Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Masagos: Memperkukuh kerjasama dalam masyarakat

May 22, 2021 | 05:30 AM



Layari BH.sg dan Facebook Berita Harian untuk tonton video persembahan dan ucapan penuh



BERIKUT SEDUTAN UCAPAN MENTERI BERTANGGUNGJAWAB BAGI EHWAL MASYARAKAT ISLAM, ENCIK MASAGOS ZULKIFLI MASAGOS MOHAMAD SEMASA PERJUMPAAN HARI RAYA MAYA SEMALAM:



Golongan asatizah, pemimpin masyarakat dan perniagaan, serta para doktor dan peguam kita, telah meluangkan banyak masa untuk membantu masyarakat mengatasi Covid-19, terutama golongan yang lebih terdedah dan terjejas.



Sekalung budi saya ucapkan, kepada para anggota Kumpulan Kerja Melayu/Islam Covid-19 dan juga Pasukan Bertindak SGTeguhBersatu (SGTB), yang telah cepat dan cekap bertindak apabila wabak ini bermula.



Mereka bertungkus lumus memberi bimbingan dan sokongan kepada masyarakat kita untuk mengharungi krisis ini, sepanjang setahun yang lalu.



Kami menubuhkan SGTB pada April tahun lalu untuk memperkukuh usaha bagi memastikan masyarakat kita mendapat manfaat daripada inisiatif-inisiatif yang diumumkan dalam Belanjawan Berdaya Tahan.



SGTB telah menerajui pelbagai usaha yang membantu masyarakat menghadapi Covid-19.



Kami turut memanfaatkan rangkaian dan kepakaran badan-badan M³, badan-badan Melayu/Islam (MMO) seperti Pergas, PPIS, AMP, Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) serta Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).



Dengan berkongsi maklumat serta mengadakan perbincangan bersama, MUIS, Mendaki dan Mesra mencanai banyak inisiatif yang dimanfaatkan oleh ramai anggota masyarakat Melayu/Islam sepanjang tempoh pandemik ini.



Contohnya:



Bagi keluarga berpendapatan rendah, Muis telah mengagihkan zakat sebanyak $2.2 juta kepada 5,500 penerima di bawah Dana Bantuan Covid-19 Muis.



Muis telah menyediakan pelepasan sewa dan rebat cukai kepada lebih 90 penyewa hartanah wakaf.



Muis juga telah menyumbang sebanyak $200,000 sebagai geran tokokan kepada Pakej Rahmah Pergas yang memanfaatkan 500 asatizah.



Mendaki pula telah menangguhkan pembayaran pinjaman pelajaran kepada lebih 100 pelajar.



Selain itu, 240 pelajar daripada institusi pengajian tinggi telah mendapatkan subsidi yuran tuisyen TTFS yang lebih tinggi.



Mendaki juga menyediakan Elaun Sementara kepada lebih daripada 1,100 pelajar ITE kita, untuk membantu mereka menampung perbelanjaan bagi makanan dan pengangkutan.



Mendaki SENSE dengan kerjasama NTUC telah menjalankan 15 pameran kerjaya secara maya dan fizikal, yang menyokong lebih 2,700 pencari kerja, dan memadankan hampir 900 pekerjaan sepanjang tahun lalu.



MESRA, di bawah naungan Persatuan Rakyat, pula bekerjasama dengan PPIS, KGMS, Club Heal dan NTUC, untuk mengadakan E-Live Forum. Forum ini merupakan sebuah program hiburan-pendidikan dalam talian yang membincangkan isu-isu seperti bekerja dari rumah dan membantu anak-anak kita dengan pembelajaran di rumah.



INISIATIF-INISIATIF LAIN OLEH MMO DALAM SGTB



Inisiatif-inisiatif lain oleh MMO dalam SGTB tidak kurang impaknya.



Pakej Bantuan Sementara kelolaan AMP, serta Dana Women-in-Need oleh PPIS, juga telah membantu keluarga-keluarga yang memerlukan.



Ini termasuk membantu mereka melangsaikan bil yang tertunggak, membuat pembayaran bagi kursus peningkatan kemahiran, ataupun untuk perbelanjaan sekolah.



DPPMS pula telah membantu lebih 10,000 syarikat kecil dan sederhana, dengan mengadakan program dalam talian yang membuka peluang bagi mereka untuk menjalinkan rangkaian dan bekerjasama.



Gandingan PPIS dan DPPMS pula menghasilkan program latihan dan bimbingan bagi perniagaan, yang bertujuan untuk membantu golongan wanita yang memerlukan, khususnya mereka yang hilang mata pencarian dek wabak yang sedang berlaku.



Saya sengaja senaraikan pencapaian hasil semangat gotong-royong dengan panjang lebar kerana ia wajar kita raikan. Semasa kita menutup tirai rangka kerjasama untuk SGTB baru-baru ini, para anggotanya mengungkapkan kenangan manis mereka mengenai pengalaman bekerjasama dengan M³ dan antara satu sama lain.



Syabas dan terima kasih saya ucapkan kepada para anggota SGTB, terutama sekali rakan-rakan masyarakat kita, seperti DPPMS, NTUC, Pergas, AMP dan PPIS.



Begitu juga kepada badan-badan Melayu/Islam yang lain, yang dengan initiatif mereka sendiri turut menyingsing lengan untuk membantu masyarakat mengharungi krisis Covid 19.



MEMPERKUKUHKAN KERJASAMA DALAM MASYARAKAT



Hadirin hadirat sekalian, bekerjasama dan menaruh kepercayaan antara kita merupakan mercu tanda bagi sebuah ikatan perhubungan.



Kita telah melihat banyak contoh sedemikian sepanjang setahun yang lalu. Semangat kerjasama di antara badan-badan masyarakat dan badan-badan M³ di Pasukan Bertindak SGTB harus diteruskan - bak kata pepatah, tali yang tiga lembar itu tidak suang-suang putus.



Justeru, kami ingin memanfaatkan kekuatan yang ada pada MMO kita, serta melestarikan kerjasama yang telah kita tunjukkan di bawah SGTB. Seterusnya, kami ingin memanfaatkan rangkaian M³ untuk meluaskan lagi jangkauan kita bersama MMO agar dapat meningkatkan taraf masyarakat kita.



Bagi fasa seterusnya, kami akan semaikan benih kerjasama yang ditanam dengan penubuhan SGTB, untuk terus memanfaatkan kerjasama yang ada di antara MMO dan M³. Jika M³ boleh menyediakan jangkauan kepada masyarakat yang luas dengan rangkaian 11 Bandar@M³, MMO pula mempunyai berbagai program yang berkesan, berkat daripada pengkhususan mereka dalam bidang masing-masing.



Sebagai contoh:



Pertapis, yang mengendalikan sebuah rumah tumpangan dan menjalankan usaha-usaha untuk membantu para banduan, bakal bekerjasama dengan pejabat FITRAH di bawah naungan Muis. Kami dapat berkongsi program-program pengayaan, serta amalan-amalan terbaik yang dilaksanakan untuk menyokong para banduan Islam, serta keluarga mereka.



Kami juga sedang dalam perbincangan dengan PPIS untuk memperkukuhkan sokongan kepada keluarga-keluarga muda yang tinggal di bandar-bandar M³, terutama sekali mereka yang tinggal di kawasan flat-flat sewa.



Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGMS) bakal mengadakan sebuah webinar untuk meningkatkan kesedaran ibu bapa di M³@Bandar tentang cara-cara mempersiapkan anak-anak mereka bagi Darjah 1.



Dana akan disediakan untuk MMO menerusi Forum Pemimpin Masyarakat (CLF) kelolaan Mendaki, bagi projek-projek yang selari dengan bidang-bidang tumpuan M³.



Walaupun banyak di antara MMO kini sudah pun menjalankan program-program yang sedemikian, Dana CLF dapat memberikan sokongan tambahan bagi program-program ini.



Mendaki juga sedang menyemak proses permohonan bagi CLF, untuk membuatnya lebih mudah dan kemas, termasuk memendekkan jangka masa permohonan, daripada 12 minggu ke 4 minggu.



Ini akan memberikan MMO lebih banyak waktu untuk melaksanakan program-program mereka.



Dalam menanam semangat bekerjasama kita, saya juga ingin memperkenalkan program baru untuk memperkukuh pembangunan kepimpinan di kalangan barisan lapisan muda dalam masyarakat kita. Ia akan menghimpunkan para pemimpin muda kita yang berusia 45 tahun ke bawah, yang menerajui jawatan tinggi di MMO. Program ini diberi gelaran Tunas Bersama M³.



Ia akan disokong oleh Mendaki menerusi CLF.



Para anggota Tunas Bersama M³ akan meraih manfaat daripada pelbagai program supaya dapat memupuk hubungan yang erat dalam masyarakat apabila mereka menerajui MMO dan persatuan masing masing pada masa hadapan kelak.



Mereka akan berpeluang dilatih dalam bidang urus tadbir dan kepimpinan.



Mereka juga akan menghadiri sesi bertukar-tukar fikiran bersama para pemimpin Pemerintah supaya lebih peka tentang isu-isu semasa dan konteks di sebalik dasar-dasar yang telah menyumbang kepada pembangunan Singapura.



Kami harap Tunas Bersama M³ dapat mengusulkan projek-projek yang dapat dilaksanakan di bandar-bandar M³.



Butiran lanjut akan disediakan kelak.



BANGUNKAN ASATIZAH YANG CEKAP DAN BERSEDIA UNTUK MASA HADAPAN



Hadirin hadirat sekalian, izinkan berucap seterusnya mengenai persediaan yang harus kita ambil untuk memastikan penakatan kita sebagai sebuah Masyarakat Gemilang pada tahun-tahun mendatang.



Kali ini, saya ingin menumpukan usaha usaha kita untuk membangunkan golongan asatizah yang cekap dan bersedia untuk masa hadapan.



Ini kerana kita sangat memerlukan asatizah yang berupaya menyediakan panduan agama untuk kita mengharungi cabaran-cabaran baru.



Saya rasa struktur sokongan kita kepada asatizah kini sudah lebih lengkap dan tersusun dari masa lalu.



Usaha-usaha ini bermula di peringkat Madrasah.



Di bawah Pelan Pembangunan dan Aspirasi Pelajar Madrasah, para pelajar madrasah kita belajar mengenai isu-isu sosio-budaya dan membina pemahaman dan kepekaan terhadap masyarakat Singapura yang majmuk.



Kini, mereka dapat melalui pelbagai pengalaman, termasuk sesi-sesi perbincangan dan seminar, pembelajaran luar darjah di OBS, serta bengkel-bengkel kerjaya.



Menerusi pelbagai pengalaman seperti ini, mereka dapat membina pemahaman yang lebih mendalam tentang masyarakat di sekeliling mereka, serta meraih kemahiran yang dapat menyokong mereka meniti perjalanan pendidikan mereka.



Apabila para lulusan pulang daripada pengajian tinggi di luar negara, program Sijil Pos Siswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari, atau PCICS, membantu mereka untuk menyesuaikan apa yang telah mereka pelajari kepada konteks masyarakat Singapura yang berbilang bangsa dan agama.



Lebih daripada itu, para ulama dan asatizah kita juga dapat memanfaatkan program Pendidikan Profesional Berterusan supaya dapat mengikuti perkembangan trend serta perubahan terkini.



Para asatizah boleh menjangkakan laluan dan peluang-peluang kerjaya yang lebih baik apabila mereka memasuki alam pekerjaan kelak. Muis akan melaksanakan Pelan Pembangunan Tenaga Kerja Asatizah (AWDP), secara bertahap-tahap pada tahun-tahun mendatang.



Kita perlu mengasah golongan asatizah yang berwibawa lagi berpengaruh dan berupaya berkhidmat di mercu kepimpinan agamawan, untuk membimbing dan memimpin para asatizah lain.



Oleh itu, Muis akan membangunkan generasi pemimpin asatizah menerusi Program Pembangunan Bakat dan Kepimpinan Agamawan.



Mereka yang menunjukkan potensi akan dikenal pasti, baik daripada generasi ini mahupun daripada generasi akan datang, termasuk para peserta program PCICS.



Program ini akan merangkumi peluang-peluang untuk mendampingi para pemimpin mapan agama dan masyarakat, yang akan membantu bakat-bakat asatizah meluaskan lagi rangkaian mereka dan menimba sudut pandangan baru terhadap isu-isu sosio-agama kontemporari.



Muis juga akan merintis sebuah program bimbingan bagi kumpulan ini pada suku ketiga tahun ini.



Perincian lanjut akan dikongsi tidak lama lagi.



Dari mengemas kini madrasah tempatan, PCICS, AWDP dan kini Program Pembangun Bakat, saya yakin bahawa inisiatif-inisiatif ini akan melahirkan sebuah sektor keagamaan yang lebih rancak, yang boleh menjadi sumber inspirasi bagi asatizah masa hadapan. Tetapi kita tidak akan berhenti di sini.



Kita juga perlu terus memberi peluang kepada para asatizah untuk meluaskan minda mereka untuk membimbing masyarakat minoriti yang terbuka dan menghadapi cabaran yang pelbagai. Malah, di seluruh dunia, banyak masyarakat minoriti Islam ingin mempelajari tentang bagaimana masyarakat Islam Singapura berjaya hidup secara aman dan makmur bersama masyarakat lain, sambil berasaskan prinsip prinsip agama.



Oleh yang sedemikian, Muis akan menganjurkan sebuah siri seminar untuk memperkukuhkan kerjasama dengan masyarakat Islam sedunia, mulai bulan hadapan.




"Kami galak pertubuhan Melayu/Islam untuk manfaatkan dana Forum Pemimpin Masyarakat (CLF) untuk membiayai program yang selaras dengan bidang tumpuan M3. Mendaki mengalu-alukan inisiatif Tunas Bersama M3 kerana ia mampu membantu memupuk generasi pemimpin pertubuhan Melayu/Islam seterusnya selain memperkukuh pengembangan kepemimpinan mereka."
- Cik Zuraidah Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Mendaki.




"Kami mengalu-alukan kerjasama M3 yang berura ura menyuntik dana kepada kami bagi memperkasakan lagi pimpinan muda yang bakal mengorak langkah sebagai pemimpin masa depan. Ini akan memberi mereka semangat dan rangsangan dalam aturcara pentadbiran selaras dengan hasrat Singapura ke arah "negara bijak".
-Encik Hussaini Abdullah, Presiden Pertapis.




"Asatizah zaman sekarang mempunyai peranan yang lebih luas dan besar. Ilmu kaunseling kepada pasangan muda yang baru berumah tangga, pesalah-pesalah serta masyarakat umum perlu kepada teknik yang khusus. Ilmu ini akan disediakan kepada semua asatizah muda."
- Ustaz Mohd Kamal Mokhtar, Penasihat Shariah, Maybank Islamic Berhad.




" Selain asatizah berkemahiran dalam khazanah Islam, asatizah juga dapat mengaplikasikan dan mengaitkan ilmu yang dipelajari ini dalam konteks semasa. Dengan inisiatif yang bakal diadakan, sudah pasti ia akan memanfaatkan bukan hanya asatizah malahan masyarakat Islam Singapura secara lebih luas."
- Ustazah Rohana Ithnin, Anggota penuh dalam Jawatankuasa Fatwa Muis




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >