Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Onak dan duri dalam kehidupan awal Fatimah Mohsin

Usahawan anak peniaga 'Raja Lelong' di pasar Geylang Serai suatu ketika dulu, kongsi kisah perubahan hidupnya daripada mewah kepada susah selepas ibu bapanya berpisah
Jul 21, 2019 | 05:30 AM



SIAPA tidak kenal 'Raja Lelong' - peniaga yang menjual pelbagai jenis barangan, daripada pakaian, kain, cadar, alas meja, kasut hinggalah pinggan mangkuk, di gerai sekangkang kera di satu sudut di pasar Geylang Serai?



Selain barangannya yang dijual murah dengan 'cara lelong', ramai juga tertarik ke gerainya dek gelagat beliau yang nama sebenarnya ialah Encik Mohsin Nazarali, yang kadangkala garang dan ada masa lucu, namun pasti menghiburkan.



Zaman kegemilangan perniagaan Encik Mohsin, yang kini berusia 74 tahun, ialah pada tahun-tahun 1970-an hinggalah sekitar 1990-an sebelum peredaran zaman dan kerja-kerja pembinaan semula pasar Geylang Serai 'mengganggu' operasinya.



Namun, bak kata pepatah, patah tumbuh, hilang berganti.



Dalam sekitar tempoh tersebut pada pertengahan tahun 2000 pula, nama puterinya, Cik Fatimah Mohsin, mula meningkat.



Pada mulanya beliau dikenali sebagai jurusolek yang muncul sebagai 'perintis' trend solekan dan kemudian usahawan andaman sebelum menempa nama sebagai pereka fesyen dan terkini usahawan hiasan dalaman rumah.



Beliau kini pemilik khidmat tatarias pengantin, Fatimah Mohsin The Wedding Gallery dan jenama perhiasan, PropUpStore.



Dalam wawancara dengan Berita Minggu sempena rakaman podcast #NoTapis terbitan akhbar ini, Cik Fatimah, 44 tahun, berkata ramai orang menganggap perjalanan beliau melangkah ke dunia keusahawanan sesuatu yang semula jadi lagi mudah dek kaitan beliau dengan bapanya, 'Raja Lelong'.



Namun, anggapan tersebut jauh daripada kenyataan.



"Orang cuma nampak kesenangan kita, tapi kesusahan yang kita lalui, orang tak nampak," kata Cik Fatimah, yang beberapa kali deselubungi emosi sepanjang wawancara.



Beliau akur beliau dewasa dengan dikelilingi kemewahan hasil perniagaan bapanya. Anak ketiga dalam lapan beradik itu berkata beliau hidup bahagia.



DUNIA MULA BERUBAH



Bagaimanapun, pada lewat 1990-an dunia yang dikenali Cik Fatimah mula berubah.



Bapa dan ibunya berpisah dan Encik Mohsin mengahwini seorang wanita dari negara luar yang umurnya hampir sebaya dengan Cik Fatimah ketika itu.



"Kami adik-beradik tidak mahu tinggal dengan ibu tiri. Jadi, bak (panggilan beliau bagi bapanya) sewakan rumah untuk kami adik-beradik.



"Sebagai anak perempuan paling tua dalam keluarga, tiba-tiba saya jadi ibu kepada adik-adik. Sayalah yang uruskan makan minum mereka," ujar beliau, yang menambah bahawa ibunya patah hati dengan perceraian tersebut sehingga membawa diri ke Malaysia.



Encik Mohsin, yang turut terlibat dalam rakaman podcast #NoTapis itu akur peristiwa tersebut adalah kesilapan paling besar dalam kehidupan beliau.



"Duit saya habis saya belanjakan (untuk isteri baru). Saya keluarkan hampir $700,000 untuk beli tanah dan rumah (di negara isteri baru) dan lain-lain keperluan dia. Rancangan saya untuk terus tinggal di sana," ujarnya.



Tapi rancangan beliau tidak kesampaian.



Encik Mohsin tidak bercerita panjang mengenai apa yang berlaku dengan perkahwinan keduanya itu, sebaliknya hanya mengatakan beliau kembali ke Singapura beberapa tahun kemudian dalam "keadaan tidak seperti dahulu".



Dengan sebahagian besar harta Encik Mohsin habis begitu sahaja, Cik Fatimah dan adik beradiknya juga pernah tidak mempunyai tempat berteduh buat suatu ketika.



DETIK PALING SUKAR



Menurut beliau, detik-detik itu merupakan yang paling sukar.



"Saya paling sedih lihat adik-adik kecil saya yang hidup susah sedangkan kami yang lebih tua hidup senang semasa kecil dulu. Itu yang membakar semangat saya untuk bekerja keras membanting tulang untuk mendapat duit supaya dapat belanja adik-adik saya," ujarnya.



Selain bekerja sepenuh masa, beliau juga bekerja sambilan termasuk bekerja di kilang pada sebelah malam untuk wang tambahan. Pada masa yang sama, beliau juga mengambil kursus dandanan sebagai ikhtiar mencari pendapatan tambahan.



Meskipun akur, beliau berasa marah dengan bapanya semasa tempoh tersebut. Namun, Cik Fatimah menerangkan masa mengubat segalanya.



Merenung kembali, beliau percaya ada hikmah di sebalik apa yang berlaku.



Keadaan hidupnya yang susah ketika itu membentuk keperibadiannya kini.



Beliau sering disifatkan sebagai usahawan wanita yang rajin, berani dan tidak kenal erti putus asa.



Sifat-sifat ini, menurutnya, merupakan tunggak kekuatannya dalam kekal berdaya saing dalam dunia perniagaan.



Zaman kanak-kanaknya yang dihabiskan membantu bapanya di gerai pula merupakan bibit-bibit permulaan beliau mendapat inspirasi untuk berniaga, sekali gus mempersiap dirinya apabila peluang terbuka untuk beliau menceburi bidang perniagaan.



"Semua manusia pasti buat silap. Saya sudah lama maafkan bak, saya pun tak ungkit-ungkit lagi kisah lama. Dulu yalah, sebab marah, kadangkala ungkit juga, tapi saya fikir, sudahlah tidak ada manfaat kasi 'orang tua' ni bingung," katanya, yang kini membawa bapanya tinggal bersama beliau.



Ibu tunggal dua orang anak itu, yang dirinya sendiri telah melalui dua perkahwinan yang gagal, menambah:



"Hakikatnya, bapa saya banyak berjasa pada keluarga. Dari dia, saya belajar mengenai selok-belok perniagaan, mengenai kehidupan."



Mengulas kejayaan dan pengorbanan anaknya itu, Encik Mohsin berkata beliau begitu bangga dengan perjalanan puterinya itu dan juga pencapaian anak-anaknya yang lain.



"Tiap hari saya solat saya tidak pernah lepas mendoakan mereka. Untuk Fatimah pula saya doakan dia diberi kesihatan dan berjaya. Dia banyak berjasa kepada saya," ujar beliau.




"Saya paling sedih lihat adik-adik kecil saya yang hidup susah sedangkan kami yang lebih tua hidup senang semasa kecil dulu. Itu yang membakar semangat saya untuk bekerja keras membanting tulang untuk mendapat duit supaya dapat belanja adik-adik saya...

Semua manusia pasti buat silap. Saya sudah lama maafkan bak (bapa), saya pun tak ungkit-ungkit lagi kisah lama. Dulu yalah, sebab marah, kadangkala ungkit juga, tapi saya fikir, sudahlah... "

- Cik Fatimah Mohsin, usahawan yang kini pemilik khidmat tatarias pengantin.




IKUTI #NOTAPIS BERSAMA FATIMAH, 'RAJA LELONG'



KE MANA tumpahnya kuah jika tidak ke nasi?



Sejak kecil lagi usahawan dan pereka fesyen setempat, Cik Fatimah Mohsin, sudah terdedah kepada selok-belok perniagaan.



Bapanya, Encik Mohsin Nazarali, peniaga tersohor di pasar Geylang Serai, menjual pelbagai jenis barangan - daripada pakaian hingga peralatan dan perhiasan rumah.



Malah, beliau diberi jolokan 'Raja Lelong'.



Dalam 'podcast' #NoTapis, Cik Fatimah, yang kini seorang usahawan, berkongsi bagaimana bapanya memberi beliau inspirasi untuk menceburi dunia perniagaan.



Encik Mohsin pula, yang kini sudah bersara, menceritakan jatuh bangun dunia perniagaannya di Geylang Serai dan bagaimana beliau mendapat julukan 'Raja Lelong'.



Kisah bapa dan anak itu boleh dinikmati menerusi podcast Berita Harian (BH) yang telah dimuat naik di aplikasi Spotify.



Selain Spotify, #NoTapis juga boleh dimuat turun menerusi portal digital BH - www.BeritaHarian.sg.



Siri 'podcast' #NoTapis mengetengahkan personaliti popular Suhaimi Yusof, dan koresponden BH Shahida Sarhid, sebagai pengacara.



Bagi episod bersama Cik Fatimah dan Encik Mohsin, seorang lagi personaliti popular dan mantan juruhebah radio, Syah Ibrahim, juga telah diketengahkan.



Dilancarkan pada 13 Mei lalu, #NoTapis kini menduduki tangga kelima di carta 'podcast' Spotify dengan lebih 20,000 muat turun.



BH memuatnaik tiga episod setiap minggu pada Isnin, Rabu dan Jumaat (12 tengah hari).



Dalam episod sebelum ini, antara tetamu podcast BH ialah petinju profesional negara, Muhamad Ridhwan Ahmad atau Ridhwan 'The Chosen Wan'; pendakwah bebas dan penceramah motivasi, Ustazah Liyana Musfirah; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Safinah Institute, Ustaz Tarmizi Wahid; CEO Muslim Youth Forum (MYF), Ustaz Zahid Zin; selebriti, Nadiah M. Din dan suami Bilal Jeanpierre; dan bekas personaliti televisyen dan radio, Riz Sunawan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >