Minat pada sukan motor bantu kurangkan berat badan

MINAT pada sukan bermotor yang menjadi impian sejak kecil menjadi antara pendorong utama bagi Ustaz Ruknuddin Zainor menjaga kesihatan.

Ini kerana untuk bergiat dalam sukan itu - yang melibatkan sesi "trackday" di litar - seseorang penunggang perlu menjaga kesihatan bagi memastikan dia mempunyai kekuatan mengendalikan jenteranya di litar, mempunyai stamina yang cukup dan kecerdasan minda untuk bertindak dan membuat keputusan pantas dalam sesi ujian yang dijalankan.

"Saya perlu nyatakan terlebih dahulu bahawa saya bukan seorang pelumba motosikal.

"Saya hanya seorang penggiat sukan motosikal dan gemar menyertai sesi "trackday" untuk menguji kemampuan motosikal saya dalam sesi yang diatur, dipantau dan dijalankan di litar seperti di Litar Antarabangsa Sepang," kata Ustaz Ruknuddin, pegawai dakwah (MRO) Masjid Al-Mukminin di Jurong East, yang mula bergiat dalam sukan itu pada 2016.

Berusia 30 tahun, dan memiliki motosikal jenis BMWS1000RR, beliau biasanya menyertai sesi seperti itu sebanyak lima atau enam kali setahun.

"Untuk bergiat dalam sukan ini, saya perlu menjaga kesihatan bagi memastikan tubuh saya cergas dan minda saya cerdas.

"Ini kerana sukan bermotor ini sebenarnya bukan setakat hendak menunggang laju sahaja. Ia memerlukan seseorang penunggang itu mempunyai kekuatan menguasai jenteranya dalam pelbagai situasi.

"Ini termasuk membaringkan motosikalnya untuk mendakap selekoh dan membrek pada kelajuan tinggi dan sebagainya," kata Ustaz Ruknuddin, yang memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang syariah daripada Kolej Universiti Insaniah, Malaysia dan mendapat pendidikan menengah serta prauniversiti di Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah.

Menurut ustaz muda yang sudah berumah tangga dan baru menimang cahaya mata kedua seminggu lalu, beliau sebelum ini agak berbadan besar walaupun tidak berapa tinggi.

Sewaktu belajar dan baru mendirikan rumah tangga pada 2012, berat badannya pernah mencecah lebih 90kg.

"Pada masa itu, saya tidak menjaga makan. Saya makan sahaja apa yang dihidangkan. Bersenam pun saya tidak endahkan sangat.

"Namun, lama-kelamaan timbul juga kesedaran bahawa apa yang saya lakukan ketika itu tidak boleh dibiarkan.

"Saya juga pernah terbaca dalam buku The Ideal Muslim oleh Dr Ali Al-Hashemi yang antaranya memuatkan nasihat Khalifah Sayidina Umar Al-Khattab ra yang menegur seorang sahabat yang berperut buncit supaya berjaga-jaga kerana perut yang besar boleh menyebabkan seseorang itu malas beribadah.

"Sejak itu saya berusaha mengurangkan berat badan saya dan menjaga kesihatan," tambahnya.

Oleh itu, apabila timbul teguran Mufti Dr Mohamad Fatris Bakaram mengenai asatizah yang berbadan besar, beliau berasa bersyukur telah memulakan gaya hidup dan pemakanan sihat terlebih dahulu.

"Namun satu peristiwa yang tidak boleh saya lupakan berkaitan mengurangkan berat badan ini adalah apabila saya menyarungkan pakaian lumba saya ketika menjalani ujian masa motosikal.

"Pada mulanya, saya memakai pakaian yang lebih besar kerana perut saya yang agak besar. Kerana itu ada rakan yang menegur bahawa saya seolah-olah memakai 'langsir'.

"Apabila saya cuba memakai saiz pakaian lebih kecil mengikut ketinggian saya, saya menghadapi masalah memakainya kerana ketat dan ia membuat saya berasa geram dan meningkatkan usaha mengurangkan berat badan saya.

"Apabila saya berjaya berbuat demikian, saya terus berasa selesa memakai pakaian itu dan ia membantu memperbaiki prestasi saya dalam sesi "trackday" yang saya sertai," ujar Ustaz Ruknuddin.

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:01
Zuhur
1:08
Asar
4:33
Maghrib
7:13
Isyak
8:28
3 HR PSI: 55
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.