KONGRES Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) akan memainkan peranannya untuk menyederhanakan harga barangan dan perkhidmatan penting dalam keadaan kos kehidupan kian meningkat.
Langkah ini bertujuan bertindak selaku penanda aras harga dan menangani keperluan mereka yang kurang mencukupi khidmat atau kemudahan.
Ia menyokong pekerja dan keluarga mereka dengan menyederhanakan kos kehidupan menerusi pelbagai program, kata Ketua Eksekutif NTUC Enterprise dan Anggota Parlimen GRC Marine Parade, Encik Seah Kian Peng.
Ini termasuk menyediakan latihan bersubsidi dan keperluan harian yang dimampui menerusi kumpulan perusahaan sosialnya.
Pada masa yang sama, ia juga akan memastikan pekerja di sini kekal berdaya saing dan boleh diambil bekerja, tambahnya sewaktu bahas kenyataan Belanjawan pada Selasa (1 Mac).
"Untuk melakukannya, NTUC bekerja keras membantu pekerja daripada semua lapisan dan usia bagi mendapatkan pekerjaan lebih baik serta meraih pendapatan lebih baik," jelasnya.
Encik Seah, yang juga Ketua Eksekutif Kumpulan FairPrice bertanya jika akan ada usaha yang diselaraskan untuk kekalkan barangan asas dimampui, sama ada dengan memberi bimbingan mengenai barangan khusus atau insentif cukai untuk berbuat demikian.
Terdapat juga keperluan untuk mengenal pasti mereka yang pendapatannya terjejas oleh pandemik serta menawarkan bantuan buat mereka yang tidak diendahkan seperti mereka yang mempunyai sokongan keluarga terhad, jelasnya.
"Mungkin, ia bukan sahaja tentang mempunyai lebih banyak skim tetapi membantu lebih ramai orang agar menyedari tentang perkara ini dan memohon bagi skim sebegitu," tambah Encik Seah.