Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

BHALAL: RUANG INFO HALAL

Nak tahu apa tuu... ROTI ARTISAN ?

Dibuat dalam bilangan kecil, pelbagai pilihan roti, pastri dan manisan yang asal dari Eropah ini kian menjadi santapan popular di kalangan masyarakat
Apr 12, 2020 | 05:30 AM



BUKAN seperti roti biasa yang boleh dibeli dari kedai runcit atau pasar raya, roti artisan selalunya dibuat atau dijual di kedai roti kecil dan dibakar dalam bilangan kecil.



Hidangan roti, pastri dan manisan yang berasal dari Eropah ini kian menjadi santapan popular di kalangan masyarakat Melayu.



Antara roti artisan ini adalah roti sourdough, sejenis roti berkulit keras yang isinya lembut dan sedikit rasa masam - diperbuat daripada tepung, air dan garam - dan merupakan keistimewaan kedai roti Woodlands Sourdough.



Kedai roti Woodlands Sourdough asalnya berada di Serene Centre tetapi telah berpindah ke kedai barunya di The Longhaus, di Upper Thomson Road.



Pembuat roti dan pengasas kedai roti Woodlands Sourdough, Cik Nurhasanah Johari, 41 tahun, dan suaminya, Encik Chalith Kanchana Kariyawasam, 38 tahun, kembali membuka kedai roti mereka selepas hampir setahun mengembara di Australia, Eropah dan Timur Tengah, di mana mereka bekerja di kedai roti, memakan aneka jenis roti dan mempelajari cara membuat roti.



"Tahun lalu, kami banyak mengembara untuk melihat dan menikmati negara lain.



"Kami bekerja di beberapa kedai roti. Kami belajar bagaimana kedai roti lain membakar roti dan mengendalikan perniagaan mereka," kata Cik Nurhasanah, ketua pembuat roti di Woodlands Sourdough.



Menurut beliau, mereka telah bekerja di kedai roti De Superette di Gent, Belgium; Hart Bageri di Copenhagen, Denmark; E5Bakehouse di London, Britain; serta di kedai roti berskala kecil di Australia dan Poland untuk mempertingkat pengetahuan mereka tentang proses membuat dan membakar roti.



Menerusi pengalaman kembara itu, mereka berupaya memperbaiki mutu roti jualan mereka.



"Konsep kedai roti kami kekal sama iaitu menjual roti dan manisan menyeluruh dengan menggunakan bahan asli, khususnya mengguna tepung bijian penuh pada harga berpatutan," kata Cik Nur Hasanah.



Pasangan suami-isteri ini, kededuanya bekas jurutera dalam sektor semikonduktor, telah menubuhkan kedai roti milik mereka itu pada 2013 selepas mula membakar aneka jenis roti di rumah dan khususnya, membuat roti sourdough.



Kini, selain menjual roti sourdough, mereka turut menawarkan roti country yang diperbuat dengan sekitar 85 peratus tepung gandum bijian penuh (stone ground whole wheat flour).



Pelanggan juga boleh menikmati roti mereka dalam bentuk sandwic dengan aneka jenis inti.



Di samping itu, Woodlands Sourdough menawarkan manisan seperti brownie dan kopi 'cold brew' iaitu minuman kopi yang diperbuat daripada biji kopi dari pemanggang mikro setempat, Cata Coffee.



Selain Woodlands Sourdough, dua lagi kedai roti yang kian popular di kalangan pelanggan Muslim setempat adalah Konditori dan Mother Dough Bakery.



Kedai roti dan pastri, Konditori, yang popular dengan pastri croissant dan roti sourdough mereka, terletak di Bussorah Street.



"Ketua di dapur kami Cef Ahmad Fahmy sangat kreatif dan bersemangat.



"Beliau prihatin tentang bahan-bahan yang digunakan, memastikan agar semua bahan segar dan bermutu baik dan pelanggan kami menghargainya," kata pengasas Konditori, Cik Tasneem Noor, 39 tahun.



Menurut beliau, pastri croissant red velvet, croissant black forest, kouign amman, roti artisan dan kini Rocher Danish merupakan antara pastri dan roti kegemaran pelanggan di kafenya.



Dengan langkah 'pemutus litar' kini dilaksana untuk membendung penularan Covid-19, Konditori menawarkan khidmat penghantaran ke serata Singapura dengan bayaran $15. Pesanan boleh dibuat pada hari sama.



Pelanggan boleh melihat senarai roti, pastri dan manisan yang ditawarkam melalui laman media sosial Facebook Konditori - Artisan European Bakery.



"Kami harap mendapat sokongan semua pelanggan kami bagi mengharungi tempoh sukar ini," ujar Cik Tasneem.



Kedai roti Mother Dough Bakery di North Bridge Road pula menawarkan roti sourdough dan aneka jenis pastri enak.



Pengasas dan ketua pembuat roti, Cik Naadhira Ismail, 34 tahun, menubuhkan Mother Dough Bakery pada 2017 selepas selesai pengajian di sekolah kulinari serta bekerja di pelbagai kedai roti dan restoran di New York City, Amerika Syarikat, selama empat tahun.



"Ia bermula sebagai gerai pop-up kecil di syarikat katering pencuci mulut teman saya dan kami menjual kroisan badam, kek, granola dan tat.



"Pada 2018, saya berpeluang mencari sebuah ruang dan beberapa bulan kemudian, Mother Dough Bakery beroperasi sebagai kedai roti, di mana pelanggan membawa pulang makanan mereka," kata Cik Naadhira.



Antara pastri popular di Mother Dough Bakery ialah croissant badam. Ia diperbuat daripada croissant sourdough, krim badam dan kepingan badam.



Selain itu, croisant sourdough, aneka jenis roti termasuk roti Perancis, kek lemon, skon, biskut, brownie rye, roti flatbread dan keju panggang pada hujung minggu juga digemari pelanggan Mother Dough Bakery.



"Mother Dough Bakery mempunyai menu istimewa pada hujung minggu setiap bulan, supaya pembakar kami seronok menyelidik dan mencuba sesuatu yang baru, manakala pelanggan tetap kami dapat mencuba sajian baru," ujar Cik Naadhira.



Lantaran itu, beliau berharap Mother Dough Bakery boleh berkembang pada masa depan dengan ruang lebih besar untuk membakar serta kumpulan pembakar dan kru perkhidmatan yang bersemangat buat masyarakat.




Kami bekerja di beberapa kedai roti. Kami belajar bagaimana kedai roti lain membakar roti dan mengendalikan perniagaan mereka... Konsep kedai roti kami kekal sama iaitu menjual roti dan manisan menyeluruh dengan menggunakan bahan asli, khususnya mengguna tepung bijian penuh pada harga berpatutan.

​- Cik Nurhasanah Johari, yang mengasaskan kedai roti Woodlands Sourdough, bersama suaminya.



Ia bermula sebagai gerai pop-up kecil di syarikat katering pencuci mulut teman saya dan kami menjual kroisan badam, kek, granola dan tat... Mother Dough Bakery mempunyai menu istimewa pada hujung minggu setiap bulan, supaya pembakar kami seronok menyelidik dan mencuba sesuatu yang baru, manakala pelanggan tetap kami dapat mencuba sajian baru.
- Cik Naadhira Ismail, pengasas dan ketua pembuat roti di Mother Dough Bakery.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >