Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

ANUGERAH JAUHARI 2017

Pahit getir membina perniagaan

Suhaimi Salleh pernah diberhentikan kerja, hutang ribuan dolar sebelum akhirnya membina kumpulan syarikat jutaan dolar
Oct 08, 2017 | 05:30 AM



ENCIK Suhaimi Salleh pernah mengalami nasib diberhentikan kerja, namun peristiwa itu mengandung hikmah yang kemudian menceburkan dirinya dalam perniagaan.



Dan perjalanan perniagaannya pula disulami liku, antaranya terpaksa meminjam sehingga $200,000 daripada pelbagai kad kredit sebelum bangkit semula dan menjana perniagaan jutaan dolar.



Pahit getir membina perniagaan - daripada peniaga yang beroperasi sendirian dari rumah dan menyewa ruang memuatkan sebuah meja, kepada syarikat yang kini menggajikan 150 kakitangan sepenuh masa dan ramai jurulatih sambilan dan berpangkalan di ruang besar di dua tingkat di bangunan Lifelong Learning Institute di Eunos Road 8 dekat Paya Lebar Road - memberi kepuasan yang diharap dapat menyuntik semangat kepada masyarakat menceburi perniagaan.



Kesungguhan dan keupayaan Encik Suhaimi, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), membina SSA Group of Companies yang mempunyai 13 anak syarikat, diiktiraf dengan Anugerah Jauhari Perniagaan Berita Harian. Beliau adalah antara empat penerima anugerah baru yang diperkenalkan BH tahun ini sebagai mengiktiraf semangat keusahawanan dalam masyarakat Melayu/Islam Singapura.



Encik Suhaimi, 62 tahun, memulakan kerjanya dalam firma audit dan perakaunan PriceWater House selepas tamat pengajian di Universiti Singapura pada 1977 dalam jurusan Perakaunan, dan kemudian menjawat Akauntan Kanan di Hong Leong Industries manufacturing Ltd, anak syarikat Hong Leong Industries.



Kemelesetan ekonomi berlaku dan beliau diberhentikan kerja pada 1986.



Perasaan sedih, kecewa berasa tidak dihargai dan bimbang bercampur baur kerana ketika itu beliau sudah berumah tangga dan mempunyai cahaya mata.



Beliau berusaha mencari kerja dan kemudian mendapat tawaran pekerjaan di sebuah badan berkanun dengan gaji $1,000 lebih rendah daripada pendapatan lama.



Namun, setelah membuat beberapa pertimbangan, beliau mahu mencuba berusaha sendiri, mungkin hasil pengalaman menjaja kuih semasa kecil di limbungan Kallang ketika tinggal di kawasan Kampung Bugis, dan yakin dapat meraih pendapatan serupa yang ditawarkan.



Beliau memulakan firma Suhaimi Salleh and Associates, beroperasi dari rumah dan kemudian menyewa ruang pejabat memuatkan sebuah meja, menawarkan khidmat perundingan perakaunan.



Encik Suhaimi kemudian mendapat tahu Lembaga Daya Penghasilan Negara (NPB) menawarkan program Perundingan Pengurusan ke Jepun selama tiga bulan. Beliau merupakan antara 12 yang terpilih daripada 150 pemohon - antara lain mempelajari cara mengurus syarikat kecil dan sederhana (SME), sumber manusia, meningkatkan daya penghasilan, pemasaran runcit dan sebagainya.



"Program itu mengubah hidup saya.



"Setelah pulang, saya memutuskan ini yang saya mahu lakukan - meluaskan bidang perakaunan kepada perunding cara," jelas Encik Suhaimi yang pulang menjadi jurulatih dan perunding cara sambilan di bawah NPB sebagai bon berkhidmat selama 300 jam mengikuti program di Jepun.



Dari situ beliau memulakan SSA Management Consultant dan mula mendapat banyak pelanggan, termasuk membantu beberapa agensi khidmat haji membuka syarikat, di samping menyediakan khidmat audit di banyak masjid.



Perjalanan bisnesnya bukan tanpa cabaran.



Antaranya ialah apabila sekumpulan pengurus syarikatnya berhenti kerja bersama beberapa kakitangan lain, membuka syarikat sendiri dan menjadi pesaing beliau.



Menurut Encik Suhaimi, beliau ketika itu sibuk bergiat dalam Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) sebagai Timbalan Presiden pada 1997-'98 dan menyerahkan pengendalian perunding cara, latihan, perakaunan dan kesetiausahaan korporat kepada beberapa pengurus.



Dengan kekurangan kakitangan, Encik Suhaimi membawa masuk adiknya, Encik Affandi Salleh, seorang lulusan kejuruteraan daripada Politeknik Singapura, dan mereka membina semula syarikat dan meluaskan kepada bidang latihan pekerja. Encik Affandi kini Ketua Pegawai Operasi kumpulan syarikat itu.



Satu lagi cabaran beliau membuat pelaburan besar menyiapkan modul program di bawah Agensi Pembangunan Tenaga Kerja (WDA) yang memperkenalkan kemahiran kebolehpasaran (employability).



Selepas dua tiga tahun, WDA membuat rombakan menjadikan bahan yang telah disiapkan bagi 29 modul itu tidak relevan.



"Kami hadapi masalah kerana ada bahan yang disiap belum terjual sedangkan kami sudah buat pelaburan besar," kata beliau.



Beliau terpaksa menggunakan kemudahan pinjaman daripada 15 kad kredit berjumlah $200,000 bagi mengurus pelbagai kos operasi seperti sewa tempat, gaji pekerja dan beberapa kos lain.



"Alhamdulillah, masih ada rezeki. WDA kemudian memperkenalkan program Pendidikan Berterusan dan Latihan (CET)," kata beliau yang mendapat projek mengendalikan literasi di tempat kerja (mengendalikan program bahasa Inggeris) dan kemahiran di tempat kerja (mengendalikan kemahiran lembut seperti komunikasi, menghurai masalah, keberkesanan kerja dan sebagainya).



Dalam dua tahun beliau dapat menyelesaikan hutang kredit.



Dan kumpulan syarikatnya - yang mempunyai beberapa divisyen dan anak syarikat - terus berkembang dengan pendapatan meningkat daripada $1 juta kepada $5 juta, kemudian $10 juta dan tahun ini kepada $15 juta.



Encik Suhaimi sendiri masih memberi latihan khusus yang fokus pada badan amal di bawah Institut Perkhidmatan Sosial - merangkumi aspek seperti piawaian perakaunan amal, belanjawan untuk badan amal dan kewangan untuk profesional bukan kewangan badan amal.



Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM), badan amal yang beliau terajui sejak beberapa tahun lalu, adalah yang pertama memperkenalkan piawaian perakaunan amal.



Encik Suhaimi juga terlibat dalam banyak badan dan pertubuhan sepeti SG Enable, Muslim Financial Planning Association, pengerusi tetap DPPMS. Senarainya menjalar.



"Perjalanannya berliku. Mengendalikan keluarga sahaja satu cabaran, apatah lagi mengendalikan 150 kakitangan daripada pelbagai latar belakang," kata beliau.



Mengenai langkah selanjutnya, syarikatnya mesti terus tangkas menghadapi masa depan.



"Kami tidak boleh jalan perlahan - kena tunggang motosikal, bukan kayuh basikal," kata beliau.



Maka itu, syarikatnya mengambil langkah meluaskan rangkaian dan mempelbagaikan sumber pendapatan dengan meneroka ke rantau Asia dan Timur Tengah.



Menurutnya, syarikatnya sudah mendapat beberapa kontrak di Arab Saudi dan beberapa lagi dalam pertimbangan negara lain di Timur Tengah.



Daripada pengalamannya, Encik Suhaimi berharap mereka yang dibuang kerja tidak putus asa sebaliknya menggunakannya sebagai batu loncatan ke daerah baru atau menjadikannya wadah memulakan sesuatu yang lebih menguntungkan.



Di samping berharap lebih ramai anggota masyarakat Melayu mencapai kecemerlangan dalam pelajaran dan diberi lebih banyak peluang membukti keupayaan mereka, Encik Suhaimi juga berharap lebih ramai Melayu belajar berniaga dan menceburi perniagaan - berfikir besar tetapi mulakan dengan kecil.



Langkah awalnya ialah mengikuti kursus dan menyertai seminar untuk memahami bagaimana perniagaan dilakukan dan bagaimana boleh mencapai kejayaan dengan bertindak tangkas, memahami dan menjangka perubahan.



Mengusahakan perniagaan, ujarnya, sesuai dengan hadis yang menyatakan bahawa 90 peratus rezeki adalah menerusi perniagaan.



Encik Suhaimi berkata perniagaan yang diceburi memberinya cukup kepuasan dan memenuhi misi hidupnya - membantu masyarakat, menambah nilai dalam kehidupan.



Menerusi kursus memasak di bawah program kulinari misalnya, beliau berharap dapat membantu golongan wanita yang duduk di rumah belajar masak dan mungkin boleh membantu mereka mengusahakan sesuatu seperti memulakan perniagaan dari rumah.



"Menerusi latihan, kami memperkenalkan pengetahuan baru, pengalaman baru, peningkatan ilmu supaya hidup menjadi lebih baik.



"Menerusi perundingan, kami menambah nilai pada perniagaan, membantu baiki perniagaan, membaiki proses.



"Ia sangat bermakna. Saya dapat penuhi misi sambil mendapat pendapatan," kata beliau yang berpegang pada prinsip daripada sebuah hadis bahawa sebaik-baik manusia ialah mereka yang mendatangkan kebaikan kepada orang lain.



"Saya harap dapat kebahagiaan dunia akhirat menerusi apa yang saya lakukan," kata Encik Suhaimi sambil menambah bahawa pada usia melewati 60-an tahun, beliau sedang menyiapkan pengganti untuk membawa syarikatnya ke tahap lebih tinggi, dengan beliau terus berperanan mengawasi dan memberi nasihat dan panduan.




"Kita perlukan lebih banyak Melayu dalam bidang perniagaan. Anugerah Jauhari Perniagaan Berita Harian adalah langkah yang baik untuk menggalak lebih ramai orang menceburi bidang perniagaan. Dengan memperkenalkan bukan satu tetapi empat anugerah perniagaan, ia boleh mengajak orang berfikir dan berharap menjadi seperti salah seorang daripada mereka. Anugerah itu merangsang sekitaran perniagaan, terutama di kalangan masyarakat Melayu. Kita memang perlu terus mengembangkan usaha ini."
- Encik Suhaimi Salleh mengenai Anugerah Jauhari Perniagaan sebagai perangsang ceburi perniagaan.



"Menerusi latihan, kita memperkenalkan pengetahuan baru, pengalaman baru, peningkatan ilmu supaya hidup menjadi lebih baik.

Menerusi perundingan, kita menambah nilai pada perniagaan, membantu baiki perniagaan, membaiki proses.

Ia sangat bermakna. Saya dapat penuhi misi sambil mendapat pendapatan...

Saya harap dapat kebahagiaan dunia akhirat menerusi apa yang saya lakukan."

- Encik Suhaim Salleh mengenai misi membantu masyarakat menerusi latihan dan perundingan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >