Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Bahasa, Budaya & Warisan Kita

Membudaya tabiat timba ilmu

Oct 02, 2023 | 05:31 AM



Pada 4 November, beberapa guru Bahasa Melayu bakal menerima Anugerah Guru Arif Budiman (Agab) sebagai mengiktiraf sumbangan mereka dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Selama tujuh minggu, BERITA HARIAN akan mengetengahkan tulisan sumbangan beberapa guru yang pernah menerima Agab untuk ruangan Bahasa & Budaya. Ia merangkumi pelbagai topik daripada cara menerapkan penggunaan bahasa sehinggalah masakan tradisional orang Melayu. Agab dianjurkan oleh Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), Persatuan Guru Bahasa Melayu (PGBM), Berita Harian (BH) dan Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC).

Cikgu Azyanti Mohamed Mudakir

Masyarakat kita sudah terbiasa dengan nasihat yang menekan agar kita menghargai dan mengejar ilmu. 

Menguasai ilmu tiada pengakhirannya. Bagaimanapun, dalam kita terkejar-kejar mencari ilmu, kita harus sedar ilmu yang ingin diraih harus bersandar pada niat dan nilai yang murni.

Dalam perjalanan mendalami ilmu, sikap rendah hati harus disematkan di dada. 

Ia penting dalam usaha seseorang mempertingkat pengetahuan. 

Kita harus menerima hakikat tiada manusia yang mengetahui semua perkara dan perlu ada kesedaran masih ada perkara yang perlu dipelajari. 

Pada masa sama, kita perlu menerapkan rasa rendah hati dalam diri dan tidak mudah berasa terancam dek kekurangan ilmu, dan perlu bersikap terbuka untuk menerima ilmu dan pandangan baharu atau pandangan lain.

Pakar fizik, mendiang Albert Einstein sendiri pernah berkata, tanpa rasa rendah hati, manusia tidak dapat belajar. 

Kita juga perlu memupuk sikap menghormati pelbagai pandangan dan juga sikap tidak terlalu yakin dengan ilmu yang ada. 

Baik kita ikut resmi padi; semakin banyak ilmu, semakin merendahkan diri. Apabila kita akur akan kekurangan bahawa kita tidak mengetahui segalanya, keinginan untuk mendalami ilmu akan terus ada.

Apabila kita menerima hakikat bahawa mungkin ada kekurangan dari segi pemahaman kita tentang sesuatu ilmu, keinginan untuk mendalaminya akan merangsang kita untuk terus belajar.

Seterusnya, kita harus memastikan ilmu yang dipelajari merupakan ilmu yang baik, lengkap dan menyeluruh. 

Seperti pepatah Melayu, “berjalan hingga ke batas, belayar hingga ke pulau”. 

Kita harus memastikan setiap pekerjaan yang dimulakan hendaklah diteruskan sehingga sempurna dan tercapai hasilnya. 

Maka itu, ilmu yang digarap juga harus yang sempurna dan mendalam. Kalau tidak, ilmu itu sama seperti ungkapan “berguru kepalang ajar, bagai bunga kembang tak jadi”. 

Sememangnya ilmu yang tidak lengkap atau cetek itu tidak akan ada faedahnya.

Akhir sekali, ilmu yang digarap, janganlah manfaatnya dibataskan kepada diri sendiri sahaja, ia baik dikongsikan dengan mereka di sekeliling kita. 

Terdapat peribahasa Melayu berkait pemilikan ilmu; “kemenyan sebesar lutut jika tidak dibakar, tidak berbau”. 

Kewujudan peribahasa ini menjentik kesedaran kepada kita bahawa manfaat ilmu itu tidak patut dihadkan kepada si pembelajar sahaja tetapi harus dikongsikan dengan yang lain. 

Selain mencerminkan sifat murni apabila berkongsi ilmu, sebenarnya tindakan ini juga boleh memanfaatkan si pengongsi ilmu itu sendiri – bukan sekadar memberi kesan positif secara psikologi bahkan turut meningkatkan kebolehan seseorang memproses maklumat pada tahap ‘metakognitif’. 

Dalam erti kata lain, dengan berkongsi dan mengajarkan ilmu yang diraih, seseorang itu akan lebih sedar tentang cara dia memahami dan mempelajari ilmu tersebut.

Sememangnya, ilmu itu boleh menyempurnakan seseorang, bukan sahaja menjadikannya orang yang berpendidikan malah orang yang terdidik. 

Seseorang yang terdidik bukan sahaja bijak bahkan harus mempunyai kebolehan membezakan antara yang benar dengan yang salah, serta yang baik dengan yang buruk.

Dengan kesedaran itu, masyarakat akan maju dan sejahtera apabila anggotanya terus menimba ilmu. 

Usaha itu dilakukan bukan setakat untuk meraih faedah peribadi bahkan masyarakat. 

Niat dan nilai murni menimba ilmu itu sememangnya diperlukan untuk membawa kebaikan bersama.

BIODATA PENULIS







Cikgu Azyanti Mohamed Mudakir adalah Guru Kanan Bahasa Melayu di Pusat Bahasa Kementerian Pendidikan (Kampus Bishan).
 
Beliau merupakan penerima Anugerah Guru Arif Budiman (Agab) pada 2009.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >