiran



Keperibadian masyarakat itu adalah teras masyarakat gemilang. Namun untuk hidup makmur, kita juga harus mempunyai kemahiran, sebagai individu dan juga anggota masyarakat. Kita harus menjadi masyarakat yang menyumbang dan bukan sekadar menerima.



Contohnya, Puan Bibi Fatimah, seorang suri rumah yang terpaksa menggalas tanggungjawab setelah suaminya jatuh sakit dan tidak boleh lagi bekerja. Puan Bibi tidak mahu menjadi beban kepada sesiapa.



Beliau mengambil kursus menaip dan mendapat pekerjaan sebagai kerani di SingPost. Berkat usaha gigih untuk mempertingkatkan diri, beliau berjaya menampung keluarganya sehingga anak-anaknya lulus pengajian tinggi - ada di tahap sarjana muda dan ada juga yang meraih diploma.



Jelas, seperti Puan Bibi Fatimah, ciri khas masyarakat Melayu/Islam Singapura ialah mahu mencurahkan segala-galanya pada pendidikan. Kerana masyarakat kita peka bahawa pendidikan menjadi asas kemahiran kita.



Hal ini telah kita sedari sejak dahulu lagi, lalu kita menggembleng aset masyarakat untuk memastikan pendidikan yang baik buat anak-anak kita.



Ada dalam kalangan kita mungkin teringat bagaimana pada tahun-tahun 80-an, kita berjaya menggandakan peratusan pelajar Melayu/Islam yang berjaya meraih kelulusan dalam lima subjek di GCE Peringkat 'O' dalam masa kurang sedekad. Ini kerana setiap orang Muslim menyumbangkan hanya 50 sen kepada Mendaki setiap bulan untuk membiayai tuisyen yang pelajar kita perlukan pada zaman itu.



Pada zaman ini pula, pemerintah komited untuk memberi ruang dan peluang untuk terus meraih kejayaan agar sesiapa sahaja boleh mencapai potensi mereka tanpa mengira latar belakang, termasuk mereka yang tertinggal peluang mencapai pendidikan yang sempurna.



Contohnya, Encik Firdaus Abdul Hamid. Beliau bukan daripada keluarga yang senang. Sebagai seorang remaja, Encik Firdaus tidak berpeluang untuk menghabiskan pendidikan menengah. Sebaliknya, beliau terpaksa bekerja untuk menampung keluarganya. Pada 2017, beliau ditimpa kemalangan pula.



Pada masa itu, beliau sedar bahawa kaunseling memainkan peranan yang genting dalam mencorak pemikiran seseorang. Ketika berusia 38 tahun, menampung yuran sekolah, beliau kembali ke sekolah memburu diploma dalam bidang kaunseling. Untuk membantu Encik Firdaus menerima Anugerah Pendidikan Mendaki. Kini, beliau memanfaatkan kemahiran barunya untuk mendampingi dan membimbing golongan belia sebagai seorang mentor. Tahniah Firdaus!



Satu lagi contoh ialah Encik Arif Rahman yang terpaksa meninggalkan bangku sekolah setelah menduduki GCE Peringkat 'N'. Beliau melakukan pelbagai pekerjaan, termasuk menjadi pemandu kereta sewa privet. Tetapi, beliau minat pada bidang teknologi maklumat (IT) dan inginkan kerjaya yang lebih baik. Beliau mengikuti Program Penyerapan dan Penempatan Pekerjaan dalam Bidang Teknologi kendalian IMDA.



Kini, beliau merupakan karyawan teknologi dalam syarikat pemula (start-up) block chain antarabangsa. Bagi Arif, kembara pembelajaran sepanjang hayat yang diikutinya sangat menarik dan seronok. Syabas Arif!



Di Singapura, mencapai kejayaan adalah lebih mudah berbanding di negara lain kerana kita ada sistem dan infrastruktur pendidikan bertaraf dunia, dan ia terbuka kepada setiap warga Singapura. Kita ada universiti, politeknik dan ITE yang dibangunkan untuk memacu pertumbuhan di setiap tahap.



Justeru, sebagai masyarakat Melayu/Islam, kita mempunyai dua misi. Pertama, kita harus pastikan bahawa setiap pelajar Melayu/Islam boleh sekurang-kurangnya memasuki dan lulus ITE. Ini adalah "garisan merah" yang kita tentukan, iaitu kita tidak mahu sesiapapun mundur melewati "garisan merah" ini. Kedua, kita harus berusaha bersama supaya seramai mungkin memasuki universiti.



Kedepan, tugas utama Mendaki bersama masyarakat memastikan "garisan merah" ini terkawal, dan "garisan biru" ini ditingkatkan lagi.



Justeru, Muis juga akan melabur dalam mempertingkatkan keupayaan profesional bagi sektor agama, dengan bermula dari memastikan seramai-ramainya pelajar agama kita melewati "garisan biru" juga. Muis akan berusaha lebih dari itu.



Awal tahun ini, kami membentuk Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (COFA), yang bertanggungjawab untuk memahami trend sosio-agama yang menjejas masyarakat Melayu/Islam dan memberi saranan mengenai bagaimana kita boleh membangunkan para asatizah untuk menjadi pemimpin masa hadapan yang berkeyakinan.



Ini menjangkaui di luar bidang-bidang tradisional di masjid dan madrasah. Muis akan memastikan agar asatizah sebagai karyawan juga dapat merebut peluang kerjaya yang bermakna dan di laluan-laluan baru.



Kemahiran masyarakat kita mencorakkan apakah kita masyarakat yang menyumbang atau menjadi beban negara. Mujur, golongan pekerja kita sedar bahawa kita akan lebih berdaya tahan dan boleh merebut peluang jika kita terus mempertingkatkan diri, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi dunia yang deras berubah.



Hari ini, kita harus berbangga kerana semakin ramai anak-anak kita diberi tanggungjawab yang besar dan anak-anak Melayu/Islam memainkan peranan penting dalam kemajuan Singapura di sektor privet dan awam seperti menjadi pengurus besar, sebagai penjawat awam ataupun sebagai pemegang jawatan politik di kementerian-kementerian dan seperti Presiden Halimah Yacob, yang menjadi ketua negara.




'Keperibadian'



Mungkin ada pula yang mengkritik, apakah kita sudah dapat berbangga hanya kerana karyawan mula ramai tampil ke hadapan. Malah mereka akan berkata kita seharusnya berasa segan menggelar masyarakat kita sebagai Masyarakat Gemilang kerana jumlah karyawan dan yang cemerlang masih jauh lebih kecil berbanding masyarakat lain. Kepada mereka saya katakan, lihat sahaja pada sejarah awal Islam. Meskipun jumlah Muslimin ketika itu kecil, namun mereka dapat mengatasi cabaran yang luar biasa apabila mereka bersatu dan yakin. Begitu juga sebaliknya, amatilah peristiwa di mana adakalanya kaum Muslimin tewas meskipun jumlah mereka ramai kerana mereka gagal bersatu hati dan memiliki matlamat yang tidak tepat atau apabila mereka mementingkan diri sendiri... Justeru, masyarakat Melayu/Islam kita kuat bukan kerana ramainya yang berpendapatan tinggi dan peniaga jutawan di kalangan kita, tetapi kerana nilai-nilai murni yang kita pegang.
- Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.




Contoh warga 'Kemahiran'



Encik Firdaus Abdul Hamid

Sebagai seorang remaja, Encik Firdaus tidak berpeluang untuk menghabiskan pendidikan menengah. Sebaliknya, beliau terpaksa bekerja untuk menampung keluarganya. Pada 2017, beliau ditimpa kemalangan pula. Hanya pada usia 38 tahun beliau kembali ke sekolah memburu diploma dalam bidang kaunseling. Kini, Firdaus memanfaatkan kemahiran barunya untuk mendampingi dan membimbing golongan belia sebagai seorang mentor.



Cik Bibi Fatimah

Seorang suri rumah yang terpaksa menggalas tanggungjawab setelah suaminya jatuh sakit dan tidak boleh lagi bekerja. Beliau didak mahu menjadi beban pada sesiapa, sebaliknya mengambil kursus menaip dan mendapat pekerjaan sebagai kerani di SingPost. Berkat usaha gigihnya, berjaya menampung keluarganya sehingga anak-anaknya lulus pengajian tinggi.



Encik Arif Rahman

Beliau terpaksa meninggalkan bangku sekolah setelah menduduki GCE Peringkat 'N' dan melakukan pelbagai pekerjaan termasuk menjadi pemandu kereta sewa privet. Tetapi, beliau minat pada bidang IT dan inginkan kerjaya yang lebih baik. Encik Arif kemudian mengikuti Program Penyerapan dan Penempatan Pekerjaan dalam Bidang Teknologi kendalian IMDA. Kini, beliau merupakan karyawan teknologi dalam syarikat pemula (start-up) block chain antarabangsa.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >