Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PERSIDANGAN ANTARABANGSA MASYARAKAT GEMILANG 2022 (ICCOS)

Masagos: Peserta raih manfaat tentang kemajuan masyarakat minoriti Islam

Sep 12, 2022 | 05:30 AM



PESERTA antarabangsa telah meraih manfaat daripada perbincangan mengenai kemajuan masyarakat minoriti Islam, termasuk pengalaman Singapura, dalam Persidangan Antarabangsa Masyarakat Gemilang (ICCOS), yang diadakan buat julung-julung kalinya.



Demikian menurut Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, yang berkata menerusi interaksinya dengan tetamu sepanjang dua hari di sidang itu, ramai yang menghargai anjuran acara sedemikian.



"Bagi ramai peserta, ini kali pertama mereka berucap dan membincangkan tentang kemajuan masyarakat minoriti Islam, dan ini peluang bagi mereka untuk belajar daripada amalan terbaik, menjalin hubungan baru serta bekerjasama secara lebih meluas.



"Penceramah dan peserta antarabangsa juga kagum dengan komitmen pemerintah Singapura untuk menerajui dan menyokong pembangunan Masyarakat Islam yang Gemilang," kata Encik Masagos dalam satu pos di Facebook semalam.



Lebih 500 peserta, dari serata dunia termasuk dari Asia Tenggara, Eropah dan Timur Tengah, telah menghadiri acara dua hari anjuran Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) di Pusat Konvensyen Raffles City, yang berakhir kelmarin.



Antara penceramah dalam sidang itu ialah Mufti Dr Nazirudin Mohamad Nasir, yang berkata pemimpin keagamaan dan masyarakat memainkan peranan penting memastikan masyarakat Islam kekal bersandar pada tradisi Islam sambil memberi respons kepada cabaran semasa.



Encik Masagos dalam ucapannya dalam sidang itu pula telah mengongsi pengalaman masyarakat Singapura yang berubah menjadi minoriti dalam sekelip mata pada 1965 setelah meraih kemerdekaan.



Namun, golongan pemimpin perintis negara ini memilih untuk mengawal selia dan menginstitusikan keperluan orang Islam di sini, khususnya berkenaan undang-undang keluarga, menerusi Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla) pada 1966.



Menerusi langkah ini, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) telah membantu masyarakat menangani banyak isu dihadapi.



ICCOS juga mempunyai kesan di peringkat global, kata Encik Masagos.



"Di peringkat global, ICCOS membolehkan perbincangan yang mendalam sedemikian dan menyumbang kepada gedung ilmu bagi masyarakat minoriti Islam untuk membuat keputusan sewajarnya apabila berdepan dengan cabaran," kata Encik Masagos, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga.



Seperti yang diumumkannya sebelum ini, Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) akan menganjurkan lawatan di bawah Program Kerjasama Singapura yang bertujuan membantu negara lain untuk membangun modal insan dan meningkatkan kerjasama antara negara.



Encik Masagos juga telah memperkukuh hubungan bersama Menteri Keagamaan Malaysia, Brunei, Indonesia dengan meluangkan masa bersama mereka pada malam Sabtu selepas ICCOS untuk minum teh tarik bersama.



"Kami melanjutkan perbincangan kami semasa di ICCOS dan meneroka potensi meluaskan kerjasama khususnya mengenai belia," katanya.



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >