Subuh
5:36
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pelajar rancang serangan, buat persiapan terperinci

Jan 29, 2021 | 05:30 AM



PELAJAR sekolah menengah berusia 16 tahun yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bulan lalu telah membuat persiapan dan rancangan terperinci untuk membunuh jemaah dengan parang di dua masjid di sini pada 15 Mac nanti, sempena ulang tahun kedua serangan pengganas di dua masjid di Christchurch, New Zealand.



Remaja India warga Singapura itu beragama Kristian Protestan dan merupakan individu pertama yang ditahan di sini hasil dipengaruh ideologi pelampau sayap kanan.



Dia juga individu termuda ditahan di bawah ISA bagi kegiatan berkaitan pengganasan, dengan siasatan menunjukkan dia bertindak sendiri.



Menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD), pelajar lelaki itu memilih untuk menyerang Masjid Assyafaah di Admiralty Lane dan Masjid Yusof Ishak di Woodlands Drive 17 kerana ia dekat dengan rumahnya.



Pada mulanya, dia berniat menyerang Masjid An-Nur di Admiralty Road dan bukan Masjid Yusof Ishak, tetapi menganggap Masjid Yusof Ishak lebih dekat dengan Masjid Assyafaah berbanding Masjid An-Nur.



Dia kemudian merancang perjalanannya dan mengenal pasti pintu masuk masjid serta tempat meletak kereta, kata ISD.



Malah, dia juga mengkaji sekitaran kedua-dua masjid itu di dalam talian menggunakan Google Maps dan Street View.



Menurut ISD, belia itu menonton video di YouTube untuk belajar bagaimana menyerang menggunakan parang dan dia yakin berupaya mengelar arteri mangsa di bahagian leher dan dada.



Ketika ditangkap ISD, dia sudah menemukan parang pilihannya yang berharga $190 di wadah dalam talian Carousell namun belum membelinya kerana ingin menyimpan duit untuk membelinya.



Dia yakin mempunyai simpanan yang mencukupi bagi serangan yang dirancangnya.



Sebelum itu, remaja itu merancang menggunakan senapang seperti yang digunakan penyerang masjid di Christchurch pada 15 Mac 2019, Brenton Tarrant, dan telah menemui penjualnya menerusi wadah Telegram tetapi mengesyakinya satu penipuan apabila si penjual meminta bayaran dalam bentuk bitcoin.



Dia juga mempertimbang menggunakan bom buatan sendiri triacetone triperoxide (TATP) atau membakar masjid dengan gasolin namun meninggalkan idea itu disebabkan keprihatinan logistik dan keselamatan peribadi.



November lalu, remaja itu membeli ves taktikal menerusi Carousell dan merancang menghiasinya dengan simbol pelampau sayap kanan seperti yang dipakai Tarrant, iaitu simbol Black Sun dan Celtic Cross.



Menurut ISD, dia ingin mengubah suai ves itu supaya ia dapat dilengkapi dengan alat mudah alihnya untuk menyiarkan serangan yang dirancangnya secara langsung.



Seperti Tarrant, dia juga ingin memandu antara dua masjid itu.



Meskipun tiada lesen pemandu, dia merancang mencuri kad kredit bapanya dan menyewa kereta BlueSG dari stesen kongsi kereta dekat rumahnya.



November lalu, dia turut menyediakan dua dokumen yang dia rancang sebarkan sebelum melancarkan serangan itu.



Salah satu daripadanya - yang disiapkan selepas serangan di sebuah gereja di Nice, Perancis - bertujuan menyeru warga negara itu untuk membalas dendam terhadap Muslim.



Dalam dokumen tersebut dia menyeru rakyat Perancis supaya "mempertahankan yang benar" dan menulis "kita tidak boleh membiarkan mereka (umat Islam) bersembunyi di dalam semak dan menantikan mereka untuk menyerang."



Dia juga merujuk kepada serangan yang dirancangnya sebagai "pembunuhan beramai-ramai", sebuah "tindakan balas dendam" dan "seruan perang" menentang Islam. Dia juga menyebut pembaca sebagai "penonton yang agung", merujuk kepada niat menyiarkan serangannya secara langsung.



Dokumen kedua - yang belum siap ketika dia ditangkap - berbentuk manifesto yang menunjukkan rasa bencinya terhadap Islam.



Antara kepercayaannya ialah "keganasan tidak boleh diselesaikan dengan kedamaian", kerana kedamaian, biarpun "moral", "jauh dari berkesan" berbanding keganasan.



Dalam dokumen itu dia turut melahirkan kepercayaan bahawa perbuatan ganasnya yang sebilangan pihak akan menyifatkan sebagai "tindakan ganas yang diwajarkan" akan menyebabkan perubahan dalam kalangan pihak yang percaya pelampau Islam adalah benar.



Draf penulisan itu banyak dipinjam daripada manifesto Tarrant dan remaja itu juga menyifatkan Tarrant sebagai "wali" dan serangan Christchurch sebagai "pembunuhan umat Islam yang diwajarkan".



Remaja itu ditangkap di bawah ISA pada 26 November lalu dan pihak berkuasa mendapatinya ancaman keselamatan.



Dia dikenakan Arahan Penahanan di bawah ISA pada 23 Disember lalu.



ISD dalam kenyataannya berkata kes ini menunjukkan sekali lagi bahawa idea-idea yang melampau boleh bergema di kalangan dan meradikalkan rakyat Singapura, tidak kira bangsa atau agama.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >