Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Naib johan Tilawah Al-Quran Antarabangsa:

Arwah bapa, tidak kenal erti kalah jadi dorongan

Oct 26, 2022 | 05:30 AM



SELEPAS menduduki tempat ketiga pada 2018, Ustazah Widadul Wahidah Mahamod meraih tempat kedua dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-62 yang berakhir malam kelmarin.



Ini meskipun Pegawai Pembangunan di Masjid Yusof Ishak di Woodlands berusia 28 tahun itu dalam keadaan kurang sihat semasa pertandingan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu.



Namun atas berkat tidak kenal erti mengalah, Ustazah Widadul yang merupakan lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dengan ijazah sarjana muda Syariah mampu mengibarkan bendera negara ke kedudukan kedua.



Pemenang pertandingan itu merupakan qariah Malaysia, Cik Sofizah Mousin, 33 tahun.



Semasa dihubungi, Ustazah Widadul berkata:



"Selain berbekalkan pengalaman 2018 yang saya bawa bersama, mujur juga ada ibu yang berikan saya perangsang semasa bertanding.



"Padahal badan saya memang lemah akibat kurang sihat."



Ustazah Widadul juga menganggap kenangan terhadap sokongan dari arwah bapanya, Allahyarham Mahamod Ismail Sinin yang meninggal dunia pada 2018 merupakan satu lagi faktor yang mendorongnya memberi yang terbaik dalam pertandingan yang disertainya itu.



"Semasa hayatnya, arwah bapa saya merupakan salah satu tunggak di sebalik kejayaan ini kerana beliaulah yang sering hantar dan ambil saya dari kelas taranum," kata anak tunggal itu lagi.



Taranum bermaksud kaedah memperelok bacaan Al-Quran secara berlagu.



Di atas kejayaan meraih tempat kedua itu, Ustazah Widadul menerima wang tunai berjumlah RM30,000 ($9,000), sijil dan beberapa hadiah lain.



Seorang lagi peserta Singapura, Ustaz Muhammad Sadid Abdul Latif, 31 tahun yang meraih tempat kelima bagi kategori qari pula membawa pulang RM7,000, sijil dan rehal.



Peserta Bahrain, Mohamed Sameer Mohamed Magahed meraih tempat pertama.



Seramai 24 qari mengambil bahagian dalam kategori itu.



Ustaz Muhammad Sadid yang bekerja dengan mengajar Al-Quran di sini, berkata pengalaman yang diraih dalam dua pertandingan serupa pada 2009 dan 2011 menjadi bekalan kepadanya dalam pertandingan kali ini.



Pada 2009 beliau meraih tempat keempat dan pada 2011 pula beliau tidak ditempatkan dalam mana-mana kedudukan.



"Rasanya bacaan saya terjejas juga dek masalah batuk yang saya alami sebelum itu sehingga ke hari ini.



"Mujur pada hari pertandingan, batuk saya hilang seketika, dan ini beri saya peluang untuk tarik nafas dengan lebih baik," kata bapa dua anak itu lagi yang berkata akan terus memperhalusi bacaannya.



Bertemakan "Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran," majlis itu berlangsung selama enam hari bermula Rabu lepas, dan melibatkan 36 peserta dari 28 negara.



MTHQA kali ini adalah yang pertama kali diadakan selepas dua tahun ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.



Bagaimanapun, hanya kategori tilawah yang dipertandingkan kali ini, manakala kategori hafazan akan kembali pada tahun hadapan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >