Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pelajar perubatan dapat pulang ke S'pura dari Wuhan

Feb 03, 2020 | 05:30 AM



SELEPAS penerbangannya ke Singapura pada 25 Januari dibatalkan ekoran pihak berkuasa China mengenakan sekatan perjalanan keluar dari bandar Wuhan di Hubei pada 23 Januari, beliau berusaha mencari pilihan lain, termasuk menaiki kereta atau kereta api ke bandar lain di China.



Ini kerana Encik Mohamad Fitri Mohamad Rashed, 27 tahun, ingin pulang untuk bersama ibunya yang baru menjalani pembedahan.



Namun, usaha pelajar perubatan tahun terakhir di Universiti Wuhan, China, itu tidak berhasil.



"Saya hanya fikirkan cara untuk terus melalui beberapa hari dan minggu mendatang sedang saya terus berada di bandar ini. Kalau saya terus berfikir tentang pulang ke Singapura, saya bimbang akan jadi panik," katanya.



Dengan bantuan Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura, Encik Mohamad Fitri antara 92 warga Singapura yang selamat pulang ke negara ini Khamis lalu dengan menaiki satu penerbangan khas Scoot.



Ketika dihubungi, ibu bapanya - Encik Mohamad Rashed Zumarie, 58 tahun, dan Cik Hamidah Idris, 55 tahun - berkata mereka lega dan bersyukur anak mereka sudah pulang ke tanah air.



Ini meskipun mereka tidak dapat peluk cium anak sulung mereka itu kerana Encik Mohamad Fitri belum dapat pulang ke pangkuan keluarga dek harus menjalani kuarantin 14 hari sejurus tiba di sini.



Cik Hamidah, seorang pesara, berkata beliau amat memahami langkah berjaga-jaga itu.



"Pada mulanya apabila saya tahu dia tak dapat pulang dan saya baru selesai jalani pembedahan ketika itu, rasa sakit saya terus hilang kerana bimbangkannya. Saya telefonnya beberapa kali sehari.



"Namun, apabila saya membaca berita tentang warga Singapura yang sudah tiba di Lapangan Terbang Changi itu Khamis lalu, terus saya sujud syukur," ujarnya.



Encik Rashed, yang bekerja dalam sektor minyak dan gas, berkata beliau kerap menghubungi anaknya sejak China mengenakan sekatan perjalanan keluar dari Wuhan, ibu kota wilayah Hubei, pusat jangkitan virus korona novel, meskipun beliau berada di Melbourne, Australia, bagi urusan kerja Isnin lalu.



"Saya amat bersyukur pemerintah Singapura membantu membawa anak saya pulang," kata beliau, yang pulang ke Singapura awal pagi Khamis lalu.



Encik Mohamad Fitri yang mengkuti program ijazah sarjana muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) di Universiti Wuhan sejak 2014 sedang menjalani program kerja sambil belajar di Hospital Zhongnan di Wuhan apabila jangkitan virus korona itu mula dikesan di bandar tersebut.



Beliau sepatutnya selesai program kerja sambil belajar itu dan tamat pengajiannya Julai ini.



Namun seminggu sebelum sekatan keluar dari Wuhan dikenakan, beliau sudah tidak pergi ke hospital jika tiada urusan penting atas cadangan gurunya.



Pihak universiti mengeluarkan notis rasmi agar pelajar yang sedang mengikuti program kerja sambil belajar tidak pergi ke hospital pada 20 Januari.



Sejak itu, Encik Mohamad Fitri menghabiskan masa dalam apartmennya sahaja.



Kedutaan Singapura di sana juga menghubunginya setiap hari untuk bertanya khabar dan berkongsi maklumat terkini.



Kini, anak sulung daripada tiga adik-beradik itu tidak pasti bila beliau akan pulang ke China.



Beliau akan terus berhubungan dengan kawan-kawannya yang masih di Wuhan.



"Cabarannya bukan dari segi fizikal saja bahkan mental kerana mereka tidak boleh ke mana-mana dan tiada apa hendak dilakukan. Ini lebih teruk bagi warga asing di sana yang menanti-nanti bila mereka boleh pulang," ujarnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >