Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Bahas Belanjawan

Muis anjur Persidangan Antarabangsa Masyarakat Gemilang tahun ini

Mar 11, 2022 | 07:16 AM



MAJLIS Ugama Islam Singapura (Muis) bakal menganjurkan Persidangan Antarabangsa Masyarakat Gemilang (ICCOS) pada suku ketiga tahun ini, bertemakan 'Warga Negara Penyumbang, Institusi Dinamik'.



Membina daripada dua seminar pra-ICCOS yang diadakan tahun lalu, persidangan itu akan menghimpunkan cendekiawan agama untuk membangunkan gedung-gedung ilmu kritikal yang dapat membantu masyarakat Islam minoriti hidup dalam masyarakat majmuk.



Demikian menurut Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, yang memberi perkembangan mengenai sidang itu di Parlimen semalam.



"Bertemakan 'Warga Negara Penyumbang, Institusi Dinamik', ia akan fokus kepada bagaimana nasihat agama yang berhikmah dan bersesuaian dengan konteks, digandingkan pula dengan sokongan institusi, dapat memperkasa masyarakat Islam untuk hidup sebagai warga negara yang dihormati, dan menyumbang kepada pembangunan negara," kata Encik Masagos.



Peserta daripada pelbagai negara akan diundang untuk bertukar-tukar fikiran antara satu sama lain dalam acara itu.



Dalam kenyataannya, Muis berkata sidang itu akan menyediakan peluang untuk membina rangkaian cendekiawan, ulama dan pemimpin setempat dan luar negara yang berminat menyumbang kepada pembangunan masyarakat Islam mereka.



Acara itu juga satu peluang untuk mengongsi model Masyarakat Gemilang dengan masyarakat Muslim lain.



Dalam perbahasan belanjawan ehwal masyarakat Islam semalam, Setiausaha Parlimen (Perhubungan dan Penerangan merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, menarik perhatian tentang pengalaman masyarakat Islam setempat melalui krisis Covid-19, dan menghadapi ketidakpastian tentang cara mengimbangi tuntutan agama dan keselamatan awam.



"Namun, para pemimpin agama dan masyarakat tidak membiarkan kekeliruan itu membelenggu kita dan berusaha untuk membimbing masyarakat Islam di Singapura.



"Sememangnya, isu-isu kontemporari membawa cabaran baru.



"Sebagai masyarakat minoriti Islam, kita sering menghadapi cabaran unik dan berbeza untuk berkembang dalam masyarakat majoriti bukan Islam," ujarnya.



Oleh itu, beliau berkata acara seperti ICCOS merupakan satu landasan yang bermakna untuk masyarakat Islam minoriti di Singapura belajar tentang usaha masyarakat lain mengharungi isu-isu kontemporari.



ICCOS diumumkan di acara Majlis Perjumpaan Hari Raya Menteri pada 2019. Sejak itu, Muis telah menganjurkan dua seminar pra-ICCOS pada Jun dan November 2021, menjelang persidangan tersebut.



Seminar itu diadakan secara virtual dan dihadiri guru agama, karyawan, dan pemimpin masyarakat dari pelbagai negara.



Antara penceramahnya termasuk Sheikh Dr Mustafa Ceric (Bosnia and Herzegovina), Prof Quraish Shihab (Indonesia) dan Profesor Abdullah Sa'eed (Australia).




APA KATA ANGGOTA PARLIMEN



''Asatizah kita memainkan peranan yang penting dalam membimbing dan membentuk masyarakat kita dengan nilai kemahiran, keperibadian dan kewarganegaraan supaya kita menjadi sebuah Masyarakat Gemilang. Perkara ini disebabkan adanya sistem pendidikan Madrasah yang cekap. Saya bersyukur kita dapat lihat kemajuan dalam pelajar kita. Dengan prestasi baik para pelajar Madrasah pada peperiksaan tahun lalu, dan juga tahun-tahun sebelumnya, bolehkah Menteri kongsikan perancangan untuk terus memupuk bakat-bakat muda dalam sektor keagamaan untuk memastikan adanya saluran pelapis ketua agama?''
- Dr Wan Rizal Wan Zakariah (GRC Jalan Besar)




''Pengetahuan agama para asatizah adalah penting untuk menyumbang kepakaran dan bimbingan kepada sektor bukan agama juga, lantas memberi manfaat bukan sahaja untuk masyarakat Islam tetapi juga masyarakat am. Saya juga ingin tahu tentang kemajuan dalam pembangunan garis panduan gaji di institusi agama. Memandangkan mereka melakukan kerja penting dan ikhlas, saya harap mereka akan menerima gaji yang wajar untuk menarik serta mengekalkan bakat.''
- Anggota Parlimen Dilantik, Dr Shahira Abdullah.




''Wakaf terakhir dibuat lebih daripada 40 tahun yang lalu. Di sini saya setuju kita perlu kembalikan semangat dan budaya mewakafkan harta untuk manfaat masyarakat dan negara sepertimana yang dilakukan oleh nenek moyang kita dahulu sehingga melahirkan banyak institusi agama dan badan kebajikan melalui wakaf. Saya telah menyarankan dalam ucapan Parlimen saya yang lalu, untuk menubuhkan satu ekosistem yang menyeluruh termasuk rangka kerja penyelesaian pertikaian yang lebih komprehensif dan kempen kesedaran awam mengenai perancangan harta pusaka. Saya berharap Wakaf Masyarakat Singapura boleh menjadi pencetus perubahan positif dalam masyarakat kita.''
- Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (GRC Chua Chu Kang)




''Saya berasa amat teruja usaha untuk membentuk asatizah yang berwibawa dan bersiap sedia untuk masa depan sedang dijalankan. Bolehkah Menteri jelaskan keberkesanan program pemimpinan di bawah naungan RLTD (Program Pembangunan Bakat dan Kepimpinan Agamawan) ? Dalam kita melakarkan jalan ke hadapan, asatizah kami akan memerlukan lebih sokongan. Bolehkah Menteri jelaskan pelan untuk mempertingkatkan lagi sikap kepemimpinan dan kebolehan asatizah untuk jawatan-jawatan tertinggi?''
- Encik Fahmi Aliman (GRC Marine Parade)




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >