Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pakar: Perubahan sistem pendidikan tidak jejas mutu pembelajaran

Oct 06, 2018 | 05:30 AM



Kementerian Pendidikan (MOE) minggu lalu mengumumkan beberapa perubahan kepada cara pelajar di pelbagai peringkat dinilai mulai tahun hadapan, termasuk mengurangkan jumlah peperiksaan yang perlu diduduki pelajar. Bagaimanakah perubahan ini menjejas pembelajaran di sekolah Singapura? NORMAN SAWI (normans@sph.com.sg) melaporkan. Elak penekanan berlebihan dalam penilaian berdasarkan gred, ranking



ANJAKAN ke arah sistem pendidikan yang kurang bergantung kepada peperiksaan untuk menilai kelakonan pelajar tidak bertujuan mengurangkan mutu pembelajaran dalam sistem baru itu.



Merujuk kepada keprihatinan sebahagian ibu bapa tentang mutu pembelajaran menyusuli perubahan yang diumumkan Kementerian Pendidikan (MOE) baru-baru ini, pakar pendidikan yang dihubungi Berita Harian (BH) berkata ibu bapa tidak perlu bimbang mutu pembelajaran mereka akan merosot.



"Mutu pembelajaran melibatkan penetapan piawaian dan hasil pembelajaran, cara dan strategi mengajar, serta pencapaian pelajar.



"MOE dan sekolah-sekolah di Singapura tidak mengetepikan mutu pembelajaran atau meremehkan pencapaian pelajar," kata pendidik berpengalaman Dr Intan Azura Mokhtar, penolong profesor di Institut Teknologi Singapura (SIT).



"Perubahan yang diumumkan baru-baru ini bertujuan mengurangkan peri penting pencapaian akademik pelajar, dan pada masa yang sama mengekalkan mutu pembelajaran dan pencapaian pelajar.



"Sebaliknya, kita perlu prihatin jika pencapaian akademik pelajar menerusi markah ujian, gred peperiksaan atau ranking kelakonan pelajar terlalu ditekankan dan menjadi ukurtara pencapaian akademik pelajar dan rujukan utama kejayaan atau kebijaksanaannya," kata Dr Intan, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Ang Mo Kio dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) bagi pendidikan.



Bersependapat, Pengarah Divisyen Akademik SIM Global Education, Dr Timothy Chan, berkata penilaian - dalam bentuk kuiz, ujian kecil atau peperiksaan - berperanan penting dalam pendidikan tetapi mencetus keprihatinan apabila ia ditekankan secara keterlaluan.



Menurut Dr Chan, penilaian boleh dibahagi kepada dua jenis - pembentukan dan rumusan.



Penilaian pembentukan membantu pelajar mengenal pasti kelemahan dan kekuatan dalam bahagian tertentu menerusi kertas kerja atau projek dan peperiksaan yang tidak dinilai dengan gred dan penting bagi pembelajaran dan pengajaran berkesan.



Penilaian rumusan - seperti peperiksaan akhir tahun - bertujuan merumuskan pencapaian akademik pelajar dan memberi tumpuan kepada hasil pembelajaran untuk menilai kelakonan pelajar, dan biasanya, markah dan gred menjadi tumpuan utama, jelas Dr Chan.



"Saya rasa, apa yang ingin dilakukan MOE bukan untuk mengeluarkan penilaian daripada sekolah-sekolah, dan tentunya bukan untuk meniadakan penilaian jenis pembentukan.



"Ia sekadar cuba mengurangkan penilaian rumusan di mana gred menjadi tumpuan utama," ujar Dr Chan.



Minggu lalu, MOE mengumumkan bahawa sebahagian peperiksaan bagi pelajar - dari sekolah rendah hingga sekolah menengah - akan ditiadakan mulai tahun depan.



Murid darjah satu dan dua tidak akan dikenakan sebarang peperiksaan, sementara peperiksaan pertengahan tahun akan ditiadakan bagi murid darjah tiga dan lima, serta pelajar menengah satu dan dua.



Semua pelajar dari darjah tiga hingga menengah empat atau lima akan dikenakan hanya satu peperiksaan bagi penilaian bagi setiap subjek dalam setiap penggal.



Buku laporan - yang merakamkan kelakonan tahunan pelajar - tidak lagi menunjukkan ranking pelajar berbanding rakan di kelas atau peringkat yang sama.



Menurut MOE, perubahan ini mengosongkan waktu kurikulum sekitar tiga minggu bagi setiap dua tahun persekolahan.



Bercakap kepada wartawan tentang perubahan ini awal minggu ini, Menteri Pendidikan, Encik Ong Ye Kung, berkata sistem yang memberi kurang penekanan pada peperiksaan untuk menilai kelakonan pelajar tidak bermakna pelajar ada keperluan yang berkurangan bagi pelajar untuk mengulangkaji pelajaran.



Sebaliknya, masa tambahan ini memberi ruang kepada guru untuk mengajar pelajar dengan cara lebih berkesan, tanpa perlu terburu-buru kerana mengejar tempoh peperiksaan.



Menurut Dr Intan, dengan perubahan ini, beliau berharap ibu bapa juga akan menguruskan jangkaan masing-masing dan memberi nilai kepada kemajuan dan pencapaian anak mereka melebihi markah atau gred yang dicapai.



"Saya berharap ini boleh mengurangkan stres yang dihadapi pelajar kita," ujar Dr Intan, yang pernah mengajar di pelbagai peringkat, dari sekolah menengah sehingga possiswazah dan program profesional.




"Perubahan yang diumumkan baru-baru ini bertujuan mengurangkan peri penting pencapaian akademik pelajar, dan pada masa yang sama mengekalkan mutu pembelajaran dan pencapaian pelajar. Sebaliknya, kita perlu prihatin jika pencapaian akademik pelajar menerusi markah ujian, gred peperiksaan atau ranking kelakonan pelajar terlalu ditekankan dan menjadi ukurtara pencapaian akademik pelajar dan rujukan utama kejayaan atau kebijaksanaannya."
- Dr Intan Azura Mokhtar, AP GRC Ang Mo Kio.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >