Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: AZAM WATAN

Muzik wadah sebar mesej kesihatan mental

Cenderung dari irama tradisional ke rok, bantu sebar kesedaran kesihatan mental
Feb 19, 2022 | 05:30 AM



TIDAK lama dahulu, kalau ingin menjadi seorang penyanyi, seseorang itu perlu menghantarkan kaset demo kepada penerbit atau syarikat pengedar muzik dan jika bernasib baik, kaset itu akan mendapat perhatian penerbit.



Namun untuk menjadi seorang penyanyi atau artis, bukanlah senang.



Seorang penerbit juga menilai aspek penampilan dan potensi pemasaran selain mutu suara.



Tetapi sekarang, untuk bergelar penyanyi dan merakamkan album sendiri tidak susah - jika ada kepandaian bermain muzik, memiliki kemudahan komputer dan sebuah bilik yang boleh dijadikan 'studio' rakaman, anda juga boleh jadi 'penyanyi' seperti Muhammad Hadi Adl-Thouib atau lebih dikenali dalam kalangan pemuzik tanah air dengan nama pentasnya, 'Jack Mata-Satu'.



Gelaran itu diberi kerana semasa kecil, beliau dijangkiti demam dan ia telah menyebabkan mata kirinya yang mengalami ambliopia yang turut disebut sebagai lazy eye atau 'mata malas' menjadi buta.



Jack ialah seorang penggubah lagu berbakat besar dan telah n menghasilkan tiga buah albumnya sendiri.



Selain menyanyi, Jack juga bermain gitar, keyboard dan drum untuk albumnya yang telah pun dimuatnaikkan ke beberapa wadah digital muzik seperti Spotify, Apple Music dan Amazon.



Kulit albumnya juga direka sendiri untuk ketiga-tiga albumnya.



"Sebagai pemuzik bebas, lebih mudah bagi saya menghasilkan lagu saya sendiri dengan tidak ada campur tangan atau sekatan kreativiti daripada penerbit," akui Jack yang baru sahaja melancarkan album ketiga pada penghujung tahun lalu.







Antara lagu dalam album itu yang mendapat perhatian pendengar ialah Di Sempadan Jendela, sebuah duet dengan penyanyi tradisional tanah air, Rosemainy Buang dari Kumpulan Asmaradana Gamelan; Gembala dan Domba, dan Panik! Di Disko.



Walaupun albumnya berunsur rok, Jack sebenarnya cenderung kepada lagu tradisional dan mengaku antara rancangan televisyen yang memberi kesan kepadanya sejak kecil ialah Kelab Dondang Sayang.



"Waktu itu umur saya mungkin lima atau enam tahun, saya tertarik dengan persembahan dan lagu-lagu yang dimainkan. Itu adalah detik-detik permulaan saya mula jatuh cinta dengan muzik," terang Jack.



Pada awal 2003, Jack menyertai kumpulan muzik tradisional Sri Mahligai, dan dari situlah beliau mula belajar bermain gitar dan alat-alat muzik lain.



"Dari Sri Mahligai, saya dapat belajar lagu joget, inang, zapin, asli dan banyak lagi lagu etnik Melayu," tambahnya.



Beliau juga mendapat peluang menggubah sebuah lagu instrumental untuk persembahan tarian Pesta Belia Singapura (SYF) sekitar 2004.



Selain itu pada 2011, Jack juga pernah menerajui kumpulan Clique Unites dengan pemuzik bebas Ridwan Ramli dan mereka sempat menghasilkan koleksi lagu Hari Raya sebelum kumpulan itu dibubarkan sekitar 2015.



"Cabaran yang saya hadapi dalam pembikinan album sendiri ialah saya harus belajar buat segalanya sendiri termasuklah menulis lirik dalam bahasa Melayu," ujar Jack yang mengakui penguasaan bahasa Melayunya tidak begitu baik.



Walaupun begitu, Jack setuju bahasa Melayu lebih indah untuk meluahkan ungkapan kata-kata di dalam lagu.



Album pertamanya yang diedarkan pada 2019 ialah satu percubaan dan eksperimentasi dalam menghasilkan lagu dengan menggunakan gitar akustik.



Menurut Jack, kesemua lagu dalam albumnya adalah daripada pengalamannya sendiri.



Ia disusuli dengan pembikinan album kedua dan ketiga pada 2020 dan 2021.



Jack menggunakan nama samaran "Tour Bunker" untuk ketiga-tiga album.



Ia bagi membezakan dirinya dengan pesona band persendiran di sebalik albumnya itu.



"Tour Bunker" sebenarnya berasal daripada kata kiasan "Tua Bangka" dalam istilah bahasa Melayu.



Penerbitan albumnya yang 100 peratus hasil titik peluhnya sendiri membolehkan kos pembikinan album kekal rendah.



Beliau hanya perlu keluarkan sekitar $70 untuk mendaftar albumnya untuk dimuat naik.



Walaupun hasil yang didapati daripada albumnya tidak sebanyak mana, Jack tetap berpuas hati kerana yang dikejarnya bukan wang ringgit, tetapi peluang mempertingkat dirinya sendiri.



Selain ingin mengasah bakatnya dalam menggubah lagu, Jack juga berkongsi motivasi sebenar di sebalik usahanya itu.



"Saya mengalami beberapa masalah kesihatan mental, dan menerusi lagu-lagu itu, saya harap dapat menyebarkan kesedaran kesihatan mental," kata Jack



Beliau yang baru sahaja kehilangan abangnya beberapa bulan lalu agak terjejas dengan pemergian itu dan sedang menjalani rawatan terapi bagi membantu beliau menanganinya.



"Saya rasa masih ramai lagi yang tidak faham tentang masalah kesihatan mental, saya harap sedikit sebanyak, usaha saya dapat membantu memberi pencerahan tentang isu ini," tambahnya.




TERBIT ALBUM SENDIRI



"Sebagai pemuzik bebas, lebih mudah bagi saya menghasilkan lagu saya sendiri dengan tidak ada campur tangan atau sekatan kreativiti daripada penerbit.

Cabaran yang saya hadapi dalam pembikinan album sendiri ialah saya harus belajar buat segalanya sendiri termasuklah menulis lirik dalam bahasa Melayu."



ISU MENTAL



"Saya mengalami beberapa masalah kesihatan mental, dan menerusi lagu-lagu itu, saya harap dapat menyebarkan kesedaran kesihatan mental.

Saya rasa masih ramai lagi yang tidak faham tentang masalah kesihatan mental, saya harap sedikit sebanyak, usaha saya dapat membantu memberi pencerahan tentang isu ini."

- Muhammad Hadi Adl-Thouib atau lebih dikenali dalam kalangan pemuzik tanah air dengan nama pentas, 'Jack Mata-Satu'.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >