Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

FORUM IPS-RSIS MENGENAI KAUM DAN RASISME DI SINGAPURA

Masyarakat Cina tidak punya 'satu suara'

Mereka terbahagi ikut bahasa yang ditutur
Jun 26, 2021 | 05:30 AM



MASYARAKAT Cina di Singapura tidak mempunyai 'satu suara' sepertimana yang dipercayai ramai orang, apa lagi dalam isu sensitif seperti perkauman.



Ini kerana masyarakat Cina setempat berpecah dan terbahagi mengikut bahasa yang mereka tutur seperti bahasa Inggeris atau Mandarin, kata Editor akhbar Cina, Lianhe Zaobao, Encik Goh Sin Teck.



Beliau juga berkata apabila masyarakat Cina yang lebih fasih berbahasa Cina, menolak label 'keistimewaan kaum Cina', mereka sering disalahertikan sebagai menolak berlakunya perkauman di negara ini.



Hal itu diketengahkan Encik Goh dalam panel perbincangan semasa Forum Kaum dan Perkauman anjuran Institut Pengajian Dasar dan Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam semalam.



Topik lain turut dikupas para panelis yang termasuk pakar sosiologi, ialah peranan media dalam pendidikan dan perbincangan berhubung perkauman.



Menjelaskan lanjut, Encik Goh berkata dalam melahirkan pandangannya, beliau amat berhati-hati agar tidak dianggap sebagai suara yang mewakili masyarakat Cina setempat.



Ini kerana ramai orang bertanggapan masyarakat Cina adalah homogen atau seragam, sedangkan hakikatnya, ia tidak.



"Masyarakat ini berpecah mengikut bahasa yang ditutur. Jika anda lihat, ada mereka yang lebih fasih dalam bahasa Cina; ada lebih banyak berbahasa Inggeris dan satu lagi kumpulan yang fasih dwibahasa.



"Disebabkan pengalaman hidup, pandangan mengenai dunia dan sistem nilai mereka itu, maka golongan ini amat berbeza," ujar beliau.



"Hakikatnya, tiada 'suara Cina' mengenai sebarang isu, apa lagi isu sensitif seperti perkauman... Anda tidak mungkin akan menemui satu pendirian Cina yang biasa atau tipikal."



Menyentuh tentang label 'hak istimewa kaum Cina' pula, Encik Goh berpendapat terdapat banyak salah faham yang timbul memandangkan label itu dipinjam dari Barat.



Istilah tersebut diambil daripada konsep 'hak istimewa orang kulit putih' yang digunakan di Amerika Syarikat, di mana keistimewaan diberikan kepada seseorang yang berkuasa dalam sebuah masyarakat kerana faktor seperti bangsa atau jantina.



Merujuk kepada pakar sosiologi dalam panel itu, Encik Goh berkata apabila istilah itu disebut dalam kalangan pakar akademia, makna yang dibawa istilah itu dapat difahami dengan baik.



Namun apabila istilah 'hak istimewa kaum Cina' itu diketengahkan kepada golongan Cina yang lebih fasih berbahasa Cina, ia tidak mudah diterima.



"Disebabkan mereka tidak fasih berbahasa Inggeris, mereka antara lain berdepan dengan cabaran seperti kekecewaan dan berasa dipinggirkan. Jadi apabila mereka dikatakan mempunyai 'hak istimewa kaum Cina', mereka akan katakan "Apakah keistimewaan yang mereka ada?"



"Dan daripada kita mahu memupuk pemahaman dalam masyarakat setempat, sebaliknya ia memecahbelahkan mereka, dan saya fikir ini tidak banyak membantu.



"Bagi orang lain yang mendengar reaksi mereka itu, mereka akan fikir yang golongan itu menafikan adanya perkauman dan diskriminasi di Singapura, sedangkan itu bukan maksud mereka.



"Istilah seperti ini akan hanya menyebabkan jurang salah faham lebih mendalam," tekan Encik Goh.



Sementara itu, panelis lain telah membincangkan tentang perlunya ruang selamat untuk membincangkan hal berkaitan perkauman.



Penolong Professor Dr Elmie Nekmat dari jabatan Perhubungan dan Media Baru, Universiti Nasional Singapura (NUS), berkata ruang yang perlu diwujudkan itu bukan hanya di media sosial sahaja malah juga melibatkan ruang atau saluran fizikal, atau hibrid.



Ini agar generasi lama juga dapat turut serta dalam perbincangan itu, di samping berkongsi pengalaman dan aspek sejarah yang amat berkurangan dalam perbincangan sedemikian.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >