LEMBAGA Taman Negara (NParks) akan memperuntuk lebih banyak ruang dan sumber untuk menyokong minat warga Singapura bercucuk tanam.
Mengumumkan demikian semalam, Menteri Pembangunan Negara Encik Desmond Lee berkata lagi 1,000 plot ruang berkebun baru akan diwujudkan di hampir 20 taman dan kebun menjelang hujung tahun depan.
Tambahnya, orang ramai juga boleh mendaftar bagi lebih 200 plot ruang berkebun baru di West Coast, Aljunied, Punggol dan Yishun mulai hari ini.
Beliau berkata demikian semasa berucap di pembukaan Festival Taman Masyarakat (CGF) semalam.
Lagi 50,000 paket benih tumbuhan yang boleh dimakan juga telah diperuntuk bagi peserta kegiatan CGF di dalam talian hujung minggu ini.
Encik Lee berkata NParks ingin membantu pertubuhan yang berminat untuk menubuhkan ruang berkebun termasuk di estet perumahan.
Selain itu, NParks juga akan melancarkan koleksi tip bagi orang ramai bercucuk tanam tumbuhan yang boleh dimakan di koridor secara bertanggungjawab dan dengan berjaya.
"Kami harap semua usaha ini akan menggalak kita mencuba bercucuk tanam di rumah, ruang berkebun atau di kebun masyarakat.
"Ini satu kegiatan yang bermakna yang dapat mengukuhkan hubungan antara teman, keluarga dan masyarakat," ujar Encik Lee.
Beliau berkata kegiatan berkebun berupaya memberi harapan dan keceriaan kepada orang ramai semasa tempoh yang mencabar ini.
Tambahnya, kegiatan berkebun dan kehijauan juga boleh meningkatkan kesejahteraan dan daya tahan mental orang ramai.