Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pelihara budaya, papar jati diri bangsa

Pengerusi Mesra kongsi pelan bertindak dekati masyarakat
Sep 04, 2017 | 05:30 AM



Budaya memaparkan jati diri bangsa. Namun penasihat Mesra, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, melahirkan keprihatinan bahawa pengaruh fahaman agama ekstrem boleh melemahkan budaya Melayu. Berita Harian mendapatkan reaksi pengerusi Mesra dan MAEC, pensyarah pengajian Melayu dan penggiat budaya mengenainya. SUHAIMI MOHSEN (suhaimi@sph.com.sg) melaporkan.



WISMA Geylang Serai (WGS) bakal menawarkan wadah bagi Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) mengetengahkan acara dan kegiatan budaya.



Ini di samping pelbagai kegiatan budaya lebih besar yang akan mengisi ruang di wisma itu.



Ia adalah sebahagian daripada usaha menghidupkan budaya dan menjadikan wisma itu sebagai pusat tumpuan masyarakat Melayu.



Rancangan menjadikan Wisma itu sebagai hab budaya Melayu adalah antara pendekatan yang sedang ditimbangkan oleh Majlis Penyelaras Kumpulan-Kumpulan Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra) dalam melakarkan pelan bertindak bagi MAEC.



Demikian dijelaskan Encik Omar Ismail, pengerusi Mesra dan pengerusi MAEC Kelab Masyarakat Bukit Batok East, ketika memberi respons berhubung ucapan penasihat Mesra, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, di majlis ulang tahun ke-40 MAEC baru-baru ini.



Semasa berucap, Encik Masagos, yang juga Menteri Sekitaran dan Sumber Air, antara lain berkata pengaruh fahaman agama ekstrem boleh melemahkan budaya Melayu.



Beliau menyifatkan Mesra satu daripada 3M - Muis, Mendaki, Mesra - yang menjadi tunjang masyarakat.



Katanya, Mesra berperanan menempatkan masyarakat Melayu di arus nasional dengan menitikberatkan kehidupan berharmoni dengan semua kaum dan menjadi masyarakat inklusif. (Muis memberi hala tuju bagi kehidupan beragama sementara Yayasan Mendaki sebagai mangkin bagi masyarakat Melayu berdaya saing).



Mengakui tugas itu mencabar kerana aktivis Mesra dan MAEC adalah sukarelawan, Encik Omar berkata pihaknya akan berusaha melaksanakan amanah itu.



Menurutnya, Mesra dan MAEC sudah terlibat dalam dialog Rapat Hari Kebangsaan, dialog mengenai bajet, mendekati penduduk dengan pesta kesihatan dan terlibat dalam pelbagai kegiatan budaya dan bahasa di pelbagai peringkat.



Dalam usaha lanjut mendekati masyarakat, pihaknya mengadakan beberapa sesi perbincangan baru-baru ini.



Antara pendekatan yang ditimbangkan ialah:



  • keterlibatan guru bahasa Melayu, pelajar dan ibu bapa prasekolah

  • Keterlibatan pelajar pengajian tinggi

  • Keterlibatan kelompok keagamaan dan kerabat (Menghubungkan dengan relawan masjid dan kariah)

  • Program membantu segmen khas masyarakat (golongan memerlukan, dadah, warga tua)

  • Pusat tumpuan mendekati masyarakat Melayu @ Wisma Geylang Serai (WGS)

  • Keterlibatan Panel Pakar/Profesional.

Selain menawarkan ruang bagi pelbagai persembahan budaya, Encik Omar berkata WGS juga menjadi wadah menjalin rangkaian dengan masyarakat dan rakan kongsi. Mesra akan bekerjasama dengan Majlis Seni Kebangsaan (NAC), menganjurkan acara tetap dan berkala merangkumi kegiatan mingguan, bulanan dan tahunan termasuk acara besar sepeti Gentarasa dan bazar/ekspo.



Beliau berkata kegiatan budaya perlu dihidup dan dikembangkan kerana ia jati diri bangsa yang memaparkan kerencaman masyarakat berbilang bangsa.



"Singapura unik kerana kita ada pelbagai bangsa dengan warisan budaya masing-masing.



"Soalnya adalah bagaimana menghidupkan dan menerima satu sama lain," kata beliau.



Encik Omar berkata kegiatan budaya telah berubah - sesuai dengan konteks. Amalan budaya yang tidak sejajar dengan ajaran Islam telah dikikis.



Dikir barat asal Kelantan misalnya telah disesuaikan dengan konteks setempat. Corak, nilai, bahasa, pendekatan cerita, pakaian dan cara persembahannya sudah berubah.



"Namun konteks budaya yang berlainan, di samping keterdedahan Internet dan media sosial, menimbulkan cabaran baru seperti pengaruh budaya luar berkaitan pakaian dan soal bidaah," katanya.



Tambah beliau, budaya dan agama ada kala boleh tercampur aduk. Penerimaan dan pendekatannya berbeza-beza dan ini menimbulkan keprihatinan.



"Kita bukan negara Islam. Kita ambil mana yang sesuai mengikut pertimbangan kita," kata beliau.



Menurut Encik Omar, kegiatan budaya yang telah berakar dalam masyarakat seperti dikir barat, kompang dan silat tidak bercanggah, malah menjadikan anak kita lebih aktif, condong kepada kebaikan dan membantu menjauhkan mereka daripada perkara tidak baik.



Dalam melangkah ke depan, Encik Omar berkata nilai budaya perlu terus dipelihara supaya ada keseimbangan.



"Kita tidak harus ketepikan budaya. Kita harus menghidupkan dan memperbaharuinya sesuai dengan konteks Singapura.



"Kalau kita tidak berusaha mengekalkan budaya, satu hari budaya kita boleh hilang; kita tidak ada warisan dan timbul pertanyaan siapa kita dan apa asal usul, susur galur dan warisan kita," kata beliau.



Maka itu, langkah perlu diambil bagi mengekalkan warisan dan budaya merangkumi nilai dan identiti kita, ujarnya.



"Singapura rencam. Setiap kumpulan etnik ada budaya sendiri. Jangan sampai kaum lain kekal dengan budaya dan kita pula kehilangannya.



"Dengan mengekalkan budaya dan memaparkannya bersama kaum lain, ia memperkaya identiti Singapura sebagai masyarakat berbilang bangsa dan budaya," kata beliau lagi.




"Kita tidak harus ketepikan budaya. Kita harus menghidupkan dan memperbaharuinya sesuai dengan konteks Singapura. Kalau kita tidak berusaha mengekalkan budaya, satu hari budaya kita boleh hilang; kita tidak ada warisan dan timbul pertanyaan siapa kita dan apa asal usul, susur galur dan warisan kita...

Dengan mengekalkan budaya dan memaparkannya bersama kaum lain, ia memperkaya identiti Singapura sebagai masyarakat berbilang bangsa dan budaya."

- Encik Omar Ismail, pengerusi Mesra dan MAEC Bukit Batok East.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >