Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Menghayati nilai kehidupan inklusif

Sep 23, 2018 | 05:30 AM



Apakah yang dimaksudkan dengan hidup inklusif dalam masyarakat majmuk? Apakah tanggapan masyarakat mengenainya? Inilah antara isu yang dikupas dalam perbincangan meja bundar oleh Berita Minggu baru-baru ini. Ikuti laporan NAZRY MOKHTAR (nazry@sph.com.sg)



USAHA boleh dipergiatkan lagi untuk mendekati dan menggalak masyarakat awam agar menyertai dan melibatkan diri dalam kegiatan silang agama.



Langkah ini penting demi mengelak salah faham dan memupuk persefahaman dan kepercayaan dalam masyarakat.



Demikian rumusan perbincangan meja bundar Berita Harian/Berita Minggu (BH/BM) mengenai isu inklusiviti yang dianjurkan bersama Program Pengajian Hubungan Silang Agama dalam Masyarakat Majmuk (SRP) di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang, baru-baru ini.



Anggota panelis terdiri daripada Dr Mohamed Ali, Penolong Profesor di SRP; Dr Leyaket Ali Mohamed Omar, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Human Connection Sg; dan Cik Nursheila Muez, Penganalisis Penyelidikan di SRP.



Moderatornya ialah Encik Nazry Mokhtar, Timbalan Editor BH/BM.



Perbincangan itu merupakan acara kemuncak projek usahasama antara akhbar ini dan SRP yang mengupas isu inklusiviti dalam masyarakat majmuk Singapura.



Di bawah kerjasama itu, sejumlah 18 rencana mengenai isu tersebut telah diterbitkan di akhbar ini sepanjang lima bulan lalu.



Rencana mingguan itu ditulis pakar dan pengamal silang agama.



MENGAPA ISU INKLUSIVITI PENTING



Menekankan peri pentingnya pemahaman meluas tentang isu inklusiviti dalam masyarakat majmuk, Dr Mohamed berkata:



"Dalam konteks Singapura, saya rasa masyarakat kita harus faham bahawa kita di Singapura hidup dalam masyarakat unik, dengan tiga konteks yang berlainan, yang unik.



"Contohnya, masyarakat Islam Singapura ini adalah masyarakat Islam yang minoriti, nombor dua kita hidup sebagai masyarakat majmuk, pelbagai kaum, dan ketiga kita hidup di bawah pemerintahan yang sekular.



"Jadi, ini sebenarnya yang membuat kita unik dan lain. Jadi, pentingnya kenapa masyarakat kita perlu bersifat inklusif adalah disebabkan konteks kita yang berbeza tadi.



"Bagaimana kita hendak bersikap eksklusif dalam keadaan kita sebagai minoriti? Kita ni kecil, dalam kita kecil... kita tidak boleh bersikap eksklusif.''



Beliau akur rata-rata anggota masyarakat mengamalkan hidup bermasyarakat tetapi sesetengah mereka mungkin terkeliru akibat salah tanggapan.



"Jadi, akhirnya kita lihat ada di kalangan masyarakat kita yang tidak mahu menyertai, yang merasakan ini bukan sebahagian daripada mereka.



"Ini termasuk juga, misalnya perayaan agama yang lain. Kerana perayaan agama yang lain sudah menjadi identiti masyarakat berbilang kaum di Singapura, bukan bermaksud kita ni nak menyertai agama mereka tetapi kita menyertai perayaan bersama-sama mereka, kita meraikan bahawa kita sebenarnya adalah masyarakat berbilang kaum, masyarakat majmuk.



"Itu yang saya maksudkan menyertai, bukan amalan agama mereka, (tetapi) lebih sebagai satu identiti yang menyatukan kita sebagai satu masyarakat,'' kata beliau yang juga Naib Pengerusi Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) dan Naib Pengerusi Kumpulan Keyakinan Antara Kaum dan Agama (IRCC) Geylang Serai.



Mengongsi pandangan tersebut, Cik Nursheila berkata: "Saya bersetuju dengan Ustaz, tetapi kalau kita lihat dari sudut luas, saya rasa inklusiviti atau amalan inklusif itu dua hala, satu pihak menyertai, tapi pihak lain pun ada juga penerimaannya.



"Bukan juga dari segi agama tetapi dari segi bangsa, pendapatan ataupun gaya hidup, itu semua pun termasuk juga dalam amalan inklusif.''



Dr Leyaket melihat kepentingan isu inklusiviti dari dua aspek.



"Pertama dari segi individu sendiri, kedua dalam aspek masyarakat. Dalam erti kata individu itu, ia dapat naikkan tahap kematangan seseorang itu, dalam menghormati, dalam mencontohi akhlak yang baik.



"Kalau dia seorang muslim, ia adalah satu suruhan agama, iaitu mempamerkan akhlak yang mulia dan sebagainya. Itu secara individu kerana ianya penting.



"Kedua, kenapa inklusif ini penting di dalam masyarakat kerana jika kita lihat dari segi keIslaman sendiri kita lihat aspek fiqh awlawiyat ataupun sesuatu yang dipentingkan, memberi keutamaan demi keutamaan yang seterusnya.



"Dengan cara kita memberi reaksi secara eksklusif iaitu tidak bercampur dengan tetangga, itu sendiri telah merugikan seseorang itu di dalam sebuah masyarakat.''



PANDUAN AGAMA



Dr Mohamed dan Dr Leyaket turut memberi contoh beberapa ayat dan hadis yang mendukung amalan hidup inklusif.



Dr Mohamed berkata Allah sendiri menghormati kewujudan anak-anak Adam dan bukan sahaja umat Islam dan telah menjadikan kepelbagaian manusia sebagai satu lumrah.



Dr Leyaket pula menyebut konsep hablum minallah dan hablum minannas yang menekankan bukan sahaja pentingnya hubungan dan tanggungjawab manusia terhadap Tuhan tetapi juga sesama manusia.



SALAH TANGGAPAN MASYARAKAT



Ditanya tentang salah tanggap tentang amalan hidup bermasyarakat, Dr Mohamed berkata perkara itu disebabkan kejahilan dan diburukkan oleh pihak-pihak yang menggunakan ayat bagi agenda peribadi dan politik.



"Contohnya dalam kehidupan hari ini kita lihat segelintir masyarakat kita mengatakan kita tidak boleh hidup dengan orang bukan Islam. Betul? Kerana mereka ini melihat satu ayat Quran yang mana tidak boleh bercampur dengan orang bukan Islam.



"Jadi salah tanggapan muncul kerana kita ambil satu ayat sahaja tanpa melihat ayat lain yang mana ayat itu digunakan sesuai dengan agenda mereka. Jadi salah tanggapan pada ayat Quran banyak berlaku pada hari ini.''



Diminta memberi contoh, beliau berkata sesetengah anggota masyarakat mempunyai tanggapan yang salah tentang undangan ke festival atau perayaan agama atau kaum lain antara lain kerana was-was tentang soal halal haram.



"Kita tidak menggadaikan agama kita. Kita tidak menjual agama kita hanya dengan menghadiri majlis. Kenapa kita menghadiri majlis yang dianjurkan oleh orang bukan Islam?



"Pertama, adalah dalam sunnah kita ini kita menyampaikan hasrat undangan orang.



"Undangan itu selagi kita tidak melakukan sesuatu yang dilanggar Islam seperti memakan benda tak halal, minum arak, bermakna selagi itu benda itu menjadi sah ataupun benda itu halal atau menjadi harus.



"Jadi, masyarakat kita ini tidak memahami perbezaan antara akidah dengan isu kita menghadiri majlis yang dianjurkan orang bukan Islam dan juga contoh lain seperti kita memberi ucap selamat pada hari perayaan mereka.



"Ini semua saya rasa perkara yang ditimbulkan masyarakat kita dijadikan isu kerana tidak memahami isu tersebut dengan baik.''



Dr Leyaket turut berkongsi pengalamannya belajar tentang agama lain dan mengunjungi tempat beribadah mereka sambil berkata kehadiran seumpama itu memberi peluang kepada masyarakat untuk saling mengenali dan memahami.



"Kefahaman itu penting kerana kita hidup berdekatan dengan agama lain dan mereka adalah dekat dengan kita. Jadi kalau kita buat tidak endah, tidak endahkan mereka, ini boleh melibatkan salah sangka, sangkakan-sangkaan yang mana boleh diperluas dengan permusuhan dan sebagainya.''



Menjelaskan sebab timbulnya salah tanggap, Dr Mohamed berkata:



"Sebabnya berbeza dan berbagai. Mungkin sebabnya mereka takut bahawa mereka akan menggadaikan halal haram ini.



"Sebenarnya ia satu tanggapan sahaja. Padahal, hakikatnya mereka yang mengundang biasanya akan memahami diet dan keperluan orang yang diundang.



"Ini saya katakan sebagai pengalaman saya sendiri apabila diundang oleh mereka yang bukan Islam. Takkanlah orang bukan Islam itu bila nak undang Muslim dia letakkan meja yang ada arak ataupun makanan yang tidak halal.



"Jadi, apa yang mereka takutkan adalah tanggapan yang saya rasa tidak benar. Dan sekiranya, letaklah kalau mereka pergi pun ada makanan yang tidak halal, janganlah makan.



"Takkanlah kalau kita tidak makan, hos akan marah kita. Jadi, ini tanggapan, ketakutan, terlalu banyak.''



Tambah Dr Mohamed: "Memang kita akur seseorang ada hak untuk tidak hadir. Ada hak apa. Bermakna bukan wajib untuk kita hadir dan ini adalah urusan peribadi saya tidak mahu hadir.



"Tetapi pada waktu yang sama kita juga harus memahami juga bahawa kita hidup dalam satu keadaan masyarakat dan zaman yang berlainan, yang terlalu banyak masalah dan cabaran terhadap Islam dan kita perlu melihat perspektif dari orang yang mengundang.



"Dengan menghadiri majlis tersebut bermakna kita telah membantu untuk membersihkan salah tanggapan. Jadi ia bukan kepentingan kita sahaja tetapi kepentingan agama kita secara keseluruhan.''



Dr Leyaket pula menambah: "Menerusi undangan, di situ interaksi terjadi, di situ sangka buruk disingkirkan kerana anda mengundang, anda mendatangi dan berbaik dan berbual.



"Begitu juga salam, di mana kita lihat dalam konteks Islam pun begitu. Orang yang kenal dan yang tidak kenal, anda disunnahkan untuk memberi salam supaya daripada salam itu terjalinnya kasih dan sayang.



"Kita mengucapkan selamat pagi kepada orang bukan Islam di dalam lif atau di pertengahan jalan dan sebagainya. Itulah perkenalan dan itulah taaruf, itulah yang dianjurkan oleh Islam sendiri.''



Menurut Cik Nursheila, sesetengah individu berasa was-was untuk mempelajari amalan orang lain kerana merasakan "ohh... saya sendiri, agama Islam belum tahu sepenuhnya, nak belajar tentang agama lain.''



Namun, beliau berkata ada kelebihan untuk mengetahui asas-asas amalan masyarakat lain untuk mengalak interaksi sosial.



"Tidak perlu pada mulanya mendalam dulu. Saya rasa itu akan membuat orang mungkin lebih selesa untuk pelajari amalan orang lain.''



Dr Nursheila turut menarik perhatian keprihatinan sesetengah pihak tentang tumpuan kepada agama dan masyarakat Islam dalam isu inklusiviti.



"Ada sesetengah masyarakat kita berfikir kenapa asyik masyarakat Islam Singapura diberi tumpuan utama apabila isu-isu eksklusivis diketengahkan.



"Tapi sebenarnya apa salahnya kalau masyarakat kita tampil ke depan untuk menjadi masyarakat contoh sebab sebagai seorang Muslim kita ada contoh yang sempurna dalam Rasulullah yang menghormati, bersikap adil dan berbaik sangka.''



Sikap berbaik sangka penting, tambahnya.



"Kita boleh berbaik sangka terhadap masyarakat lain dan berbaik sangka terhadap golongan kita sendiri.



"Sebagai contoh apabila kita ada perbincangan seperti inklusiviti ini mungkin ada sesetengah masyarakat kita berfikir mungkin... ohh ini agenda negara atau mereka tak layak membincangkan perkara ini.



"Pada masa sama, kalau kita berbaik sangka terhadap kaum lain juga jangan fikir mereka mahu mendesak kita. Saya rasa berbaik sangka harus ada. Masih banyak yang perlu dilakukan saya rasa,'' katanya.



Mengulas Dr Mohamed berkata: "Hakikatnya apa yang kita buat menegakkan perkara ini tidak ada kena-mengena dengan pemerintah atau sesiapa kerana kita merasakan dunia telah berubah, kerencaman sana sini dan masyarakat semakin berbagai, fahaman luar masuk mendatang.''



LANGKAH KE HADAPAN



Ditanya tentang langkah ke hadapan, rata-rata panelis akur interaksi silang kaum dan agama perlu terus dipertingkat bukan sekadar di permukaan sahaja tetapi secara mendalam untuk membina persefahaman dan kepercayaan.



Mengulas, Dr Mohamed berkata: "Isu inklusiviti ini sebenarnya perlu ada interaksi dua hala. Selalunya kita melihat isu inklusif ini secara masyarakat kecil bersikap inklusif terhadap kaum besar.



"Sebenarnya sebaliknya pun penting. Masyarakat besar harus juga menerima masyarakat kecil.



"Jadi, isu inklusiviti ini perlu kepada interaksi dua hala di mana kedua dua pihak - masyarakat minoriti dan majoriti - harus bersifat inklusif lebih- lebih lagi masyarakat majoriti.''



Nasihat Dr Leyaket: "Apa yang perlu kita lakukan di sini adalah tidak lain tidak bukan menuntut ilmu, memahami secara dasarnya persamaan dan memberi penghormatan.''




TIDAK GADAIKAN AGAMA



"Kita tidak menggadaikan agama kita. Kita tidak menjual agama kita hanya dengan menghadiri majlis. Kenapa kita menghadiri majlis yang dianjurkan oleh orang bukan Islam? Pertama, adalah dalam sunnah kita ini kita menyampaikan hasrat undangan orang. Undangan itu selagi kita tidak melakukan sesuatu yang dilanggar Islam seperti memakan benda tak halal, minum arak, bermakna selagi itu benda itu menjadi sah ataupun benda itu halal atau menjadi harus."
- Dr Mohamed Ali mengenai salah tanggapan sesetengah anggota masyarakat mengenai isu inklusiviti.



AMALAN YANG DIUTAMAKAN



"Kalau dia seorang Muslim, ia adalah satu suruhan agama, iaitu mempamerkan akhlak yang mulia dan sebagainya. Itu secara individu kerana ianya penting. Kedua, kenapa inklusif ini penting di dalam masyarakat kerana kalau kita lihat dari segi keIslaman sendiri kita lihat aspek fiqh awlawiyat ataupun sesuatu yang dipentingkan, memberi keutamaan demi keutamaan yang seterusnya. Dengan cara kita memberi reaksi secara eksklusif iaitu tidak bercampur dengan tetangga, itu sendiri telah merugikan seseorang itu di dalam sebuah masyarakat."
- Dr Leyaket Ali mengenai pentingnya hidup inklusif dalam masyarakat majmuk.



PENTING BERBAIK SANGKA



"Ada sesetengah masyarakat kita berfikir kenapa asyik masyarakat Islam Singapura diberi tumpuan utama apabila isu-isu eksklusivis diketengahkan. Tapi sebenarnya apa salahnya kalau masyarakat kita tampil ke depan untuk menjadi masyarakat contoh sebab sebagai seorang Muslim kita ada contoh yang sempurna dalam Rasulullah yang menghormati, bersikap adil dan berbaik sangka."
- Cik Nursheila Muez.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >