Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pelajar sambut baik program possiswazah baru, ingin lebih maklumat

Nov 28, 2019 | 05:30 AM



Sijil Pos Siswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) akan diperkenalkan April nanti untuk mengganti program Sijil Pengajian Islam Mengikut Konteks (ICON). Antara lain ia bertujuan membantu asatizah mendapat kemahiran relevan dalam kerjaya selepas melengkapi pengajian di luar negara. Beberapa pelajar Singapura yang sedang menuntut di Kuwait dan Arab Saudi melahirkan pandangan mengenai perubahan ini semasa bertemu Presiden Halimah Yacob dan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, di sana baru-baru ini. NORMAN SAWI (normans@sph.com.sg) melaporkan.



PELAJAR Singapura yang kini mengikuti pengajian Islam di luar negara menyambut baik program pensijilan baru bagi asatizah yang bakal diperkenalkan pemerintah tahun depan.



Namun, sekumpulan mahasiswa universiti di Kuwait dan Arab Saudi melahirkan beberapa keprihatinan termasuk 'kos melepas' semasa mereka mengikuti program itu.



Mulai April hadapan, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) akan memperkenalkan Sijil Pos Siswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) untuk mengganti program Sijil Pengajian Islam Mengikut Konteks (ICON).



Asatizah yang ingin mengajar agama di Singapura perlu menjalani dan melengkapi program PCICS sebelum mendapat pentauliahan menerusi Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).



PCICS, yang bakal dikendalikan oleh Akademi Muis, mempunyai dua tujuan utama - memberi asatizah pemahaman lebih mendalam tentang konteks geopolitik dan sosia-agama dalam masyarakat majmuk di Singapura dan membekalkan asatizah dengan kemahiran dan ilmu yang relevan bagi memperluas kerjaya ke bidang di luar agama seperti kerja sosial, kaunseling, dan kemahiran digital.



Mahasiswa Universiti Islam Madinah, Encik Zulzawaid Zulkifli, 26 tahun, berkata program ini diharap dapat menambah keupayaan asatizah yang kembali ke Singapura selepas tamat pengajian di luar negeri.



"Selain kelulusan akademik, asatizah juga perlukan kemahiran tertentu untuk membantu mereka menyampaikan ilmu yang dipelajari kepada masyarakat. Justeru, jika program baru ini dapat mempersedia asatizah baru memasuki alam pekerjaan, ia adalah suatu yang sangat baik," kata Encik Zulzawaid, mahasiswa tahun ketiga jurusan syariah.



Encik Mohamed Salleh Mohamed Zohri, 23 tahun berkata PCICS berpotensi memberi banyak manfaat kepada asatizah, walau beliau akur kurang maklumat tentang program itu, pada masa ini.



"Peserta program dilatih untuk berkongsi pengetahuan yang ditimba di luar negara mengikut konteks di Singapura... mereka juga mendapat bimbingan untuk menentang ideologi radikal," kata Encik Salleh, yang bakal pulang ke Singapura selepas tamat pengajiannya tahun depan.



Encik Salleh juga berkata program itu tampak menyeluruh dan dapat membantu asatizah menjadi pemimpin yang baik termasuk membantu asatizah ceburi kerjaya di luar sektor agama.



Semasa membentangkan butiran PCICS di Parlimen awal tahun ini, Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Ehwal Luar) Dr Mohamad Maliki Osman berkata ia bertujuan mempersiap lulusan jurusan agama dengan kemahiran pekerjaan dan ilmu supaya dapat berkhidmat kepada masyarakat.



Ia sebahagian sokongan bersepadu bagi pelajar Singapura yang menuntut dalam jurusan agama di luar negara.



Lebih 500 pelajar dari Singapura sedang menuntut di institusi pengajian di Timur Tengah dan Afrika Utara.



Lagi 300 pelajar pula sedang menuntut dalam kursus serupa di Asia Tenggara.



Walaupun pelajar yang ditemui secara keseluruhannya menyokong program ini, ada yang berkata mereka prihatin tentang tempoh masa yang perlu diluangkan bagi program dan kos melepas semasa mereka mengikuti program itu.



Sehingga mereka melengkapkan PCICS, mereka tidak akan mendapat pentauliahan ARS, yang bermakna mereka kurang peluang untuk 'cari makan' menggunakan ijazah dari luar negeri itu.



Program PCICS dijangka berlangsung selama setahun dan merangkumi lebih banyak modul berbanding program ICON.



ICON, yang diperkenalkan pada 2017 adalah program empat minggu yang merangkumi topik seperti Prinsip, Nilai-nilai dan Institusi, Agama mengikut Konteks, Membaca Teks Agama dan Peranan Masa Depan Asatizah.



Encik Salleh antara yang melahirkan keprihatinan tentang tempoh program itu berlangsung, walau beliau akur belum memperoleh butiran lengkap tentang PCICS.



"Program yang berlangsung lebih lama boleh menjejas masa dengan keluarga atau masa peribadi lain, selepas seseorang kembali ke tanah air setelah sekian lama di rantauan," kata Encik Salleh.



Encik Sukri dan Encik Salleh antara sekumpulan pelajar dari Singapura di Kuwait dan Arab Saudi yang bertemu Presiden Halimah Yacob dan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad di sana baru-baru ini.



Puan Halimah mengadakan lawatan negara ke Timur Tengah dan Encik Masagos menyertai rombongan presiden itu.



Bercakap kepada wartawan di akhir lawatan itu, Encik Masagos berkata Muis sedang menimbangkan beberapa pilihan dengan mengambil kira maklum balas pelajar.



Beliau telah berkongsi dengan para pelajar bahawa PCICS bertujuan memupuk generasi asatizah yang yakin diri, bersifat menyayangi dan berkeupayaan mengamalkan agama dengan cara berkesan dalam masyarakat majmuk dan moden di Singapura.



"Mereka tahu bahawa program itu boleh membantu mereka menjadi asatizah yang berpandangan meluas dan lebih bersedia berkhidmat kepada masyarakat dan Singapura," kata Encik Masagos.



Puan Halimah turut melahirkan harapan agar pelajar dari Singapura itu terus mengekalkan hubungan dengan keluarga dan rakan-rakan di Singapura semasa berada di rantauan dan memainkan peranan penting untuk membentuk hidup sosio-agama masyarakat Muslim di masa depan.



Mahasiswa Universiti Kuwait, Encik Sukri Ahyar, 21 tahun berkata asatizah bertanggungjawab dan boleh memainkan peranan membentuk hidup masyarakat Muslim yang sesuai dengan kehidupan dalam masyarakat majmuk seperti di Singapura.



"Melebihi mengamalkan agama mengikut konteks sesebuah masyarakat majmuk, asatizah juga boleh bersikap proaktif dan bersifat ingin tahu tentang amalan masyarakat dan penganut agama lain, supaya kita meraih pemahaman yang lebih menyeluruh tentang keadaan hidup di Singapura," kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >