Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

M³ PERKASA MASYARAKAT

Jul 28, 2019 | 05:30 AM



SUDAH lebih setahun sejak Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, memperkenalkan rangka kerja 'M Kuasa Tiga' (M³) atau 'M Cube' kepada masyarakat.



Pada asasnya, M³ merujuk kepada kerjasama antara Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Yayasan Mendaki (Mendaki) dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra).



Kerjasama itu bertujuan menyepadukan usaha dan keupayaan agensi Melayu/Islam setempat itu supaya ia lebih berkesan dalam memberi khidmat bagi masyarakat.



M³ juga memainkan peranan mengisi jurang atau menjadi jambatan di fasa terakhir dalam penyampaian khidmat kepada masyarakat.



Usaha tersebut bukan sahaja melibatkan tiga agensi itu, bahkan menggembleng tenaga sukarelawan, termasuk golongan karyawan, untuk menyumbang kepada masyarakat.



Sejauh ini, sekitar 400 relawan, termasuk karyawan dan asatizah, telah tampil untuk menyokong projek M³.



Dalam wawancara dengan Berita Minggu pada Jun lalu, Encik Masagas berkata beliau "gembira sekali" dengan kemajuan yang dicapai melalui projek M³ dalam tempoh setahun, walaupun pada mulanya ada pihak sangsi tentang pelaksanaan dan matlamatnya.



PERMULAAN M³



Seawal 2017, setahun sebelum beliau mengambil alih tugas Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos menggunakan istilah '3M' untuk merujuk kepada Muis, Mendaki dan Mesra sebagai tunjang masyarakat Melayu/Islam.



Beliau menyebut istilah itu semasa berucap selaku penasihat Mesra di jamuan malam sempena ulang tahun ke-40 Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) pada 2017.



"Muis, Mendaki, Mesra - 3M tunjang masyarakat kita - memperkukuh satu sama lain," kata Encik Masagos waktu itu.



Setelah menyandang jawatan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam bermula 1 Mei tahun lalu, Encik Masagos mengumumkan usaha memperkukuh tiga badan itu dan jalinan kerja antara mereka.



Kemudian, beliau membentangkan rangka kerja bagi usaha tersebut, di majlis perjumpaan Hari Raya Menteri yang pertama dihos Encik Masagos, pada Jun tahun lalu.



Sejak itu, '3M' ditukar kepada 'M Kuasa Tiga' (M³) atau 'M Cube' kerana istilah pertama itu telah banyak digunakan untuk merujuk kepada perkara lain sebelum ini.



Jika sebelum ini Muis, Mendaki dan Mesra rata-ratanya bekerjasama secara berasingan, lebih banyak yang boleh dicapai sekiranya ketiga badan itu bekerjasama, kata Encik Masagos.



Encik Masagos memberi contoh sebuah keluarga yang menerima zakat daripada Muis juga boleh dirujuk kepada Mendaki bagi mendapatkan tuisyen percuma Mendaki atau program pendidikan lain.



Mesra dengan rangkaian akar umbinya serta masjid dengan sukarelawannya, boleh membantu mendekati masyarakat dan 'menyampaikan program' dan skim sedia ada kepada golongan yang memerlukannya.



PELAKSANAAN M³



Awal tahun ini, pejabat bersama M³ dilancarkan di Wisma Geylang Serai (WGS), untuk menggabungkan khidmat Mendaki dan Muis di bawah satu bumbung.



Kemudian, projek M³ dilaksanakan di peringkat estet perumahan, khususnya di estet perumahan yang mempunyai jumlah penduduk Melayu/Islam yang lebih tinggi.



Dalam tempoh setahun, M³@Bandar telah dilancarkan di Tampines, Pasir Ris-Punggol, Bedok, Chua Chu Kang, Jurong, Nee Soon, Marsiling-Yew Tee dan yang terbaru di Woodlands pada 21 Julai lalu.



Inisiatif itu bertujuan menghubungkan penduduk dengan pelbagai khidmat di estet perumahan mereka, dan mencipta wadah dan peluang bagi sukarelawan untuk menyumbang kepada masyarakat.



Pelbagai M³@Bandar mempunyai tumpuan yang berbeza.



Contohnya, M³@Woodlands memberi tumpuan kepada usaha membina keluarga dan masyarakat yang lebih utuh, celik kesihatan, serta peka isu kewangan.



@Tampines, yang pertama untuk dirintis, pula menggalakkan penghayatan bahasa, warisan dan budaya Melayu, mendekati belia, serta menawarkan kursus pendidikan dan pengayaan.



TIGA TUMPUAN M³



Encik Masagos telah mengenal pasti tiga perkara yang diberi tumpuan melalui rangkaian M³, iaitu memperkukuh unit keluarga, mempertingkat sokongan bagi banduan dan keluarga, serta membina keupayaan belia Melayu/Islam.



Tiga bidang tumpuan ini masing-masing dipimpin oleh Anggota Parlimen (AP) Melayu Islam - Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Pendidikan), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim (Keluarga); Setiausaha Parlimen Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan), Encik Amrin Amin (sokongan bagi banduan dan keluarga), dan Cik Rahayu Mahzam (belia).



Antara inisiatif yang telah dibangunkan termasuk Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan bagi Pesalah dan Keluarga (Fitrah) di Masjid En-Naeem di Hougang yang berusaha membantu bekas pesalah Muslim pulih dan berintegrasi semula ke dalam masyarakat.



Satu lagi inisiatif ialah program 'Bersamamu' melibatkan naib kadi yang memberi nasihat, panduan, bimbingan dan sokongan kepada pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga.



Sementara itu, sebuah program belia juga baru-baru ini dilancarkan untuk memperkasa dan membimbing belia. Sasarannya adalah untuk menarik 1,000 mentor menjelang 2020 bagi menjayakan program itu.



PERANAN KARYAWAN



Sementara itu, AP Melayu/Islam lain terus menggerakkan M³@Bandar, melibatkan karyawan dalam jawatankuasa M3 di kawasan masing-masing.



Pengerusi M³@Jurong, Encik Faizal Othman, berkata anggota M³ membawa bersama pengalaman profesional mereka masing-masing.



"Di M³@Jurong, terdapat anggota yang mempunyai rangkaian dan pengalaman bekerjasama dengan belia.



"Ini akan memudahkan kami untuk melaksanakan program-program belia," ujar Encik Faizal, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Tasek Jurong.



Cabaran bagi pihaknya adalah untuk mengenal pasti kekuatan yang sedia ada dalam kalangan agensi dan rakan kerja di M³@Jurong, dan cara menggarap kekuatan-kekuatan itu bagi khidmat kepada masyarakat.



Sementara itu, sukarelawan turut diberi kebebasan untuk melakar program, kata pengerusi M³@Woodlands, Dr Noorul Fatha As'art.



"Ada banyak perdebatan dan perbincangan yang rancak. Kami tidak selalu setuju dengan satu sama lain tetapi ini juga baik - ia mengelakkan pemikiran kumpulan dan bantu meningkatkan inisiatif," ujar Dr Noorul, Ketua Pegawai Perubatan di Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS).



Tambahnya, jawatankuasa di Woodlands itu sedang meneroka lebih banyak idea dan inisiatif untuk melengkapi tugas yang dilakukan Mesra, Muis dan Mendaki.



'M' KEEMPAT



Lebih ramai anggota masyarakat akan berpeluang untuk menyertai gerakan M³.



Baru-baru ini, CiptaSama@M³ diperkenalkan untuk menggalak masyarakat memberi idea bagi membentuk masa depan Singapura.



Diterajui oleh Menteri Negara (Tenaga Manusia dan Pembangunan Negara), Encik Zaqy Mohamad, usaha itu antara lain akan mengumpul pandangan orang ramai tentang isu-isu yang menjejas masyarakat dan Singapura.



Mesejnya jelas - ada 'M' keempat dalam rangka kerja M³ iaitu 'masyarakat'.



Masyarakat juga memainkan peranan untuk membentuk masa depan bukan sahaja masyarakat Melayu/Islam, bahkan masyarakat Singapura yang lebih luas.



Nur Adilah Mahbob koresponden BH/BM. Baru-baru ini, beliau menulis wacana 'Sasaran bangunkan firma besar Melayu/Islam: Usaha, kesedaran, capai visi adalah penting', serta 'Resah, gelisah, fikirkan ekonomi? Di sebalik mendung, ada kecerahan'.



IG: adilahmahbob



Twitter: adilahBHsg 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >